Wani Kayrie teruja nama kian dikenali hasil usaha tanpa henti

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wani Kayrie teruja nama kian dikenali hasil usaha tanpa henti

Penyanyi lagu, ‘Cak Cak Cekuk’, berjaya bukti kemampuan dalam industri muzik meski pernah dilabel ‘sendu’
Feb 26, 2026 | 3:15 PM

Wani Kayrie teruja nama kian dikenali hasil usaha tanpa henti

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
wani kayrie, industri muzik, malaysia
Penyanyi, Wani Kayrie, akur perjalanan memahat nama di persada industri muzik Malaysia yang dilaluinya penuh getir. - Foto INSTAGRAM WANI KAYRIE

Meskipun menyanyi kerana minat, penyanyi muda, Wani Kayrie, atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah, 25 tahun, akur perjalanan memahat nama di persada industri muzik Malaysia dilaluinya penuh getir.

Sebelum menyertai pertandingan nyanyian realiti, Big Stage (Musim Pertama) pada 2018, beliau sudah lebih dahulu dikenali dengan lagu, Jangan Jangan, yang dirakam pada 2015.

Ia diikuti lagu lain seperti, Berteman Saja, Kumbang, Bunga dan Aku Suka Kamu.

Bagaimanapun, kumpulan lagu itu tidak membantu dirinya untuk dikenali ramai, sebaliknya Wani dilabel penyanyi ‘sendu’ kerana didakwa tidak boleh pergi jauh dan sekadar suka-suka sahaja.

Ditanya perasaannya apabila dilabel penyanyi sendu, Wani dilapor laman web, Harian Metro, sebagai berkata:

“Mungkin orang itu tidak mengikuti rapat perkembangan saya dalam industri.

“Namun, saya ambil apa yang dilabelkan mereka sebagai cabaran dan pembakar semangat untuk terus bekerja keras.

“Saya pastikan cuba membawa nama ke peringkat lebih tinggi dengan menjayakan persembahan di luar negara, selain tumpuan menyanyi di Malaysia.

“Saya juga mempelbagaikan kemahiran diri dengan menari.”

Wani turut mengakui perjalanan membuktikan keupayaannya dalam bidang seni bukan sesuatu yang mudah, malah sarat dengan pengorbanan dan air mata.

“Banyak juga cabaran dan kesukaran sebenarnya yang saya lalui.

“Antaranya untuk dapatkan kepercayaan dan kerjasama dengan pereka fesyen, jurusolek artis dan pendandan rambut kerana bagi saya, penampilan itu sangat penting.

“Sebagai penyanyi, sememangnya penampilan dari hujung rambut sampai ke kaki kena dipastikan benar-benar ditata rapi setiap kali membuat persembahan.

“Ia bagi mengekalkan imej yang eksklusif.

“Selain itu, saya juga perlu peka memilih busana, solekan dan penataan rambut yang bersesuaian dengan acara hiburan dihadiri.

“Sebab itu, saya perlukan banyak bekerjasama ‘glam team’ yang benar-benar memahami,” katanya.

Bak peribahasa ‘usaha takkan mengkhianati hasil’, anak sulung tiga beradik itu kini amat bersyukur dengan apa yang diperolehnya – hasil titik peluh sendiri termasuk mempelbagaikan bakat sebagai pelakon.

Bagi penyanyi kelahiran Sabah itu, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.

Oleh itu, beliau mengingatkan diri agar berani mencuba, sekali gus tidak mempedulikan kata-kata orang.

Hasil usaha gigihnya, kini Wani sudah mampu mencapai impian usia mudanya untuk memiliki kereta mewah jenama Mercedes, yang dianggap hadiah untuk diri sendiri.

“Saya menyanyi sudah lama, malah juga berlakon. Jadi, hasil daripada pendapatan itu saya berasa wajar untuk hadiahkan diri sendiri, malah membuatkan saya perlu terus bekerja keras.

“Pada usia sekarang, amat penting ada rasa bertanggungjawab dalam menguruskan komitmen sendiri dengan hasil kerja.

“Bagi saya sangat penting juga untuk kita melabur.

“Terutama untuk aset kerana pada masa depan pun, saya tak tahu berapa lama boleh bertahan sebagai penyanyi.

“Ibu selalu ingatkan saya untuk tidak bersikap boros membeli dan buat perkara yang tidak berfaedah,” katanya lagi.

Menyentuh tentang lagu, Cak Cak Cekuk, nyanyiannya yang berhasil membawa nama Wani ke tangga populariti, beliau bersyukur dan tidak menyangka lagu itu disukai, sekali gus diterima baik pelbagai peringkat usia.

“Saya bersyukur kerana selepas sekian lama, saya ada juga sebuah ‘singleyang menaikkan kembali nama dalam industri.

“Maklumlah, agak lama lagu-lagu saya tidak begitu hit seperti Cak Cak Cekuk.

“Alhamdulillah, mungkin ini juga adalah hasil sokongan peminat yang lama menantikan karya berunsur tradisional moden yang semakin menjadi trend juga dalam industri muzik,” ujar Wani.

Memandang ke hadapan, Wani akur sentiasa melihat sudut positif, potensi baharu serta berusaha mendapatkan lagu bersesuaian mengikut genre yang disukai pendengar.

“Semoga setiap lagu saya diterima baik oleh semua lapisan masyarakat tidak kira usia kerana setiap apa yang saya hasilkan adalah untuk semua orang rasa seronok bila mendengarnya.

“Bagi setiap penyanyi, kalau sesebuah lagu dinyanyikan itu berjaya, insya-Allah orang akan terus memberikan sokongan untuk karya seterusnya sampai bila-bila. Jadi, teruslah berusaha,” pesannya kepada bakat muda.

... Saya ambil apa yang dilabelkan mereka sebagai cabaran dan pembakar semangat untuk terus bekerja keras. Saya pastikan cuba membawa nama ke peringkat lebih tinggi dengan menjayakan persembahan di luar negara, selain tumpuan menyanyi di Malaysia.  Saya juga mempelbagaikan kemahiran diri dengan menari.
Wani Kayrie.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg