Sejak kumpulan legenda Malaysia, KRU, menggegarkan arena hiburan dengan konsert berskala besar, GenKru, baru-baru ini, seolah-olah terbuka semula lembaran baru bagi kumpulan popular era 1990-an.
Satu demi satu tampil dengan aspirasi yang sama – mahu kembali menguasai pentas besar semula, ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Apabila nama 4U2C dan Elite diumumkan bakal kembali ke gelanggang muzik menerusi konsert berskala mega, semangat berkobar-kobar jelas terasa diperkukuh dengan dedikasi mereka dalam menjalani latihan vokal serta tarian secara intensif.
Bagi generasi 1990-an, dua kumpulan itu bukan sekadar penghibur, malah mereka pernah menjadi ‘trendsetter’ atau pencipta trend budaya popular yang mewarnai serta membentuk identiti remaja ketika itu – baik dari segi gaya fesyen, tarian mahupun cita rasa muzik.
Meskipun ‘hanyut’ dalam semangat serta keterujaan yang membuak-buak, media sosial turut menjadi gelanggang perdebatan dalam kalangan netizen.
Keratan video persembahan artis 1990-an yang tular akhir-akhir ini mencuri perhatian saya.
Ada yang terpukau dengan persembahan penuh nostalgia daripada kumpulan yang sekian lama dirindui, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan sejauh manakah mereka mampu ‘menunjukkan taring’ di pentas berskala besar.
Lihat sahaja penganjuran konsert sulung berskala besar, Elite Live In Kuala Lumpur, yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Malaysia, pada 20 September lalu.
Kemunculan semula lima jelitawan yang terdiri daripada Abby Abadi, Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali dan Azza Zawari, menjadi simbol keberanian mereka menguji sejauh manakah nyalaan jenama Elite masih mampu memikat ramai.
Tiga dekad selepas diperkenalkan di bawah naungan KRU, pesona Elite ternyata masih ‘menyala’.
Daripada penampilan yang penuh gaya, aksi yang bersahaja sehinggalah ke daya tarikan karisma, jelas terbukti usia lewat 40-an tahun bukan penghalang buat mereka kembali menyinari pentas dan memukau ribuan peminat setia.
Tidak hairanlah jika penganjur konsert, Icon Entertainment, sanggup mempertaruhkan persembahan berskala besar itu, meskipun wujud suara sinis yang memperhatikan mutu vokal mereka dan keadaan sesetengah anggota yang dilihat tercungap-cungap, selain membahas soal harga tiket yang dianggap melambung tinggi.
Selepas konsert Elite melabuhkan tirainya, salah seorang anggota mereka iaitu, Linda, tidak lari daripada kecaman pedas netizen.
Ramai yang mempertikaikan busananya yang kelihatan kurang sopan pada usianya yang mencapai 47 tahun itu, apatah lagi ia menonjolkan bentuk tubuhnya sewaktu menari mengikuti irama beberapa lagu hit Elite.
Linda, atau nama sebenarnya, Azlinda Abdul Rafar, berkata beliau menerima pandangan orang ramai mengenai pemakaiannya pada konsert itu.
Namun begitu, beliau tidak boleh bertolak ansur apabila ada pihak yang mengaitkan perkara tersebut dengan keluarganya.
“Saya terima semua kritikan tetapi tidak akan memaafkan mereka yang beri kata-kata celaan dan mengaibkan diri serta keluarga.
“Saya tidak akan maafkan sampai bila-bila selagi mereka semua tidak minta maaf kepada saya,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Malah, beliau turut menambah telah memberi yang terbaik pada konsert Elite, sekali gus memohon maaf jika persembahannya tidak seperti yang diharapkan peminat.
“Minta maaf jika persembahan saya tidak sehebat yang semua inginkan.
“Saya sudah cuba sedaya upaya, tetapi, saya bukan insan yang sempurna,” ujarnya.
Selain Linda, saya turut terpinga-pinga melihat gelagat Abby yang tampak lesu dan tidak bermaya pada konsert tersebut.
Semasa membawakan lagu Wanita, terlihat beliau sedikit sukar mengikuti gerak tari ikoniknya, manakala beberapa bait lirik juga terlepas dinyanyikan, menjadikan persembahannya kurang sempurna.
Ada juga netizen yang memuji sikap ‘malu-malu kucing’ dirinya untuk menari atas pentas, atas sebab sudah jadi ‘mak-mak’, lantas agak keberatan untuk melakukan gerakan lincah seperti zaman muda belia.
Bagaimanapun, hakikatnya, Abby dikatakan menghidap influenza dan kesihatannya mula terganggu semasa sesi latihan sebelum konsert dimulai.
Dengan keadaan sedemikian, wajar sekiranya Abby kelihatan kurang bertenaga, namun saya menghargai keberanian dan semangatnya untuk meneruskan persembahan walau tubuhnya tidak berada dalam keadaan terbaik.
Selain itu, konsert 4U2C, WE 4U2C Live In Concert di Idea Live Arena, pada 22 September, turut menjadi bualan ramai, dengan sesetengah pihak menilainya seolah-olah ‘syok sendiri’.
Gelagat anggota 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Lanz, Aren, Yanz, Rinz, Charlie dan Azam, sewaktu membawakan lagu Hari Raya ikonik mereka, Bergema Takbir Di Pagi Raya, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen.
Masakan lagu Lebaran dinyanyikan dalam sebuah persembahan berskala besar dan di hadapan ribuan penonton ketika musim Raya sudah berlalu?
Apapun, tidak sedikit yang memuji dedikasi, daya cipta, dan keikhlasan mereka terhadap muzik, yang masih teguh walaupun sudah sekian lama tidak beraksi sebagai sebuah kumpulan.
Mungkin sudah tiba masanya bagi kumpulan popular 1990-an ini menilai semula strategi pemasaran mereka untuk masa hadapan.
Pementasan berskala kecil atau ‘showcase’ boleh dijadikan langkah permulaan, tanpa terburu-buru mengadakan konsert mega semata-mata untuk menyaingi atau mengikuti jejak orang lain.
Pendekatan yang lebih bersahaja bukan sahaja lebih realistik, malah memberi ruang untuk mengukur sambutan sebenar peminat, membina momentum perlahan-lahan, serta mengekalkan keakraban dengan peminat sebaya yang setia sejak zaman kegemilangan dulu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg