Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Uqasha Senrose fail cerai, tak lagi tinggal sebumbung bersama Kamal Adli

Oct 22, 2025 | 2:26 PM
Pasangan selebriti, Uqasha Senrose (kiri) dan Kamal Adli (tengah), dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu. Hasil perkahwinan sejak 2021, mereka dikurniakan anak perempuan, Hawra Uqaira.
Pasangan selebriti, Uqasha Senrose (kiri) dan Kamal Adli (tengah), dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu. Hasil perkahwinan sejak 2021, mereka dikurniakan anak perempuan, Hawra Uqaira. - Foto INSTAGRAM KAMAL ADLI

Kecoh di laman sosial apabila timbul desas-desus mendakwa pelakon terkenal Malaysia, Uqasha Senrose, 33 tahun, sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli, 39 tahun, di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur, pada 1 Oktober lalu.

Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, difahamkan dijangka hadir ke mahkamah pada 22 Oktober, bagi prosiding sebutan kali pertama berhubung permohonan cerai berkenaan.

Dikhabarkan rumah tangga pasangan selebriti itu mula bergolak sejak April lalu, namun permasalahan yang timbul bukan disebabkan kehadiran pihak ketiga.

Terdahulu, Uqasha dan Kamal bergelar suami isteri pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan selama empat tahun itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, setahun.

Pasangan itu juga didakwa kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Uqasha dilaporkan menetap bersama ibunya sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, pelakon filem Bisikan Dosa itu beberapa kali mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat selepas memuat naik hantaran berunsur luahan hati di media sosialnya.

Susulan hantaran yang dimuat naik Uqasha, Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, pula menjawab andaian membabitkan rumah tangganya sambil menjelaskan hubungan dengan Uqasha baik dan cukup menyayangi anak perempuan mereka, melalui satu hantaran di laman Instagram.

Dalam hantaran sama, Kamal turut meleraikan spekulasi mengenai rumah tangga mereka termasuk konon tidak bekerja.

“Saya terpanggil untuk membetulkan beberapa kenyataan netizen yang melibatkan maruah saya, isteri dan keluarga kami.

“Pertama, ada segelintir netizen buat andaian saya tiada masa untuk anak sendiri. Tidak baik.

“Banyak sahaja masa saya luangkan untuk Hawra, bawa bercuti dan sebagainya.

“Saya adalah seorang ayah. Saya sangat sayangkan anak saya. Mustahil saya tak fikir pasal Hawra,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Bagaimanapun, prosiding sebutan pertama kes perceraian antara pelakon terkenal, Uqasha dan Kamal, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 22 Oktober, telah ditangguhkan ke 28 Oktober ini.

Penangguhan itu dibuat selepas Kamal tidak hadir ke mahkamah kerana terikat dengan jadual penggambaran, meskipun dimaklumkan mengenai prosiding berkenaan lebih awal.

Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Cik Nurfarhana Abd Manaf, berkata anak guamnya hadir seawal jam 9 pagi, namun prosiding tidak dapat diteruskan susulan ketidakhadiran pihak defendan.

“Alhamdulillah, Uqasha hadir sendiri ke mahkamah pagi ini (22 Okt).

“Bagaimanapun, pihak defendan (Kamal) tidak dapat hadir dan hanya diwakili peguam syarie, Encik Abdul Hadi Mohamad Saleh.

“Oleh sebab itu, kes terpaksa ditangguhkan ke tarikh baru pada minggu hadapan bagi memberi ruang kepada pihak defendan hadir,” kata Cik Nurfarhana.

Mengulas lanjut, Cik Nurfarhana berkata, prosiding minggu hadapan akan menentukan sama ada pihak defendan bersetuju atau sebaliknya terhadap tuntutan perceraian yang difailkan anak guamnya, Uqasha.

Beliau turut mengulas ketidaksefahaman menjadi sebab utama Uqasha memfailkan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

“Tujuan perceraian ini adalah kerana tiada persefahaman.

“Anak guam saya merasakan hubungan rumah tangga tidak lagi dapat diteruskan walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi menyelamatkan perkahwinan.

“Namun, kita serahkan kepada takdir.

“Jika jodoh masih ada, alhamdulillah, tetapi jika tidak, inilah pengakhirannya buat Uqasha,” katanya lagi.

Ditanya mengenai dakwaan Uqasha memfailkan lafaz cerai pada 1 Oktober, Cik Nurfarhana mengesahkan perkara itu, namun menegaskan Kamal tidak menunjukkan usaha memujuk sejak tarikh tersebut.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya, tiada usaha ke arah itu setakat ini.

“Berapa lama mereka sudah tidak tinggal sebumbung, saya tidak boleh dedahkan kerana ia hal peribadi.

“Soal kebajikan anak juga belum disentuh dalam prosiding ini kerana tumpuan kini hanya kepada proses perceraian,” jelas Cik Nurfarhana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg