KUALA LUMPUR: Suami Ella, iaitu Kapten Azhar Ghazali menjelaskan kemunculannya dalam setiap konsert Ratu Rok itu sekadar memeriahkan persembahan isteri.

Azhar yang bertugas sebagai juruterbang berkata beliau tidak berniat untuk menumpang populariti atau membayangi Ella, sebaliknya, sebagai salah satu cara menunjukkan penghargaan kepada wanita yang dikahwininya itu, lapor BH Online.

“Tujuan saya adalah untuk menghargai Ella dan memeriahkan lagi persembahan, bukannya mahu ‘overshadow’ sesiapa.

“Saya pun ada kerjaya sendiri.

“Saya sentiasa bersikap positif, tetapi pada masa sama, mengambil kira pandangan orang terdekat.

“Lagipun, pendapat netizen ini pelbagai.

“Pada masa sama, saya juga menghargai pandangan Ella dan pengarah muzik, Datuk Acis,” katanya pada sidang media Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella, di sini pada 15 Jun.

Azhar membuat penjelasan itu susulan topik kemunculannya di beberapa konsert Ella mula dipertikaikan segelintir peminat menerusi platform Threads.

Azhar berkata setiap kali menjelang konsert, beliau akan membuat persediaan termasuk mengikuti kelas vokal bagi memperbaik kelemahan diri.

“Sebelum konsert, saya biasanya akan ambil kelas vokal untuk memperbaik diri sekiranya ada kekurangan,” katanya.

Sementara itu, Ella mengakui tahu mengenai perkara dicetuskan netizen.

Namun beliau tetap selesa bekerjasama dengan Azhar yang banyak membantu dari segi percambahan idea dan memberi nasihat.

“Saya tidak kisah dia bersama saya di pentas kerana dapat mewujudkan lagi suasana ‘rock and roll’. Tidak timbul isu sensitif pun.

“Suami sangat positif dan sentiasa beri semangat kepada saya. Tanpa idea daripada mereka semua, konsert ini mungkin tidak dapat direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella yang sepatutnya berlangsung pada 25 Julai ini di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, ditunda kepada 22 Ogos.

Acara itu akan dipentaskan di SPICE Arena.