Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teman setia pendengar radio

Sebagai penyiar baru, Farhana M. Noor seronok dengar celoteh serta luahan rasa orang
Apr 13, 2025 | 5:30 AM
Farhana M. Noor anggap rezeki terbuka luas untuknya mendalami bidang penyiaran apabila menemani sahabat karibnya, Fadli Kamsani, sebagai deejay bersama segmen antara 5 petang hingga 8 malam, di stesen Ria 897.
Farhana M. Noor anggap rezeki terbuka luas untuknya mendalami bidang penyiaran apabila menemani sahabat karibnya, Fadli Kamsani, sebagai deejay bersama segmen antara 5 petang hingga 8 malam, di stesen Ria 897. - Foto MEDIACORP

Rezeki memang tidak pernah salah alamat dan sentiasa terbuka buat sesiapa yang ingin menimba ilmu dan mengembangkan kerjayanya.

Walaupun pelakon dan pengacara, Farhana M. Noor, pernah meluahkan hasrat hati untuk memperlahankan kerjaya seninya apabila sudah mempunyai dua cahaya mata, ada sahaja projek yang menantinya dan tidak mampu dilepaskan.

Farhana, 33 tahun, menerima tawaran menjadi deejay atau penyampai radio Ria 897 lebih sebulan yang lalu untuk mencuba sejauh mana beliau dapat menggalas amanah baru, lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan sahabat karibnya, Fadli Kamsani, 32 tahun.

“Sebenarnya, saya tiada rancangan menjadi deejay. Memandangkan proses percubaan cuma untuk tiga bulan, maka saya ambil sahaja sebab Fadli pun kata beliau tiada rakan juruhebah untuk sama-sama mengendalikan program antara 5 petang dengan 8 malam.

“Tapi terus terang, saya memang tiada hasrat nak bertukar kerjaya. Selepas berlakon dua drama berturut-turut, saya dahagakan sesuatu yang baru.

“Saya nak timba ilmu yang akan memberi saya pengalaman membuka mata yang akan saya kenang sampai bila-bila,” ujar pelakon drama Bunga Tanjong itu.

Perkenalan antara Farhana dengan Fadli bermula sejak mereka digandingkan untuk satu segmen peraduan realiti, Anugerah Skrin 2016, di mana peserta (Fadli) perlu berlakon dengan bakat Mediacorp Suria (Farhana).

“Ada orang kata kami memang serasi bekerjasama. Ada juruvideo pun cakap, Fadli dan Farhana macam saudara-mara saja sebab muka sama.

“Sejak itu, kami pun selalu kata kami ada pertalian darah. Saja ‘tipu’ orang. Tapi banyak projek dapat kami usahakan bersama kerana keserasian yang dibina.

“Kami pun mendirikan rumah tangga pada masa yang agak sama. Isteri Fadli hamil dan melahirkan pun nak dekat-dekat atau sama masa dengan saya.

“Jadi memanglah Allah atur ada sahabat seiring jalan,” cerita Farhana, yang memiliki ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam  bidang teater daripada Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Menurutnya, dalam tugasan barunya sebagai deejay, beliau sentiasa terasa seperti bukan satu tugasan kerana asyik tertawa sepanjang masa.

“Perbualan saya dan Fadli macam sembang santai bersama kawan. Pada hari pertama saya masuk bekerja di konti, saya macam ‘jakun’ sebab perlu gunakan pas digital dan imbas wajah saya!

“Apa yang menyeronokkan adalah kami dapat berkongsi dengan pendengar perkara seharian yang kami lalui atau amati di sekeliling kami.

“Ada satu segmen yang kami panggil ‘Telinga tak sumbat, mulut tak rembat’, atau cakap mudahnya kami mendengar tetapi tidak menilai orang.

“Pada Ramadan lalu, kami kongsi rahsia bulan puasa. Misalnya, saya suka pergi tandas sebab nak sembunyi-sembunyi minum air kerana tak nak puasa.

“Kami jadi ruang pendengar curahkan masalah atau dilema mereka. Apabila kami buka topik tentang perhubungan, memang pendengar suka. Ada yang menulis dan kirim pandangan di media sosial untuk kami bacakan tanpa mengenal pasti identiti mereka.

“Ramai yang nak menyumbang cerita kalau topik seperti kawan makan kawan kami ketengahkan. Sebab ramai yang alami perkara ini.

“Mereka pun suka berbual tentang perkara remeh-temeh antara wanita dengan lelaki,” tambahnya.

Menurut Farhana seraya tertawa, beliau pernah naik darah apabila topik ‘Siapa lebih penyabar - lelaki atau wanita?’ diajukan kepada pendengar.

“Ada ke pendengar ini kata, perempuanlah paling tidak penyabar sebab selalu meragam. Saya pun apa lagi? Naik darah saya sampai saya ‘slam’ habis-habis lelaki yang berpandangan sedemikian,” katanya lagi sambil geli hati.

Dengan peluang yang diperoleh kini, Farhana benar-benar dapat merasakan pengalaman meneroka cabang seni yang lebih meluas, di luar zon pengacaraan dan lakonan.

“Mengacara di luar atau di dalam televisyen, lain daripada kita bersembang dengan pendengar radio. Kemesraan dan kedekatan yang berbeza dapat saya rasakan menerusi radio.

“Kita tak tahu apa yang kita perbualkan mampu menyentuh perasaan orang sebab kebetulan mungkin mereka melalui masalah yang kita bincangkan dan memerlukan huraian,” katanya lagi.

Menyentuh tentang sambutan Raya yang baru berlalu, beliau melahirkan rasa syukur dirinya tinggal bersama ibu bapanya, yang banyak membantu dari segi persiapan juadah Lebaran.

“Sejak ada dua anak, saya lebih sibuk melayan budak-budak.

“Kalau mak bikin kuih, sayalah tolong rasa! Memandangkan nenek tinggal bersama kami, rumah kami memang dikunjungi saudara-mara yang ingin menjenguk nenek.

“Jadi mak sayalah yang paling sibuk uruskan segalanya, dibantu ayah dan pembantu kami,” katanya lagi.

Dahagakan sesuatu baru dalam kerjaya

Sebenarnya, saya tiada rancangan menjadi deejay. Memandangkan proses percubaan cuma untuk tiga bulan, maka saya ambil sahaja sebab Fadli pun kata beliau tiada rakan juruhebah untuk sama-sama mengendalikan program antara 5 petang dengan 8 malam. Tapi terus terang, saya memang tiada hasrat nak bertukar kerjaya. Selepas berlakon dua drama berturut-turut, saya dahagakan sesuatu yang baru. Saya nak timba ilmu yang akan memberi saya pengalaman membuka mata yang akan saya kenang sampai bila-bila.
Farhana M. Noor.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg