Tokoh muzik legenda Malaysia, Ahmad Khan Nawab Khan, atau lebih dikenali sebagai Tan Sri Ahmad Nawab, telah meninggal dunia di usia 92 tahun akibat sesak nafas.
Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada sekitar 3.15 petang pada 24 November.
Berita pemergian Allahyarham Ahmad disahkan oleh anaknya, Encik Nasir Nawab yang memaklumkan bahawa bapanya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Gombak, Selangor.
“Betul, bapa saya baru meninggal dunia di rumah kira-kira 3.15 petang tadi akibat sesak nafas,” katanya ketika dihubungi mStar pada 24 November.
Dalam pada itu, Encik Nasir memberitahu bahawa arwah bapanya pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sebelum ini, akibat masalah sesak nafas.
Beliau menambah bahawa kesihatan bapanya dalam tempoh sebulan ini juga tidak begitu baik dan sering kali jatuh sakit, lapor mStar.
“Saya sedih dengan pemergian arwah, tambah pula ketika itu saya ada bersamanya,” jelas Encik Nasir.
Sepanjang kariernya sebagai penyanyi, Allahyarham Ahmad telah menerbitkan 200 album hasil kerjasama dengan ramai penyanyi popular seperti Sudirman, Uji Rashid, Hetty Koes Endang, Ramlah Ram dan Datuk Khadijah Ibrahim.
Beliau juga pernah menghasilkan lebih 2,000 buah lagu sejak bergiat aktif sebagai komposer pada era 1950-an.
Ramai tidak tahu bahawa Allahyarham Ahmad juga merupakan individu di sebalik lagu ikonik ‘Malaysia Truly Asia’ yang dinyanyikan oleh biduanita, Datuk Khadijah Ibrahim bagi mempromosikan negara mereka di persada antarabangsa.
Sebagai penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan Allahyarham Ahmad dalam persada muzik, Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Penulisan pada 2000.
Beliau telah berkhidmat dengan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari 2006 hingga 2023, dan menerima Anugerah Seniman Negara atas sumbangan beliau.
Pada Jun 2023, Allahyarham Ahmad dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada industri muzik dan para peminatnya khususnya di Nusantara. Warisan karya seni dan sumbangannya akan terus dikenang sepanjang zaman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg