SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Selasa menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh sebutan kedua kes permohonan perceraian Datuk Nora Ariffin dan suami, Dr Rushdi Ramli.
Peguam yang mewakili Nora, iaitu Cik Sarah Mohd Ali berkata tarikh sebutan kedua diberi bagi membolehkan anak guam dan suami menjalani proses pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Dr Rushdi enggan menceraikan Nora semasa prosiding pada Selasa.
“Dr Rushdi tolak permohonan cerai kali ini.
“Jadi, akan berlaku sebutan kali kedua pada 4 Jun untuk pelantikan Jawatankuasa Pendamai.
“Bagaimanapun, pihak defendan tidak menyatakan alasan mengapa beliau tolak perceraian.
“Jadi, kita akan ikut proses Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan jika gagal, kita akan teruskan dengan proses hakam,” kata Cik Sarah ketika ditemui pemberita di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, Nora atau nama sebenar, Wan Norafizah Atiffin dan Dr Rushdi yang diwakili peguam syarie, Encik Azmi Mohd Rais, masing-masing hadir ke mahkamah secara berasingan untuk sebutan pertama kes perceraian mereka.
Pada 21 April lalu, Nora memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.
Pada akhir 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara.
Nora mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 di usia 52 tahun akibat serangan jantung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg