Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyafinaz pernah lari ke rumah kakak demi cita-cita jadi pemuzik
Kebimbangan arwah bapa terhadap masa depan kerjaya tidak patahkan semangat pelantun lagu ‘Ingin Bersamamu’ kejar impian seni
Syafinaz pernah lari ke rumah kakak demi cita-cita jadi pemuzik
Hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang muzik selepas tamat persekolahan pernah menyebabkan penyanyi dan jurulatih vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat, berselisih pendapat dengan arwah bapanya, Allahyarham Selamat Salwi.
Ini kerana bapanya mahu beliau mengikuti program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Malaysia, sedangkan Syafinaz sudah menetapkan hati untuk mendalami bidang muzik yang menjadi minatnya sejak sekian lama.
Malah, perbezaan pandangan itu menyebabkan Syafinaz, yang kini berusia 53 tahun, pernah merajuk dengan bapanya kerana terpaksa mengetepikan hasrat sendiri.
“Lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dapat tawaran untuk buat TESL di UiTM sedangkan saya memang nak sambung belajar dalam jurusan muzik.
“Tapi, ketika itu, permohonan dan kemasukan dalam jurusan muzik di UiTM pada Januari dan bukan September.
“Jadi, saya terpaksa tunggu permohonan dan temu duga untuk jurusan muzik dibuka kepada pelajar pada Januari tahun berikutnya.
“Manakala, arwah ayah pula mahu saya terima tawaran TESL kerana biasalah arwah ayah ialah kakitangan kerajaan (ketua kerani di Pejabat Kesihatan) dan emak pula, guru bahasa Melayu.
“Pada pandangan arwah ayah, jurusan TESL itu peluang kerja lebih cerah dan kehidupan juga terjamin,” katanya dalam laman Harian Metro.
Pada masa sama, kata Syafinaz, arwah bapanya risau kerana beliau belum dapat tawaran bagi jurusan muzik itu, sedangkan jurusan TESL itu sudah diterimanya.
“Arwah ayah juga berasa ragu-ragu dan risau sama ada saya mampu untuk menyara hidup sebagai pemuzik kelak.
“Saya mahu menyambung pengajian dalam jurusan muzik kerana nak jadi pemain saksofon tapi sebenarnya tak pandai pun main instrumen muzik itu,” selorohnya.
Bagaimanapun, Syafinaz akur tetap berdegil untuk menyambung pengajian dalam jurusan muzik dan membantah keputusan arwah bapanya untuk menerima jurusan TESL itu.
Malah, beliau berkongsi nekad melarikan diri dari rumah dan tinggal bersama kakaknya di Batu Pahat, disebabkan tidak setuju dengan keputusan arwah bapanya itu.
“Saya pernah lari dari rumah sebab kena marah dan merajuk dengan arwah ayah kerana tolak tawaran buat TESL itu.
“Ayah saya seorang yang sangat tegas. Kalau beliau kata putih, putihlah. Kalau hitam, hitamlah.
“Jadi saya pula degil dan tak nak ikut cakap ayah, biasalah remaja usia nak cecah 18 tahun.
“Saya pun lari ke rumah kakak di Batu Pahat dan kakak pun terpaksa terima dan menjaga adik bongsunya ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, arwah bapanya tidak berputus asa dan tetap berusaha untuk memujuknya untuk menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam jurusan TESL di UiTM itu.
“Arwah ayah tetap nak paksa saya buat jurusan TESL dan saya pula terus berdegil dan terpaksa lari pula ke rumah seorang lagi kakak di Kuala Lumpur.
“Saya tak berani pun nak lari ke tempat lain selain dari ahli keluarga kerana kalau nak diikutkan saya memang anak yang baik dan dengar cakap serta hidup dalam lingkungan ahli keluarga sahaja.
“Ayah juga hantar emak dan kakak untuk pujuk saya dengan bawa borang jurusan TESL yang lengkap diisi oleh kakak serta berjumpa saya di Kuala Lumpur.
“Saya tetap berdegil juga tidak mahu terima dan terus menangis masuk ke bilik dan sudah macam dalam cerita Hindustan pula ketika itu,” kongsi penyanyi lagu Ingin Bersamamu, Persis Salju dan Oh Di Mana itu.
Pendek kata, Syafinaz menambah beliau terpaksa akur dan mengikut emaknya, Zaiton Hasan, pada hari pendaftaran jurusan TESL di UiTM dengan air mata yang berderaian.
“Apabila emak memaklumkan saya sebenarnya tidak berminat dengan jurusan TESL, pensyarah yang mengendalikan temu duga itu menasihatinya supaya tidak memaksa saya kerana keputusan tersebut melibatkan masa depan kerjaya saya.
“Emak saya pun akhirnya pasrah dan mengalah dengan keputusan saya itu.
“Tapi, saya terus merajuk dengan arwah ayah dan tidak pulang ke rumah untuk berjumpa dengannya dalam tempoh sebulan dua.
“Bila berjumpa pun saya tidak bercakap atau nak bermanja-manja dengannya lagi.
“Apapun, apabila permohonan untuk jurusan muzik dibuka, saya terus mohon dan berjaya mendapat tempat.
“Saya juga bersyukur kerana arwah ayah terima dan sokong sahaja keputusan saya itu,” ujarnya yang merupakan juri bagi pertandingan nyanyian popular, Gegar Vaganza dan Big Stage Alpha.
Beliau kemudiannya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Muzik di UiTM Shah Alam, pada 1995.
Berbanding penyanyi lain, Syafinaz akur beliau mahu tampil dengan kelainan dan tidak mahu genre muzik pop yang sama seperti artis lain.
Selain muzik klasikal, beliau turut meminati genre rhythm and blues (R&B) yang lebih moden dan mengikuti perkembangan muzik semasa.
“Saya memilih muzik klasikal kerana walaupun hanya menghasilkan album sekitar 10 tahun sekali, kerjaya saya sebagai penyanyi tetap berterusan hingga hari ini.
“Malah, saya juga masih dapat undangan menyanyi dan persembahan masih tak putus mungkin kerana penganjur tahu kalau muzik klasikal sebegini hanya saya saja yang pelopori dan tidak ada orang lain.
“Jadi saya rasa rezeki dalam bidang nyanyian itu masih bertali arus dan saya bersyukur ia dapat membuka mata orang kepada siapa diri saya,” kata Syafinaz yang turut fasih menyanyi dalam bahasa Sepanyol, Italy dan Jerman.
“
“Arwah ayah tetap nak paksa saya buat jurusan TESL dan saya pula terus berdegil dan terpaksa lari pula ke rumah seorang lagi kakak di Kuala Lumpur. Saya tak berani pun nak lari ke tempat lain selain dari ahli keluarga kerana kalau nak diikutkan saya memang anak yang baik dan dengar cakap serta hidup dalam lingkungan ahli keluarga sahaja. Ayah juga hantar emak dan kakak untuk pujuk saya dengan bawa borang jurusan TESL yang lengkap diisi oleh kakak serta berjumpa saya di Kuala Lumpur.”