Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarikan semberani bintang Indo sebagai wakil rakyat

Artis yang dikenali dan dipercayai dapat suarakan keluh-kesah rakyat dengan karisma selebriti
Apr 26, 2025 | 5:30 AM
Pasha Ungu, Kris Dayanti, Rano Karno, Desy Ratnasari
Bintang terkenal Indonesia (foto atas, dari kiri mengikut putaran jam), Pasha Ungu, Kris Dayanti, Rano Karno, dan Desy Ratnasari, adalah antara artis yang terlibat dalam dunia politik dan memiliki tarikan semberani serta menjadikan arena ini peluang untuk membantu golongan memerlukan. - Foto-foto INSTAGRAM RANO KARNO, KRIS DAYANTI, PASHA UNGU DAN DESY RATNASARI

Apabila pelakon Hollywood, Ronald Reagan, dinobatkan sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-40 pada 21 Januari 1981, tertanya-tanya saya dalam hati, “Mengapa aktor filem lama ini bertukar kerjaya?”

Ketika itu, saya baru berusia lapan tahun dan masih di bangku sekolah rendah.

Saya hanya mendengar perbualan antara ibu bapa saya yang menggemari filem lama yang dibintangi mendiang Reagan seperti, The Killers, The Hasty Heart dan Storm Warning.

Yang menjadi tanda tanya adalah sejauh manakah beliau dapat menggalas amanah sebagai ketua negara sebesar Amerika dan apakah beliau berjaya menambat hati penduduk dengan kuasa tarikan seorang selebriti yang dikenali serata dunia?

Reagan yang meninggal dunia pada 5 Jun 2004 bertahan sebagai Presiden selama dua penggal atau lapan tahun dan dikenali kerana menambah kos ketenteraan bagi Perang Dingin, memperluas dasar menentang penyalahgunaan dadah tetapi dikatakan lambat bertindak bagi mengekang penularan epidemik Aids.

Apabila saya kian dewasa dan kemudian menceburi bidang kewartawanan, khususnya dalam menghasilkan rencana hiburan, saya menyedari kecenderungan menceburi politik turut wujud dalam kalangan selebriti Nusantara, khususnya di Indonesia.

Dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang kini terasa di Singapura, di samping tampilnya pasangan suami isteri dan anggota band Kraton, Jufri Salim dan Surayah Akbar, sebagai calon Parti Demokratik Singapura (SDP), ingin saya kongsi pengamatan saya tentang kesan selebriti dalam arena politik.

Bintang mapan Indonesia seperti pelakon dan penyanyi, Rano Karno, Desy Ratnasari, Kris Dayanti, dan vokalis band Ungu, Pasha, adalah antara nama yang bersinar sebagai ahli politik.

Bahkan, dalam pertemuan saya bersama Kris Dayanti, 50 tahun, dan Pasha, 45 tahun, kededuanya begitu bersemangat apabila diajak bersembang tentang kerjaya mereka dalam bidang politik.

Daripada setakat menggunakan wadah seni masing-masing bagi mempengaruhi pemikiran ramai tentang isu atau ideologi politik, mereka benar-benar turun padang untuk mendekati masyarakat dan menjadi wakil rakyat.

Dalam satu rencana bertajuk, Celebrities In Politics di laman Daily Tribune, dijelaskan kehadiran selebriti sebagai calon pilihan raya membantu pengundi muda yang mengikuti perkembangan dunia budaya pop untuk membuat pilihan mereka.

Selebriti mempunyai kuasa luar biasa, apatah lagi jika mereka nama besar dalam industri seni dengan ramai yang menjadikan mereka idola untuk diteladani.

Mereka juga sudah biasa dengan pentas besar untuk menyuarakan isu yang menjadi keprihatinan rakyat.

Bezanya, mereka hanya beredar dari pentas nyanyian ke dewan Parlimen atau di sesi rapat pilihan raya untuk mereka berhujah.

Rano, 65 tahun, kini adalah Timbalan Gabenor Jakarta dan telah berkecimpung dalam bidang politik selama hampir 30 tahun.

Penyanyi lagu, Tenda Biru, Desy Ratnasari, 51 tahun, pula aktif sebagai anggota Majlis Perwakilan Rakyat daripada Parti Mandat Nasional.

Di Sukabumi, Desy banyak membantu menggerakkan projek menaiktarafkan jalan untuk penduduk desa di samping ramah mendengar permasalahan penduduk.

Dalam satu wawancara bersama laman web, Kapanlagi, beliau menjelaskan peranannya sebagai artis juga adalah untuk menyuarakan keprihatinan penduduk yang juga merupakan peminat kerja seninya.

Sewaktu bersembang dengan saya ketika hadir bagi satu konsert di The Star Theatre pada 2023, Kris Dayanti menjelaskan beliau memang sudah lama ingin melakukan sesuatu lebih daripada setakat menghiburkan peminat.

Jiwa masyarakatnya yang membuatkannya ingin memperjuangkan nasib sebilangan rakyat Indonesia yang mengalami masalah pekerjaan dan kemiskinan di desa-desa terpencil.

“Saya lihat amanah ini sebagai sesuatu yang berat sebab saya mengharungi badai politik yang kuat dengan bermacam saingan dan dinamik politik yang berubah.

“Dalam perjalanan politik pun, kita lihat kesusahan yang ingin kita bantu redakan sedaya yang mampu.

“Saya prihatin dengan isu pemerkasaan wanita sebab saya tahu ada banyak potensi dalam kalangan masyarakat kaum Hawa kita,” katanya.

Kris Dayanti yang ramah dan mudah mesra dengan sesiapa yang ditemuinya itu memang sesuai menjadi wakil rakyat walaupun perjalanan kerjaya politiknya sebagai wakil rakyat bertahan selama lima tahun.

Yang pasti, menurutnya, beliau akan ingat pesanan Allahyarhamha Titiek Puspa, komposer dan penyanyi yang dianggap seperti mentor, agar terus menggalas amanah sebaik mungkin dan jangan pernah berundur membantu golongan memerlukan, baik ada di Parlimen mahupun tidak.

Dalam satu wawancara bersama Berita Harian, Pasha yang pernah menjadi Wali Kota Palu dan kini anggota Parti Amanat Nasional pula memberitahu saya beliau bersyukur dapat mendekati ceruk-ceruk desa untuk menemui mereka yang terperangkap dalam lingkaran kemiskinan.

“Persamaan antara dunia politik dengan seni adalah kededuanya memerlukan insan yang ramah, peka dan bertanggungjawab.

“Mengawal lautan orang ramai itu perlu. Sebagai penghibur anda bertemu orang ramai, bagaimana mampu menarik minat mereka.

“Begitu juga sebagai ahli politik, kepekaan dan mengawal orang ramai serta sedia menyelami cita rasa mereka juga faktor penting.

“Pokoknya, ia memerlukan kemahiran berkomunikasi secara berkesan.

“Alhamdulillah, tugas baru saya ini dapat diterima isteri dan anak-anak. Mereka juga selesa dan masih ada masa bagi saya bersantai dengan keluarga,” katanya.

Satu perkara yang pasti apabila selebriti bergelar ahli politik, ia akan memberi satu pesanan kepada pengamat atau orang ramai di luar sana bahawa penggiat seni bukan hanya tenggelam dalam dunia ‘syok sendiri’ atau isu yang ringan-ringan dan santai sahaja.

Mereka juga berupaya mengetengahkan perkara serius dan memiliki daya intelek untuk perjuangkan suara masyarakat, sebagaimana yang dipaparkan dalam kerja seni mereka secara tidak langsung.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg