Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nora tak endah komen ‘pedas’ anak tiri

Dec 20, 2024 | 1:36 PM
Datuk Nora Ariffin dinasihati suami agar menyelesaikan isu secara matang mengenai isu dengan anak tiri.
Datuk Nora Ariffin dinasihati suami agar menyelesaikan isu secara matang mengenai isu dengan anak tiri. - Foto INSTAGRAM DATUK NORA ARIFFIN

Penyanyi bersuara gemersik, Datuk Nora Ariffin, 51 tahun, tidak ingin melayan provokasi dengan tujuan memancing emosi terutama dalam konflik yang membabitkan dirinya dan anak tiri hingga saling berbalas kenyataan dalam laman media sosial akhir-akhir ini.

Atas nasihat orang sekeliling termasuk suaminya, Dr Rushdi Ramli, pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM), Nora disarankan agar tidak cepat ‘melatah’ dan menyelesaikan konflik secara rasional dan matang.

Ketika ditemui Berita Harian Online pasca Konsert Hanya Satu, ‘Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey’ pada 18 Disember di Stage 1 Theatre, Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC), 1 Utama E, di Bandar Utama, beliau berkata: 

“Orang-orang di sekeliling saya semuanya baik-baik. Mereka suruh saya abaikan semua komen negatif. Asalkan saya tahu apa yang saya buat itu betul, ia sudah cukup buat saya.

“Lantaklah nak cakap apa pun, saya tak kisah. Lagipun kita tak boleh nak puaskan hati semua orang. Suami ada berpesan tak perlu nak ambil berat isu (konflik dengan anak tiri).

“Kita buat sahaja cara yang sepatutnya. Kalau bertentangan dengan undang-undang, kita ikut undang-undang. Kita kan sudah tua, jadi kenalah bertindak dengan lebih matang.” 

Kontroversi tercetus apabila anak tiri Nora dikatakan bengang dengan kenyataan di media sosial yang dikeluarkan oleh Nora yang mendakwa dirinya digelar ‘sundal’ oleh keluarga suaminya.

Ekoran kenyataan itu, anak tiri Nora, Aya Rushdi, tampil mempersoalkan tindakan ibu tirinya.

Menurut Aya, beliau turut menyimpan segala bukti apa yang Nora lakukan terhadap keluarganya.

Sementara itu, mengulas hubungan Nora dengan madu, beliau mengakui pasrah dengan apa yang sudah berlaku.

“Saya sebenarnya sudah lama reda dengan semua yang berlaku. Saya juga bersedia berdamai dengan takdir.

“Dalam hidup, ada benda yang boleh dan tak boleh. Macam kena penyakit barah. Kalau dijaga baik macam mana pun, kalau Allah nak bagi ujian kena juga.

“Jadi, hendaklah sentiasa tersenyum dan tak cepat melatah. Saya terima semua ketentuan Tuhan. Saya tak boleh nak banyak cakap dan merungut kerana hidup tak mudah.

“Suka atau tidak, saya kena terima. Kadang-kadang benda tak suka, itulah yang terbaik.

“Sekarang, saya hanya bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan. Kalau diberi ujian, saya tetap bersyukur,” ujarnya.

Dalam konsert solo yang diadakan buat julung-julung kali, Nora membawa 17 lagu termasuk untaian indah seperti, Dendam Dalam Diam, Di Persimpangan Dilema, Sandiwara, Jentayu, Interlude, Desa Tercinta, Samudera, Menyemai Cinta Bersamamu dan Pinta, yang dinyanyikan secara paduan suara dengan Allahyarham Johan Nawawi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg