Pada puncak kegemilangan kerjaya Biduanita Negara ketiga di Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, antara 1990-an dengan 2010, memang sukar menyaksikan beliau kerap muncul di pentas gah untuk konsert.
Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, Siti, 46 tahun, kian teruja mengubati kerinduan ramai peminatnya dan sering tampil di khalayak ramai, baik di Malaysia mahupun Singapura.
Selepas konsert dua malam berturut-turut di The Star Theatre pada Jun 2024, dan menjadi tetamu penerbit dan penggubah lagu bukan calang-calang, David Foster, dalam konsert di The Star Theatre juga pada 2023, ibu dua anak itu akan sekali lagi menghiburkan peminatnya di Singapura pada 26 Julai.
Kali ini, Stadium Tertutup Singapura, menjadi pilihan untuknya menghiburkan ramai pada skala lebih besar menerusi konsert The Next Wave: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live In Singapore, yang dibawakan oleh Biz Trends Publishing Pte Ltd.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula ruang gah, Stadium Tertutup Singapura, yang pernah menjadi tempat beliau menghiburkan sekitar 12,000 peminatnya genap 20 tahun lalu, pada 2005.
Apakah membuat persembahan lebih kerap atau setahun sekali menjadi impian Siti yang terkenal dengan lagu balada seperti, Aku Cinta Padamu, Percayalah dan Biarlah Rahsia?
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi Zoom dari pejabatnya di Kuala Lumpur pada 16 Jun, Siti berkata:
“Kadangkala, memang saya tertanya-tanya dalam hati, “Alamak! Nak buat lagi ke?”
“Tahun lalu (2024) sahaja, ada beberapa sesi konsert di Malaysia dan Singapura yang saya jayakan.
“Saya tak rancang tetapi begitulah rezeki. Ia tak mampu ditolak. Apabila ada pihak yang menawarkan saya untuk bikin konsert, saya terima, asal sahaja ia bersesuaian dengan jadual saya dan kelapangan saya.
“Lagipun, selepas Julai ini, saya dah tak buat konsert, baik di Malaysia atau Singapura. Maaf kalau ada mengharapkan hujung tahun, pada November atau Disember, akan ada konsert Tok Ti.
“Sebabnya, saya nak berehat daripada bikin konsert dan tumpukan perhatian pula pada usaha menyiapkan album tradisional saya.”
Menurut Siti, menghasilkan konsert bukan kerja ‘bidan terjun’ atau ‘tangkap muat’. Ia memerlukan perancangan dan persiapan teliti, lebih awal lagi.
“Saya selalu terfikir, ‘Nak buat apa lagi? Apa lagi benda baru nak saya bikin?’
“Saya tanya kepada pengurus saya, Kak Rozi... apa lagi Siti belum pernah buat dalam konsert? Lagu apa belum dipersembahkan?” kongsinya.
Beliau akur kadangkala rasa bersalah jika mengadakan konsert akan membebankan peminat tegarnya dari segi kewangan sebab asyik perlu mengeluarkan wang simpanan untuk menyaksikannya menghiburkan ramai.
“Tapi begitulah keadaannya. Kalau pergi konsert, memang ‘mood’ dah lain daripada kita tonton persembahan di kaca televisyen.
“Saya suka rancang konsert sebab ia akan membantu saya menjana kreativiti dari segi kelainan yang saya inginkan dalam persembahan saya itu kelak.
“Bagi konsert akan datang ini, saya akan gunakan khidmat pengarah muzik, Aubrey Suwito. Pemuziknya lebih ramai, persis ada orkestra mini.
“Susunan muzik lebih besar. Ada 10 penari mengiringi saya.
“Kami memang dah perah otak untuk pastikan konsert yang saya bawakan ini belum pernah anda saksikan sebelum ini dalam konsert di The Star Theatre, Esplanade, Marina Bay Sands ataupun di Harbour Pavilion,” jelasnya.
Siti akan turut tampil bersama nama besar industri muzik Malaysia kini, Hael Husaini, yang disifatkannya sebagai memiliki idea segar dan sentuhan magis dalam menjadikan sesebuah ciptaan itu mahakarya yang ‘meletup’.
Lagu Siti yang dicipta Hael, Anta Permana, malahan menjadi antara pilihan Raja Charles, di dalam senarai Apple Music.
Siti, bagaimanapun, merahsiakan lagu duet yang bakal disampaikannya bersama Hael pada malam itu atau jika ada artis jemputan lain yang akan ditampilkan.
“Saya pastinya akan beri sanjungan kepada Singapura, seperti biasa. Sebab kenangan bersama orang Singapura memang takkan terluput daripada ingatan saya.
“Tapi perlu rahsiakan dahulu apa bentuk penghargaan yang akan saya sajikan.
“Dalam konsert 2024, saya beri penghargaan pada lagu filem Melayu dari era kegemilangan filem klasik Cathay Keris dan Shaw Brothers,” katanya.
Yang pasti, beliau akan menghadiahkan peminat Singapura dengan lagu barunya, hasil kerjasama dengan pencipta tidak asing lagi dari Indonesia, Ade Govinda.
“Ia lagu cinta. Lagu balada saya adalah yang menyentuh jiwa ramai kerana takrifan cinta berbeza, dari lagu cinta untuk orang istimewa, kepada ibu bapa atau kepada Tuhan,” tambahnya, yang juga kagum dengan kebolehan Ade menghasilkan mahakarya yang terpahat di fikiran ramai.
Apakah anak-anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa, akan menjadi pemanis konsert sebagaimana di Arena of Stars, Resorts World Genting, pada 2024?
“Mereka akan ada menonton. Seronoklah bila anak datang tengok ibu mereka menyanyi. Mereka pun dah faham saya adalah seorang penyanyi.
“Tapi buat masa ini belum terfikir nak bawa Aafiyah dan Afwa sebagai penghibur konsert,” jelasnya seraya tertawa.
Bagi Siti, tumpuannya kelak adalah bagi membereskan album tradisional yang sudah lama dirancang dan sudah ada pun bahan-bahannya.
“Saya akan rindukan lagu tradisional ciptaan Allahyarham Pak Ngah dan Allahyarham Datuk S. Atan. Kalau mereka bikin lagu, memang ada keistimewaannya.
“Tapi saya yakin ada komposer lagu tradisional dari generasi muda yang perlu kita ketengahkan. Mereka mungkin segan nak beri lagu atau belum bersedia.
“Tapi saya sentiasa terbuka bagi membawakan lagu tradisional komposer baru,” ujarnya, yang turut mendapatkan khidmat Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Malaysia (MACP) untuk album tradisional itu.
Tiket konsert, ‘The Next Wave: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live In Singapore’, berharga antara $98 dengan $228 boleh ditempah menerusi laman web Sistic.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg