Bintang pop antarabangsa, Taylor Swift, sah bertunang dengan bintang bola sepak Amerika Syarikat daripada pasukan Kansas City Chiefs, Travis Kelce.
Berita gembira itu dikongsi Swift menerusi hantaran di Instagram pada awal 27 Ogos (waktu tempatan) dengan kapsyen mencuit hati.
“Cikgu Bahasa Inggeris dan cikgu Pendidikan Jasmani anda bakal berkahwin,” tulisnya.
Penyanyi lagu Shake It Off itu turut memuat naik foto detik Kelce melamar, termasuk gambar keduanya berpelukan, berpegang tangan dan mempamerkan cincin berlian yang tersarung di jari manisnya.
Sejak dimuat naik, hantaran tersebut meraih lebih 27 juta tanda suka, malah dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan artis dan pemimpin negara.
Pasukan Kelce, Kansas City Chiefs, turut menyambut baik berita gembira itu.
“Hari ini bagaikan kisah dongeng. Tahniah buat Travis dan Taylor.
“Kami berbesar hati menyambut anda sebagai sebahagian keluarga Chiefs Kingdom untuk selamanya,” kata pasukan Kansas City Chiefs menerusi hantaran di wadah X.
Ucapan turut hadir daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang menyifatkan pasangan itu serasi.
“Saya doakan mereka berdua banyak tuah. Travis seorang pemain hebat, seorang lelaki baik, manakala Taylor pula seorang insan luar biasa,” katanya.
Menurut laporan, cincin pertunangan Swift direka oleh pereka barang kemas terkenal, Kindred Lubeck, daripada Artifex Fine Jewellery, dengan potongan klasik ‘mine brilliant cut’.
Menariknya, Swift turut memuat naik hantaran di Instagram Story dengan meletakkan emoji hati bersama lagu So High School daripada album terbarunya, The Tortured Poets Department, yang dikatakan diinspirasikan oleh Kelce.
Hubungan Swift dan bintang Liga Bola Sepak Nasional (NFL) itu mula menarik perhatian selepas penyanyi tersebut muncul dalam podcast New Heights, yang dikendalikan Kelce bersama abangnya, Jason Kelce.
Ketika ditanya mengapa bersetuju hadir dalam podcast itu, Swift secara berseloroh berkata podcast tersebut menjadi punca beliau bertemu kekasih hati.
“Podcast ini yang beri saya seorang teman lelaki. Travis gunakan siaran itu sebagai ‘aplikasi dating’ peribadi untuk mendekati saya,” katanya
Perkenalan mereka bermula apabila Kelce berkongsi dalam podcast itu mengenai keinginannya berjumpa Swift selepas menonton konsertnya di Stadium Arrowhead, Missouri, Amerika.
Hajat itu mungkin lambat tercapai, tetapi ia membawa kepada keserasian yang akhirnya menyatukan mereka.
Sebelum ini, kehidupan cinta Swift sering menjadi bahan spekulasi.
Bekas kekasihnya termasuk vokalis 1975, Matty Healy, yang dikatakan menjadi inspirasi kepada album The Tortured Poets Department, selain pelakon Joe Alwyn, penyanyi Harry Styles, Jake Gyllenhaal dan John Mayer.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg