Topik diikuti
Pergi ke BHkuSufi Rashid tolak tawaran GV Fantasia, sibuk urus tiga konsert akan datang
Sufi Rashid tolak tawaran GV Fantasia, sibuk urus tiga konsert akan datang
Penampilan penyanyi Singapura, Sufi Rashid, pada konsert pertama Gegar Vaganza (GV) Fantasia pada 8 November, mencuri perhatian peminat yang menantikan kehadirannya dalam pertandingan nyanyian terkenal Malaysia itu.
Bagaimanapun, juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015) itu terpaksa menolak tawaran menyertai GV Fantasia, terbitan Astro, kerana jadualnya yang padat dengan komitmen menguruskan tiga konsert akan datang.
Sufi, 35 tahun, yang kini merupakan pengasas syarikat penganjur konsert, SAH Entertainment, berkata beliau sudah berusaha menyusun jadualnya sebaik mungkin, namun sukar memberikan komitmen sepenuhnya kepada pertandingan tersebut.
“Semasa saya ditawarkan oleh pihak Astro, agak memakan masa juga kerana saya harus lihat jadual saya.
“Saya cuba aturkan sebaik mungkin, tetapi agak sukar. Dalam tempoh GV Fantasia, saya ada tiga konsert yang perlu diuruskan.
“Salah satunya ialah konsert Siti Nordiana bersama kumpulan Spin,” katanya.
Sufi berkata demikian pada sidang media selepas konsert pertama GV Fantasia yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor, pada 8 November.
Konsert yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria itu turut menyaksikan Sufi menghiburkan penonton dengan persembahan lagu hitnya, Aku Sanggup.
Persembahannya turut mendapat pujian ketua juri, Datuk Ramli MS, yang menyifatkan vokal Sufi sebagai sangat tinggi dan maskulin.
Bagaimanapun, pada penghujung konsert itu, diumumkan Sufi tidak akan menyertai pertandingan tersebut, sebaliknya hanya tampil memeriahkan acara dan memberikan sokongan kepada peserta lain yang juga merupakan bekas juara Akademi Fantasia.
Mereka ialah Vince Chong (AF1), 47 tahun; Zahid Baharuddin (AF2), 45 tahun; Mawi Ani (AF3), 45 tahun; Faizal Ramly (AF4), 42 tahun; Mila Jirin (AF5), 38 tahun; Stacy Anam (AF6), 36 tahun; Shahir Zawawi (AF8), 38 tahun; Faizul Sany (AF2013), 41 tahun; dan Firman Bansir (AF2014), 37 tahun.
Mengulas lanjut, Sufi berkata beliau memahami tuntutan pertandingan tersebut yang memerlukan peserta memberikan tumpuan bukan sahaja kepada persiapan persembahan mingguan, malah pelbagai kegiatan promosi.
“Saya faham komitmen GV Fantasia juga berat kerana selain perlu mempersiapkan diri untuk persembahan, saya juga harus luangkan masa untuk melakukan wawancara dan sebagainya.
“Dengan itu, tiadalah rezeki saya kali ini,” ujar bapa seorang anak perempuan berusia dua tahun itu.
Menerusi hantaran di Threads, Sufi turut memohon maaf kepada peminat yang menantikan penyertaannya dalam pertandingan tersebut.
“GV memang dalam ‘wishlist’ (senarai hajat) dari dulu tapi siapa sangka bukan rezeki lagi untuk bertanding kerana jadual yang sangat padat.
“Saya nak minta maaf kalau saya ‘ter’hampakan korang (peminat) sebab tak masuk,” tulisnya.
GV Fantasia boleh ditonton secara langsung setiap Ahad, pada 9 malam, menerusi Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).