Kota Jakarta, mahu meletakkan kedudukannya sebagai hab industri filem dan televisyen, dengan kesediaan melancarkan insentif kewangan, sistem sokongan penerbitan sehenti, dan strategi pembangunan bakat untuk bidang perfileman.

Malahan, Naib Gabenor Jakarta, Rano Karno, yang juga merupakan seorang karyawan filem terkenal di Indonesia, menjelaskan satu insentif cukai sebanyak 50 peratus bagi penerbitan filem tempatan akan dilancarkan pada 26 Jun ini.

Rano, 65 tahun, yang dikenali dalam filem, Si Doel Anak Betawi, dan memulakan kerjaya seninya sebagai pelakon cilik, mengumumkan demikian ketika berucap pada satu sidang kemuncak media, hiburan dan teknologi Asia, Apos, di Bali pada 18 Jun lalu.

Apos merupakan singkatan bagi ‘Asia Pacific Operators Summit’ atau Sidang Kemuncak Operator Asia Pasifik.

“Kami mahu Jakarta menjadi sebuah kota pawagam yang sebenar dan salah satu hab hubungan terkemuka di Asia.

“Bagi merealisasikan perkara itu, pucuk pimpinan di Jakarta telah memperkenalkan satu ekosistem lengkap untuk menyokong pembikin filem, pencipta kandungan dan pelabur,” kata Rano.

Menurutnya, Jakarta memperkenalkan beberapa bentuk sokongan.

“Pertama, kami memudahkan proses pembikinan filem. Kami tahu penggambaran dan kelulusan bagi sesebuah filem ditayangkan boleh menjadi rumit.

“Disebabkan itulah, kami mencipta perkhidmatan sehenti yang dipanggil, Film in Jakarta.

“Daripada perlu berurusan dengan pelbagai pejabat berbeza, pihak penerbitan akan mempunyai satu platform dan pasukan untuk menyokong mereka – daripada pemilihan lokasi dan ruang awam hinggalah kepada penyelarasan lalu lintas dan keselamatan.

“Segalanya akan dikendalikan di satu tempat. Matlamat kami mudah: kurang masa menunggu, kurang syarat, dan pelepasan yang lebih cepat,” katanya, lapor laman web, Variety.

Menurutnya, Jakarta mempunyai ratusan lokasi unik, kemudahan awam, mercu tanda, dan premis milik pemerintah.

Pihak penerbitan yang layak boleh memperolehi banyak daripada lokasi ini dengan kadar istimewa dan diskaun besar.

“Bagi pasukan peninjau lokasi, kami juga menyediakan sokongan penginapan, pengangkutan, dan peluang untuk meneroka destinasi di sekitar Jakarta.

“Semasa penggambaran berjalan, mereka boleh menerima diskaun penginapan dan sokongan pengangkutan.

“Dan apabila projek anda selesai, kami boleh membantu mempromosikannya melalui rangkaian media digital Jakarta di seluruh bandar.

“Kami mahu pemerintah Indonesia menjadi rakan kongsi anda, dan bukannya sekadar satu lagi pihak berkepentingan,” ujarnya.

Pada 26 Jun, Jakarta akan melancarkan program rebat cukai secara rasmi untuk penerbitan filem.

Menurutnya, syarikat penerbitan boleh menerima bayaran balik cukai sehingga 50 peratus.

Ini bukan sahaja tentang mengurangkan kos, tetapi tentang membantu penerbit berjimat bagi projek mereka selanjutnya, mengembangkan perniagaan mereka, dan mencipta lebih banyak cerita.

“Kami sedang melabur dalam bakat. Industri yang hebat memerlukan orang yang hebat. Itulah sebabnya kami sedang membangunkan program untuk penulisan, pengarah, penerbit, pakar sinematografi, penyunting, pereka bentuk, dan juga ahli kru yang lain.

“Antara inisiatif ini termasuk program Latihan Kehidupan Teater Jakarta (Jakarta Theatre Life Training), pementoran, dan pensijilan,” tambahnya.

Rano menjelaskan pihaknya juga menyokong prasarana industri dan mahukan lebih banyak studio, kemudahan animasi, pentas bunyi, syarikat kesan khas, dan syarikat pascapenerbitan di Jakarta.

“Matlamat kami mudah: untuk menjadikan Jakarta sebuah bandar di mana setiap peringkat penerbitan boleh dilakukan di satu tempat.

“Daripada peringkat pembangunan hinggalah ke pascapenerbitan, segalanya harus mampan, cekap, dan bertaraf dunia.

“Akhir sekali, kami percaya pembangunan ini adalah lebih daripada sekadar hiburan.

“Setiap syarikat penerbitan mencipta peluang pekerjaan bukan sahaja untuk pelakon dan kru, malah turut membantu memacu perniagaan hotel, restoran, perniagaan tempatan, dan perniagaan lain.

“Apabila industri kreatif berkembang, rakyat Jakarta juga akan turut berkembang,” tambahnya.

Rano yang menyifatkan dirinya sebagai rakan industri filem juga berhasrat mengundang penerbit, pencipta kandungan, pelabur, dan penyedia platform bagi berkongsi idea.

“Bawalah idea anda kepada kami, bawalah cerita anda, dan biarkan Jakarta menjadi tempat di mana cerita-cerita tersebut menjadi kenyataan,” ujarnya.