Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wany tak lelah teroka kerjasama baru dengan penggubah Indo

Hargai pengalaman selami kisah hubungan toksik dalam ‘Jahat’
May 12, 2025 | 5:30 AM
wany hasrita, wany, penyanyi malaysia, jahat, menahan rindu
Wany Hasrita menganggap kerjasama dengan komposer Indonesia bagi lagu tentang hubungan toksik, ‘Jahat’, membuka lagi lembaran baru dalam kerjaya seninya yang masuk tahun kesembilan pada 2025. - Foto ARIFFIN SULAIMAN INSTAGRAM WANY HASRITA

Hampir sembilan tahun berjuang dalam industri seni Malaysia tidak membuatkan penyanyi tinggi lampai, Wany Hasrita, lupa akan amanahnya untuk sentiasa menimba ilmu demi memperkasa kerjaya seni yang menjadi pilihan.

Pendek kata, Wany, 32 tahun, atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, yang bermula daripada aplikasi karaoke, Smule, masih lagi anak seni yang menitikberatkan kerendahan hati apabila berbicara di samping misi dan visi untuk meneroka pembaharuan dan sisinya yang berbeza dalam kerja seni.

Satu langkah besar yang diambil pelantun lagu, Menahan Rindu, yang dijadikan runut bunyi rasmi (OST) drama Lelaki Itu Pemilik Hatiku, adalah bekerjasama dengan barisan komposer Indonesia dan label rakaman, Sony Music Malaysia, bagi lagu terkininya, Jahat.

Lagu itu merupakan ciptaan bersama Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt, dan Trakast, yang juga menulis lirik kisah hubungan kasih yang toksik.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) menerusi Zoom pada 6 Mei, Wany, ibu seorang anak perempuan, Aishah Al Iman, yang bakal berusia dua tahun, berkata:

“Nampak sahaja judul lagu Jahat ini macam ‘garang’, tetapi kalau didengar lagunya, ia sayu dan menyentuh kalbu.

“Kali pertama saya dengar demo lagu ini pada Julai 2024, saya langsung jatuh cinta.

“Saya terkesan dengan melodi dan liriknya, langsung menetapkan matlamat, walau apa jua, saya mesti nak rakam lagu ini.

“Label rakaman Sony Music Malaysia menyambut usulan pihak saya dengan tangan terbuka bagi membolehkan lagu ini dirakam di Indonesia pada November 2024.”

Menurut Wany, ia merupakan kali pertama beliau merakam lagu ‘galau’ (sedih, kecewa dan patah hati) dengan konsep muzik Indonesia.

Sehingga akhbar ini diterbitkan, video muzik Jahat, telah ditonton sebanyak 360,000 kali di YouTube setelah dimuatnaikkan di YouTube pada 18 April.

Di Spotify pula, ia sudah distrim lebih 135,000 kali.

“Jalan cerita dalam lagu Jahat ini memang menyentuh perasaan saya. Ia mengisahkan tentang sang lelaki yang manipulatif (inginkan pasangan ikut caranya) dan suka mempersoal pasangannya sehingga boleh disifatkan sebagai mendera emosi wanita berkenaan.

“Inilah luahan hati seorang wanita yang tertanya-tanya, ‘Mengapa jahatnya kau sampai buat aku macam ni?’,” ujar Wany lagi.

Usahanya bekerjasama dengan komposer Indonesia turut menggambarkan satu lagi kerjasama artis Malaysia bersama karyawan muzik serumpun bangsa.

Awal dari ini, ia turut mencipta jaya buat rakan seninya, Ernie Zakri, melalui lagu Masing Masing dan Hal Hebat (dengan pencipta ‘papan atas’, Ade Govinda).

“Bagi saya, peluang sebaik ini, membantu artis Malaysia menebarkan sayap. Seperti dalam konteks lain, kalau kita boleh naik pangkat, mengapa tidak?

“Lagu yang bagus boleh datang dari mana-mana, tetapi kalau kita merebut peluang menyanyikan naskhah yang baik, yang boleh bantu kita tebarkan sayap, mengapa tidak?

“Saya suka tengok Ernie Zakri mendapat tempat di Indonesia. Begitu juga dengan usaha artis baru meningkat lain, yang nak ke Indonesia. Bukan senang nak tembusi pasaran orang.

“Saya memang bangga dan kalau ada rezeki untuk saya susul dengan promosi Jahat di sana, ia memang peluang keemasan,” ujar Wany, yang amat meminati lagu Melly Goeslaw, Ratusan Purnama.

Rezeki juga datang bagi Wany berpadu suara untuk dua lagu, Makan Cintaku, dan Berbagi Hati, dengan sahabat seninya, Khai Bahar, yang juga bermula daripada aplikasi Smule.

“Sebenarnya, lagu Berbagi Hati bukanlah duet yang kami duduk dan rancang. Tanpa sengaja, kami ditawarkan untuk menyanyikannya untuk OST drama.

“Saya amat berbesat hati dapat bekerjasama dengan Khai setelah sekian lama peminat kata, suara kami serasi.

“Sebelum ini, kami cuma pernah berlumba bersama dalam pesta perlumbaan, Toyota Gazoo.

“Tambahan pula, bagi lagu, Berbagi Hati, Ratu OST, Kak Amylea Azizan, adalah komposer dan penulis liriknya,” kata Wany.

Wany dan Khai turut dipilih sebagai Duta mi segera jenama, Nongshim.

Mereka bukan sahaja menyanyikan lagu iklan Nongshim, Makan Cintaku, bahkan dibawa terbang ke Busan, Korea, untuk menjalani penggambaran drama ringkas TikTok bagi promosi jenama tersebut pada Januari 2025.

“Berlakon bukan kekuatan saya tetapi dengan adanya kru yang hebat dan pengarah yang sangat membantu, saya dapat membawa watak saya dengan lebih lancar lagi.

“Ini kali pertama saya jejakkan kaki ke Busan dan merasakan semangat kekeluargaan dengan kru drama ringkas TikTok ini,” kata Wany.

Beliau kini menanti projek yang dapat menunjukkan sisi lainnya sebagai penyanyi.

“Saya rasa dalam tempoh sembilan tahun ini, saya lebih matang dalam menjalani hidup sebagai anak seni.

“Saya sudah berkahwin dan ada anak. Tapi, saya masih lagi belajar dan ingin menimba seberapa banyak ilmu seni yang termampu,” ujarnya.

Apakah pula pesannya kepada remaja yang masih belajar tetapi mengimpikan kerjaya sebagai penyanyi?

“Teruskan pembelajaran dahulu. Tapi kalau ada rezeki nak jana pendapatan sampingan daripada ‘gig’ dan persembahan menyanyi, mengapa tidak?

“Tapi habiskan dahulu apa yang anda mulakan, iaitu belajar. Kalau dah habis belajar, cari pasukan yang baik, yang dapat berkongsi misi dan visi dalam membina kerjaya seni ini.

“Lebih mudah begitu, akan ringanlah segala bebanan walau ujian dalam kerjaya mencabar ini tetap ada,” kata Wany lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg