Pada usia yang hampir mencecah 40 tahun, pelakon Malaysia, Zul Ariffin, kini lebih aktif dalam menjaga penampilan tubuh badannya.
Dalam tempoh dua bulan sahaja, Zul, atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 38 tahun, berhasil menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram.
Ditanya Berita Minggu (BM) melalui Zoom tentang apa yang mendorong beliau untuk melakukan hal tersebut, Zul berkata:
“Sebelum saya menjalani penggambaran filem Magik Rompak, pengarahnya, Adrian Teh, memberitahu saya bahawa beliau ingin menerbitkan sebuah filem bertemakan sukan tinju berjudul The Furious.
“Secara ringkas, selepas saya ‘habis shoot’ Magik Rompak, saya terus sibuk dengan filem lain pula, Wantugo, pada Ramadan (2025) lalu.
“Kemudian, saya bertemu lagi dengan Teh untuk mengetahui perkembangan filem The Furious. Saya memaklumkannya agar menjemput saya sekiranya watak utama masih belum diisi pelakon lain.
“Saya sudah lama impikan peluang untuk menjayakan filem tinju kerana kegiatan ini minat saya sejak dulu lagi.
“Untuk itu, saya bertekad untuk turunkan berat badan sebanyak 20 kilogram.”
Bagaimanapun, Zul yang sebelum ini juga pernah membintangi filem aksi tinju, Sangkar (2019), dengan Datuk Remy Ishak, akur bahawa peluang ini membakar lagi semangat beliau untuk lebih menitikberatkan penampilan serta kesihatan fizikalnya.
Di sebalik itu juga, pelakon filem J Revolusi itu mengakui agak kurang senang dengan penampilan beliau sebelum ini.
“Secara jujur, saya sudah berada di tahap di mana saya rasa sangat muak dengan diri sendiri, dan sedar bahawa saya tidak sepatutnya membiarkan keadaan itu berlanjutan.
“Namun, itu tidak bermakna saya sakit atau tidak sihat. Saya masih sihat dan baik-baik sahaja.
“Bagi saya, demi kepentingan kerjaya, penampilan diri perlu diperbaiki dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Dalam masa dua bulan, saya berjaya menurunkan sebanyak 20 kilogram. Bahkan, ketika saya berumur 20-an tahun pun, tahap kecergasan saya tidak sehebat ini,” katanya lagi.
Zul, yang sudah 17 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, telah muncul dalam lebih 20 filem pelbagai genre, daripada romantik, aksi, komedi hinggalah kepada filem seram.
Menyentuh sama ada karya filem Malaysia kini setaraf dengan filem antarabangsa, Zul berkongsi takrifan peribadinya dan mengakui bahawa industri filem di rantau ini, khususnya Malaysia, telah menunjukkan perkembangan yang membangun.
“Secara realistik, menilai sesuatu filem bukan sekadar dari mutu atau tarafnya, malah bajet juga memainkan peranan penting.
“Apabila menyebut tentang filem setaraf antarabangsa, ramai terus fikir Hollywood.
“Sebenarnya, ia bukan begitu. Kita perlu bergerak secara berperingkat dan berusaha menonjolkan identiti sendiri dalam karya filem tempatan.
“Pandangan orang luar terhadap industri perfileman di Asia Tenggara juga sama.
“Karya filem kini menjadi perantaraan untuk mempromosikan jati diri, kekayaan budaya dan tempat-tempat menarik di rantau ini.
“Dulu, orang selalu menghala ke Barat, tetapi sekarang, secara perlahan-lahan, dunia Barat pula beralih ke sini.
“Namun bagi saya, yang terpenting sekali adalah untuk memenangi hati orang kita dulu, daripada terlalu sibukkan diri menawan hati orang luar,” ujar Zul.
Berkongsi lebih lanjut tentang desas-desus penggambaran filem susulan Sheriff: Narko Integriti, arahan Syafiq Yusof, Zul menjelaskan bahawa penggambaran itu tergendala dek jadual pengarah yang padat.
“Saya ada berjumpa dengan penerbit, Datuk Yusof Haslam, baru-baru ini, dan katanya filem kedua Sheriff akan dikeluarkan pada 2027.
“Manakala penggambarannya pula dijadualkan berlangsung pada September 2026.
“Sebenarnya, perancangan untuk menggambarkan filem terbabit adalah tahun ini (2025).
“Namun, ia tergendala sedikit kerana jadual Syafiq yang padat. Selepas kejayaan filem Sheriff, beliau terus sibuk dengan penggambaran filem Blood Brothers.
“Jadi, saya rasa ianya memerlukan sedikit masa lagi kerana maklumlah, beliau seorang yang sibuk, ibarat ‘terhangat di pasaran’ kini,” seloroh Zul.
Dengan kesibukannya menjayakan filem demi filem, Zul yang berhasil mencatat populariti melalui rantaian drama seperti Rindu Awak 200% (2014), M.A.I.D (2015) dan Titian Cinta (2017), akur rindu untuk kembali ke dunia lakonan drama bersiri.
“Saya sebenarnya ada hal yang belum dituntaskan lagi dalam dunia lakonan drama bersiri.
“Saya suka berlakon drama kerana interaksinya berbeza, dan tindak balas daripada penonton yang mengikuti drama juga lain berbanding mereka yang menonton filem di panggung wayang.”
“Kalau dijemput dan diberi peluang sekali lagi, saya pasti akan pertimbangkan.
“Malah, ada beberapa tawaran untuk penggambaran drama bersiri yang sedang menanti dalam masa terdekat ini,” tambah Zul. – AININ ALFIYANI JAILANI


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg