Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zul Ariffin terima anugerah di S’pura bagi penglibatan seni, karisma memikat

‘Hero Malaya’ tingkat lakonan jadi ketua misi rompakan dalam filem terbaru, ‘Magik Rompak’
Sep 21, 2025 | 5:30 AM
Zul Ariffin, GILMS, Bintang Kecemerlangan Berkarisma, Magik Rompak
Pada 22 Ogos, pelakon Zul Ariffin menerima anugerah ‘Bintang Kecemerlangan Berkarisma’ pada Anugerah Penghormatan Khas Antarabangsa 2025, anjuran Institut Kepimpinan dan Pengurusan Global Singapura (GILMS) di Marina Bay Sands, Singapura, sekali gus meraikan hampir dua dekad dirinya berkecimpung dalam industri seni lakon. - Foto INSTAGRAM ZUL ARIFFIN

Sekilas pandang, ‘Hero Malaya’, Zul Ariffin, memancarkan aura tegas dan serius.

Namun, di sebalik penampilan itu, tersimpan jiwa pelakon yang penuh disiplin dan ketekunan, sekali gus memiliki sikap ‘happy-go-lucky’ (sentiasa gembira dan selamba) serta tutur bicara yang ramah.

Apatah lagi jika yang ditanya itu soal kerjaya seni, Zul, atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 38 tahun, dengan senang hati sedia berkongsi apa sahaja.

Begitulah yang dirasakan oleh penulis Berita Minggu (BM) apabila menghubungi pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu melalui Zoom, baru-baru ini. 

Perkongsian hampir sejam itu ternyata mampu membuka pandangan lebih luas mengenai perkembangan kerjaya lakonan Zul sehingga kini.

Meraikan hampir dua dekad dalam industri seni lakon, beliau telah menerima Anugerah Bintang Kecemerlangan Berkarisma di Singapura, pada 22 Ogos.

Anugerah tersebut diberikan pada acara berprestij, ‘Anugerah Penghormatan Khas Antarabangsa 2025’ , anjuran Institut Kepimpinan dan Pengurusan Global Singapura (GILMS), di Marina Bay Sands.

Zul menganggap pencapaian tersebut sebagai satu pengiktirafan, hasil jerih perih membina nama dalam industri hiburan dan seni lakonan selama tempoh 17 tahun.

“Alhamdulillah, saya rasa seronok dan bersyukur apabila ada orang yang pandang hasil kerja keras dan karya saya selama 17 tahun berada dalam industri hiburan. 

“Lebih-lebih lagi ketika menerima anugerah ini di Singapura – tempat yang menyimpan banyak kenangan saya sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan.

“Kebanyakan masa, peminat di Singapura memberi sokongan yang tidak putus-putus sejak awal penglibatan saya dalam seni lakon melalui drama rantaian lagi.

“Maka itu, saya rasa sangat gembira dan teruja,” kata Zul kepada BM.

Mengenang kembali penglibatannya selama hampir dua dekad mewarnai kaca televisyen, beliau akui masa berjalan begitu pantas.

Sekalipun berdepan pelbagai cabaran, pelakon asal Taiping, Perak itu, akur beliau memilih untuk menumpukan perhatian sepenuhnya pada lakonan. 

“Mengimbau kembali tahun pertama saya berada dalam industri seni, saya sudah tahu bahawa hala tuju saya tidak akan berubah dan lakonan akan kekal menjadi dunia saya.

“Saya sangat suka dan menikmati kerjaya saya ini. Walaupun ia tidak lari daripada cabaran, tetapi saya takkan ke mana-mana.

“Lakonan telah menjadi sebahagian besar kehidupan saya.

“Kini saya sudah sampai ke tahap di mana orang panggil saya ‘abang’ di set penggambaran,” selorohnya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai filem terbarunya, Magik Rompak, Zul memainkan watak Fariq, salah seorang anggota kumpulan pencuri handalan ‘Night Spark’.

Sebagai perancang utama, Fariq memimpin misi rompakan bersama dua anggota lain, Wawa (lakonan Amelia Henderson), penggodam yang menjadi tulang belakang taktikal, dan Ujang (Nadhir Nasar), watak lincah yang cekap memanfaatkan peralatan serta menjadi penghibur di kala suasana tegang.

Filem Magik Rompak menyingkap kisah Hadi, seorang ahli silap mata yang juga dikenali sebagai ‘The Hadini’ (Sharnaaz Ahmad).

Setelah menghilangkan diri selama empat tahun, Hadi menyusun satu rancangan berisiko iaitu bekerjasama dengan sekumpulan perompak elit, Night Spark, demi membalas dendam peribadi terhadap tokoh korporat licik, Tan Sri Hamdan Tan (Tay Ping Hui).

Filem arahan Adrian Teh, dengan genre ‘heist’ atau rompakan berani itu telah memulakan tayangan awal di Malaysia, pada 5 September.

Ia turut mengundang pelbagai maklum balas daripada kalangan penonton dan pencinta filem di seberang Tambak.

Ramai yang mempertikaikan bahawa filem itu meraih inspirasi daripada filem Barat khususnya, Now You See Me (2013) dan Ocean’s Eight (2018), dengan beberapa babak yang hampir mirip dengan dua filem berkenaan.

Menariknya, Zul, yang berdarah kacukan Melayu-Belanda, mendedahkan sepanjang pengalaman menjayakan filem itu bahawa kali ini berbeza kerana penonton berpeluang menonton filem itu sebelum pelakon itu sendiri menilai karyanya.

Bagaimanapun, Zul meletakkan aspek hiburan sebagai fokus utama yang bukan sahaja mampu menghiburkan penonton, malah menghadirkan rasa puas buat dirinya sebagai pelakon.

“Saya tidak menafikan apabila penonton kata ada persamaan dengan filem Barat, ya, kerana adanya unsur silap mata yang disematkan dalam kisah rompakan berani ini.

“Dulu, ada juga drama siri popular Sepanyol di Netflix yang ramai orang tonton, Money Heist. Itu pun tentang rompakan juga.

“Jadi, bagaimana pula dengan perkara sebegitu? Kami tidaklah tiru 100 peratus babak demi babak tapi bagi saya, genre filem seperti ini jarang diketengahkan di Malaysia mahupun Singapura.

“Hakikatnya, hanya kerana sesuatu boleh dilakukan di luar negara, tidak bererti kita tidak mampu melakukannya di sini. 

“Kita juga sedia maklum filem luar mempunyai pengaruh besar terhadap pasaran tempatan, namun itu tidak semestinya menjadi alasan untuk meniru bulat-bulat,” jelas Zul.

Di samping itu, beliau turut berkata ini adalah kali pertama beliau bekerjasama dengan pengarah Adrian Teh, yang terkenal dengan filem aksi seperti Paskal, Wira dan MALBATT: Misi Bakara.

Meskipun kerjayanya sudah merentasi pelbagai pengalaman termasuk membintangi beberapa filem aksi dan rantaian drama, Zul akui bahawa setiap filem mempunyai cabarannya tersendiri.

“Bagi saya, cabaran utama adalah mencari keseimbangan ketika berlakon. Sebagai pelakon, kita harus pastikan tidak terlalu menonjol sampai mengganggu watak lain.

“Filem ini bukan tentang satu orang sahaja. Tempo dan cara penyampaian dialog perlu dijaga supaya semuanya nampak seimbang,” ujarnya.

Tambahan lagi, keseimbangan itu menjadi lebih mencabar apabila bekerjasama dengan Teh, yang terkenal dengan pendekatan pengarahan filemnya yang khas.

“Setiap pengarah ada cara mereka masing-masing dan saya juga akui, Teh mempunyai gaya pengarahan yang tersendiri dan unik.

“Cabaran ini menarik kerana ia memaksa saya menyesuaikan diri dengan pendekatan beliau. 

“Memastikan lakonan saya selari dengan harapan beliau – itulah profesionalisme yang sebenar bagi saya,” kata Zul.

Filem Magik Rompak boleh ditonton di pawagam Golden Village dan Shaw Theatres di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg