Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suara emas Siti Nurhaliza kekal di hati pelbagai generasi

Aug 5, 2025 | 2:12 PM
Encik Zulfadli Yazab
Encik Zulfadli Yazab, berkata minatnya terhadap lagu lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza sudah berputik sejak zaman sekolah rendah lagi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pada usia muda remaja, Nursarah Edryna Mohamad Fairuz, 14 tahun, sanggup menggunakan wang simpanannya sendiri bagi membeli tiket berharga $288 untuk menonton Datuk Seri Siti Nurhaliza di Stadium Tertutup Singapura.

Pelajar yang menuntut di salah sebuah sekolah menengah di kejiranan Woodlands itu memberitahu Berita Harian (BH) bahawa konsert The Next Wave: Dato’ Sri Siti Nurhaliza pada 26 Julai lalu itu cukup mempesona dan menepati citarasanya meskipun lagu yang disajikan kebanyakannya merupakan lagu malar segar yang dihasilkan jauh sebelum dirinya dilahirkan.

“Saya minat Siti Nurhaliza sejak umur enam tahun. Suaranya sedap dan lagu yang saya suka ialah, Sesuci Lebaran,” katanya.

Nursarah juga kagum dengan kawalan vokal dan jangkauan suara Siti yang luar biasa.

“Medley lagu klasik seperti Cindai dan Bukan Cinta Biasa, memang paling menghiburkan sebab Siti tunjukkan vokalnya yang mantap dan penonton boleh ikut nyanyi sama,” kata Nursarah.

Konsert berkenaan yang diadakan di lokasi yang pernah menjadi ruang Siti berkonsert genap 20 tahun lalu, berjaya memikat hati peminat daripada pelbagai lapisan usia.

Dari remaja hingga warga emas, aura dan vokal penyanyi tersohor Malaysia itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon muzik Nusantara.

Encik Zulfadli Yazab, 34 tahun, seorang guru tuisyen, berkata beliau meminati Siti Nurhaliza sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

“Pada waktu itu, lagu-lagu beliau memang sering ke udara di radio dan saya mendapati lagu-lagu beliau rancak,” katanya.

Antara keistimewaan lagu-lagu Siti, ujar beliau, adalah pada bait-bait liriknya yang boleh dijadikan rujukan dalam penulisan karangan sewaktu di sekolah.

Lagu kegemarannya ialah, Tanpa Kalian, daripada album, Hadiah Daripada Hati.

Encik Zulfadli yang membelanjakan tiket premium untuk duduk di bahagian hadapan ruang stadium berkata:

“Setiap bait lirik dan alunan irama dapat kami hayati dengan lebih fokus dan penuh mendalam.”

Seorang lagi peminat setia, Encik Abdul Shukor Zahari, 60 tahun, bekas pegawai bomba, hadir memeriahkan konsert bersama isterinya, Cik Sarita Ahmir, yang juga berusia 60 tahun.

Pasangan itu, yang mempunyai tiga anak dan kini bergelar datuk dan nenek kepada seorang cucu, tidak pernah jemu mengikuti perkembangan kerjaya seni Siti Nurhaliza.

“Saya meminati Siti kerana suaranya yang begitu merdu, ibarat buluh perindu yang mampu menenangkan jiwa setiap kali mendengar.

“Selain itu, beliau seorang artis yang sangat berdisiplin dan menjaga mutu setiap persembahannya.

“Lagu-lagu Siti memang menyentuh hati,” ujar Abdul Shukor, dengan penuh kagum sambil menyifatkan lagu tradisional Cindai sebagai lagu kegemarannya.

Bagi Encik Abdul Shukor, segmen paling menghiburkan baginya ialah ketika Siti membawakan medley lagu rok seperti Tika dan Saat Ini, Seribu Tahun Takkan Mungkin dan Di Alam Fana Cinta.

Bagi Encik Mohamad Hermee Rahmat, 48 tahun, seorang eksekutif operasi, konsert itu adalah hadiah hari lahirnya yang datang lebih awal.

“Pertama kali saya menonton persembahan Siti Nurhaliza di kaca TV bersama arwah datuk saya pada 1995.

“Datuk saya berkata dengan santai, ‘Wah boleh pergi jauh budak ni’. Suara Tok Ti memang merdu dari dulu,” katanya, yang menggemari lagu Seribu Kemanisan.

Encik Hermee turut memuji penampilan dan persembahan artis jemputan, Hael Husaini, yang penuh bertenaga.

“Konsert ini sangat mengagumkan saya! Saya akan menonton lagi di masa hadapan kerana pengalaman menonton konsert ini sangat menghiburkan dan membuat hati saya terkesan,” katanya, yang turut meminati kemerduan suara Dayang Nurfaizah.

Segmen paling menarik baginya adalah ketika Siti menyanyikan lagu-lagu hit yang jarang dipersembahkan.

Berkongsi pandangan tentang perbezaan muzik era dahulu dan kini, kesemua yang ditemui BH sepakat bersetuju bahawa lagu-lagu pada era 1980-an dan 1990-an jelas lebih puitis serta beremosi, manakala lagu-lagu era 2000-an dan kini lebih ringkas dan berlandaskan trend digital.

“Muzik sekarang makin hype, berteknologi tinggi, tetapi terlalu banyak unsur rapping.

“Seni kata lagu dulu pula puitis dan berunsur nasihat. Kerana itu, telinga saya lebih menggemari dendangan artis lama,” kata Encik Abdul Shukor.

Bagi Nursarah pula, muzik dahulu lebih asli atau organik dengan penggunaan alat muzik seperti gitar, dram dan papan nada, sedangkan muzik hari ini lebih memberi tumpuan pada melodi yang catchy dan sesuai untuk media sosial.

Menurut Encik Zulfadli pula, pada era 1980-an, lagu-lagu popular banyak berteraskan bunyian gitar dengan gaya rok, sepanjang sekitar lima minit, dan liriknya menceritakan kisah tentang individu atau peristiwa tertentu, seperti lagu, Isabella (Search) dan Doa Buat Kekasih (Ramli Sarip).

“Memasuki era 1990-an, genre pop diwarnai dengan rentak rancak, dan lirik cinta yang lebih abstrak, seperti Purnama Merindu (Siti Nurhaliza).

“Menjelang 2000-an, lagu menjadi lebih ringkas, sekitar dua minit, untuk menepati tumpuan generasi baru dan trend media sosial seperti di platform TikTok dan Instagram.

“Lagu harus mudah diingati dan sesuai dijadikan video tular, contohnya lagu Raya, Serumpun (Mimifly), yang terkenal dengan aksi bahasa isyaratnya,” tambah Encik Zulfadli lagi, yang turut meminati nyanyian seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Konsert itu membuktikan bahawa meskipun trend muzik berubah, suara emas serta mantap Siti Nurhaliza mampu menambat hati pelbagai generasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg