Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuara ikonik Disney, Peabo Bryson meninggal dunia
Suara ikonik Disney, Peabo Bryson meninggal dunia
Suara ikonik Disney, Peabo Bryson meninggal dunia
LOS ANGELES: Penyanyi legenda R&B, Peabo Bryson, yang terkenal menerusi lagu duet ikonik Disney, Beauty and the Beast, bersama Celine Dion serta A Whole New World bersama Regina Belle dilaporkan meninggal dunia pada usia 75 tahun.
Menurut laporan USA Today, keluarga mendiang mengesahkan pemenang dua Anugerah Grammy itu menghembuskan nafas terakhir pada malam 2 Jun, beberapa hari selepas diserang strok.
“Walaupun hati kami hancur dengan pemergiannya, kami berasa tenang apabila mengetahui betapa ramai yang menyayangi Peabo dan bagaimana suaranya serta keperibadiannya yang murah hati menyentuh begitu banyak kehidupan.
“Legasi dan muziknya akan terus hidup untuk generasi akan datang,” kata keluarga mendiang dalam satu kenyataan.
Bryson dikenali di seluruh dunia menerusi lagu-lagu tema filem animasi Disney yang menjadi siulan ramai, namun beliau turut membina kerjaya cemerlang selama lebih lima dekad sebagai antara penyanyi balada R&B paling berpengaruh.
Sepanjang kerjayanya, beliau menghasilkan pelbagai lagu popular termasuk Feel the Fire, I’m So Into You dan Can You Stop the Rain.
“Selama lebih lima dekad, suara luar biasa Peabo menjadi latar kepada pelbagai detik istimewa dalam kehidupan ramai orang.
“Muziknya mengiringi generasi demi generasi dalam saat kegembiraan, kisah cinta dan detik yang memberikan ketenangan serta inspirasi,” menurut kenyataan itu lagi.
Dilahirkan dan dibesarkan di South Carolina, Amerika Syarikat, Bryson memulakan perjalanan seninya bersama kumpulan Moses Dillard and the Tex-Town Display pada era 1970-an sebelum menandatangani kontrak sebagai artis solo bersama Bang Records yang berpangkalan di Atlanta.
Beliau kemudian merakamkan album di bawah beberapa syarikat rakaman utama termasuk Capitol Records, Elektra Records dan Columbia Records, selain menjadi antara penyanyi duet paling mendapat permintaan dalam industri muzik.
Selain bekerjasama dengan Regina Belle dan Celine Dion, Bryson turut bergandingan dengan beberapa nama besar lain termasuk Roberta Flack dan Natalie Cole.
Lagu duetnya bersama Flack berjudul Tonight, I Celebrate My Love muncul antara lagu cinta paling ikonik pada era 1980-an, manakala If Ever You’re in My Arms Again membantu memperluaskan pengaruhnya di luar kelompok pendengar muzik R&B.
Beliau turut mencipta kejayaan menerusi lagu Show & Tell dan Can You Stop the Rain yang menduduki tangga teratas carta R&B Amerika.
Selain dunia muzik, Bryson pernah terbabit dalam beberapa pementasan teater termasuk Raisin, The Wiz dan Porgy and Bess.
Pada 2018, beliau kembali aktif menerusi album studio ke-21 berjudul Stand for Love yang diterbitkan duo penerbit terkenal, Jimmy Jam dan Terry Lewis.
Bryson dilaporkan mengalami strok pada penghujung Mei lalu sebelum menerima rawatan rapi.
Sebelum itu, pada 2019, beliau berjaya pulih sepenuhnya selepas mengalami serangan jantung.
Sementara itu, pelawak dan pengacara televisyen, Loni Love berkongsi kenangannya bersama Bryson yang ditemui ketika bekerja dalam sebuah pelayaran pada 2025.
“Saya berbual dengannya selama berjam-jam di atas dek kapal selepas melihat dia duduk bersendirian.
“Dia berkongsi pelbagai kisah menarik, bercakap penuh semangat mengenai muzik dan menunjukkan kecintaannya yang mendalam terhadap seni yang diceburinya.
“Saya amat bersyukur kerana berpeluang berkongsi detik istimewa itu bersamanya,” katanya menerusi media sosial.
Keluarga Bryson memaklumkan butiran mengenai majlis penghormatan terakhir dan sambutan memperingati kehidupan penyanyi itu akan diumumkan dalam masa terdekat. – Agensi berita.
