Konsert Ella alami gangguan audio, penganjur ambil tindakan polis
Konsert Ella alami gangguan audio, penganjur ambil tindakan polis
Pendakwa dapati sistem audio diubah format tetapan kepada sistem ‘Default’, bukan seperti ketika raptai berlangsung
Pihak penganjur bagi Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di Malaysia, pada 14 Februari lalu, telah membuat laporan polis susulan kejadian gangguan sistem bunyi di tingkat tiga premis berkenaan.
Kejadian itu turut hangat diperkatakan oleh netizen di laman Threads, sebaik sahaja konsert itu tamat.
Melalui kenyataan bersama dikeluarkan oleh Hitman Solutions, Rockqueen dan Digital Aid Sdn Bhd di laman media sosial, pihak terbabit mendakwa sudah mengenal pasti punca kejadian membabitkan audio itu melalui siasatan terperinci.
“Selepas terima aduan daripada penonton di tingkat tiga pada Sabtu, 14 Februari lalu (malam konsert berlangsung), pasukan teknikal bergegas ke bilik yang menempatkan kawalan sistem bunyi stadium di tingkat dua.
“Penganjur mengambil kira kebimbangan ramai yang terkesan melalui pemerhatian dalam media sosial.
“Sehubungan itu, penganjur mengadakan mesyuarat teknikal bersama Perbadanan Stadium Malaysia, pengurusan Ella, pembekal sistem bunyi (Digital Aid) dan pasukan teknikal yang terbabit bagi menyiasat aduan pada 16 Februari, jam 2 petang,” kata penganjur dalam kenyataan media rasmi itu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada 14 Februari, ikon rok wanita, Ella, atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 59 tahun, menggegar SNBJ dengan mendendangkan kira-kira 30 lagu pada konsert meraikan legasinya sebagai Ratu Rok Malaysia.
Penganjur mendakwa hasil pemeriksaan mendapati sistem audio pada malam konsert itu diubah format tetapan kepada sistem ‘Default’, bukan seperti yang telah ditetapkan ketika raptai berlangsung.
“Bagaimanapun, kru teknikal berjaya menyelesaikan isu itu kira-kira 9.50 malam,” tulisnya.
Penganjur turut memaklumkan mereka memandang serius kejadian itu dan laporan polis telah dibuat, pada 16 Februari, 5.26 petang.
Bagaimanapun, pihak mereka tidak menyatakan lokasi laporan itu dibuat.
Pihak penganjur turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan sedang memikirkan tentang imbuhan buat peminat yang sudah membeli tiket di tingkat tiga di SNBJ.
“Kami memohon maaf atas kejadian yang berlaku dan penganjur sedang berbincang bagi memberikan imbuhan bersesuaian kepada pemegang tiket Bronze yang terkesan dengan kejadian tersebut,” kata penganjur.

