KUALA LUMPUR: Penyanyi Malaysia, Syura Badron, 39 tahun, kini dirawat di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) sebuah hospital swasta selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah sejak petang 25 Oktober.
Menurut suaminya, Muhammad Farizat Ismail, Syura pada mulanya hanya mengalami batuk dan selesema sebelum diserang demam berpanjangan sejak seminggu lalu.
Bagaimanapun, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Nazam Berkasih itu tetap berkeras mahu menghadiri festival makanan di Port Dickson yang berlangsung selama empat hari, biarpun keadaan kesihatannya semakin merosot.
“Sepanjang empat hari di sana, keadaan Syura makin teruk sehingga seluruh badannya menggigil.
“Syura memang sejenis yang degil, dia selalu rasa dia tahu tahap kesakitannya dan cuba bertahan.
“Tapi bila dia dah tak larat sampai nak bangun pun tak boleh dan terpaksa dipapah, saya terus bawa dia ke klinik berhampiran. Hasil ujian darah tidak normal dan dia perlu segera dirujuk ke hospital,” kata Farizat kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Katanya, keadaan Syura semakin lemah sepanjang perjalanan dari Port Dickson ke Kuala Lumpur sebelum dirawat di bahagian kecemasan sebaik tiba di hospital.
“Doktor segera melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan mengesahkan terdapat jangkitan kuman dalam darah yang sudah merebak ke buah pinggang.
“Menurut doktor, ia bukan influenza atau denggi, tetapi berpunca daripada jangkitan bakteria. Mujur kami segera bawa Syura ke hospital kerana jika terlambat sehari dua lagi, kuman itu boleh merebak ke organ lain,” jelasnya.
Tambahnya, Syura kini dipantau rapi selepas suhu badan mencecah 40 darjah Celsius, selain tekanan darah dan nadi yang tidak stabil.
“Doktor terpaksa menempatkan Syura di HDU bagi pemantauan intensif. Malam tadi keadaan dia agak teruk, mungkin disebabkan tubuhnya sedang melawan antibiotik.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya sempat bercakap dengannya melalui telefon. Suaranya kedengaran lemah, tapi masih boleh berkomunikasi,” katanya lagi.
Farizat turut memohon orang ramai mendoakan kesembuhan isterinya.
“Saya pernah melalui pengalaman dimasukkan ke hospital akibat melecur tahun lalu (2024). Dari situ saya belajar doa orang ramai sangat mustajab.
“Jadi saya mohon agar semua mendoakan Syura kembali sihat seperti sediakala,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg