Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kamal Adli bengang pelakon baru sibuk main telefon bimbit di lokasi penggambaran

Jun 16, 2025 | 5:48 PM
Kamal Adli, pelakon baru, Malaysia
Pelakon Kamal Adli mendakwa ada segelintir bakat baru tidak serius ketika berada di lokasi penggambaran. - Foto INSTAGRAM KAMALADLI

PETALING JAYA (Selangor): Pelakon Kamal Adli mendakwa segelintir bakat baru tidak serius ketika menjalani penggambaran, termasuk kurang bergaul dengan pelakon lebih senior.

Bintang filem Takluk: Lahad Datu itu mendakwa pernah mendengar rungutan pelakon lain mengenai sikap acuh tak acuh segelintir bakat baru yang dilihat leka dengan telefon bimbit berbanding meneliti skrip atau memperbaiki mutu lakonan di lokasi penggambaran, lapor BH Online.

“Cerita-cerita ini banyak sampai ke telinga saya. Kerap main telefon itu sudah biasa sangat. Sudahlah tidak dalami skrip, jumpa senior buat tak tahu pula.

“Apabila kita bekerja dengan artis senior, telefon memang tiada di tangan mereka. Biasanya, mereka fokus, duduk berborak atau ajak berlatih.

“Budak-budak baru pula ada yang sibuk main telefon dan muat naik hantaran media sosial. Saya pun tidak tahu tahap serius mereka dalam industri seni ini.

“Tidak pasti mereka mahu jadi pempengaruh, pelakon atau selebriti,” katanya ditemui selepas tayangan episod pertama dan sidang media drama terbaru lakonannya, Hilang Kasyorga di TGV One Utama di sini, baru-baru ini.

Kamal berkata barangkali ada bakat baru menjadikan bidang lakonan sebagai kerja sambilan sehingga membuatkan mereka kurang serius ketika proses penggambaran.

Bagi juara program pencarian bakat, Hero Remaja edisi 2007/2008 ini, untuk berada dan bertahan dalam industri seni memerlukan kesungguhan dan tahap profesionalisme tinggi.

“Kita berada dalam industri yang profesional. Orang-orang dalam industri ini mereka sentiasa bersedia dan tahu kerja masing-masing.

“Bagi sesetengah pelakon baru, mungkin mereka anggap lakonan ini hanyalah pendapatan sampingan. Mungkin pendapatan sebagai pempengaruh atau perniagaan mereka lebih besar,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat yang boleh diberi kepada bakat baru dalam bidang lakonan, Kamal mengingatkan mereka agar lebih memahami etika kerja sebagai pelakon.

“Ketika ini, mungkin saya sudah boleh bercakap memandangkan saya juga sudah agak senior. Kepada adik-adik baru, anda kena faham. Mungkin senior ini tidak banyak bercakap.

“Tetapi tingkah laku anda akan beri impak kepada kami. Anda sepatutnya sudah tahu apa undang-undang apabila masuk ke set.

“Kalau anda sudah bersedia 100 peratus, tahu hendak lontarkan dialog dan jayakan babak, tidak mengapa. Kalau semuanya baru hendak belajar di set penggambaran, anda kena fikir semula bidang yang mahu diceburi ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg