Penyanyi Malaysia, Syasya Rizal, berkongsi beberapa perkara membabitkan kehidupan keluarga dan kerjaya bersama peminat menerusi video yang dimuatkan dalam laman Instagram miliknya.
Menerusi hantaran tersebut, Syasya atau nama sebenarnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24 tahun, mengulas kerinduan terhadap mantan anggota kumpulannya, Dolla.
“Sudah tentu rindu. Tapi, Syasya dan Dolla mempunyai haluan masing-masing.
“Syasya sentiasa menyokong penuh ‘my sisters’ dan mendoakan kejayaan mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan salah seorang peminat.
Turut dicatatkan luahan Syasya apabila beliau mengambil keputusan bertudung.
Beliau mengakui bahawa ia bukan perkara mudah, malah hingga sekarang masih takut dan belajar banyak perkara.
“Satu perkara yang saya sedar, dalam perjalanan nak jadi Muslimah lebih baik, saya mahu kelihatan cantik, bergaya dan berkeyakinan dalam penampilan,” tulisnya.
Sementara itu, jenama fesyen tudung terkenal, Finura, mengumumkan pelantikan Syasya sebagai duta rasmi, baru-baru ini.
Pelantikan itu menandakan kerjasama strategik dalam menampilkan rekaan tudung moden, selesa dan eksklusif untuk wanita Muslimah.
Pengasas Finura, Nurulain Md Yusof, berkata pemilihan Syasya sebagai duta adalah sangat tepat dalam memacu jenamanya untuk lebih berjaya pada masa hadapan.
“Kami sedang mencari seorang duta, jadi saya terlihat video Syasya di TikTok yang mengenakan tudung bawal.
“Saya terus rasa Syasya sangat sesuai untuk menjadi duta kami.
“Jadi, saya percaya pemilihan Syasya sebagai duta adalah keputusan tepat dalam memberi kesan positif,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Nurulain turut berkata beliau tidak mahu peminat bersangka buruk mengenai penghijrahan Syasya, sebaliknya matlamat ingin dicapai untuk meningkatkan motivasi wanita bertudung dengan tampil selesa.
“Harapan saya bukan sahaja untuk jenama, malah buat Syasya.
“Saya mahu peminat melihat penghijrahan Syasya sebagai satu perkara positif bukan disebabkan berhijab dapat jadi duta.
“Syasya hijrah secara ikhlas tanpa paksaan mana-mana pihak. Saya harap kehadiran Syasya dalam keluarga kami dapat meningkatkan keyakinan dalam bertudung,” kata Nurulain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg