Menerusi filem Kudrat 1968: High Council, pelakon Malaysia, Akmal Asyraf, bersyukur apabila kehadirannya dalam industri seni negara itu mula diberi perhatian selepas enam tahun berusaha.

Bagi Akmal, atau nama sebenarnya, Akmal Asyraf Mohd Aziyan, yang kini berusia 30 tahun, beliau telah melakukan persembahan lakonan yang terbaik sebagai penghargaan kepada peminatnya yang menyokongnya sehingga kini.

“Saya sudah cuba untuk menambat hati penonton sejak saya aktif dalam industri ini sekitar 2020.

“Sekarang baru dapat, jadi saya menghargai setiap mereka yang berterusan menunjukkan sokongan daripada awal.

“Terima kasih, ini yang saya tunggu,” katanya ketika ditemui semasa majlis tayangan filem Kudrat 1968: High Council, di Malaysia, baru-baru ini, lapor Utusan Malaysia.

Filem arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff, itu mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada 29 Oktober.

Ia mengisahkan tentang Abbas (lakonan Zarif Ghazzi) yang memasuki institusi pendidikan berprestij, Kolej Ungku Deramat (Kudrat), untuk membantu adik tirinya, Fuad (Umar Shakur), namun mendapati sekolah itu dikuasai sistem hierarki yang membezakan pelajar berdasarkan darjat dan latar belakang keluarga.

Berlatarbelakangkan 1968, kisah ini turut mengetengahkan hubungan tegang antara Abbas dengan bapanya, Ungku Deramat (Rusdi Ramli), yang pernah mengabaikannya, di samping perjuangan Abbas mencabar sistem hierarki yang menindas pelajar daripada golongan bawahan.

Sementara itu, Akmal membawakan watak Piji, antara pelajar yang terlibat dalam pergolakan di institusi tersebut.

Sebelum menemui penonton di pawagam, kisah ini terlebih dahulu diperkenalkan menerusi empat episod siri Kudrat 1968: High Council yang disiarkan di Astro Ria dan Astro Citra, selain di wadah penstriman Netflix, Sooka dan Astro X3.

Siri tersebut memperkenalkan watak, konflik serta asal-usul sistem hierarki yang menjadi teras drama francais High Council.

Antara pelakon lain yang menjayakan naskhah ini termasuk Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith dan Evertts Gomes.

Mengulas lanjut, kata Akmal, perjalanan kerjayanya dalam dunia seni bermula menerusi teater sebelum kemunculan pertamanya di skrin pada 2020.

“Saya sudah berada dalam industri ini lama.

“Kalau betul-betul dalam industri seni, saya sudah buat sejak bangku sekolah untuk teater. Manakala untuk ‘on-screen’ (di skrin), saya mula aktif pada 2020.

“Alhamdulillah, pada tahun keenam ini, barulah diterima ramai,” kongsinya, yang mengakui kini semakin ramai yang mahu mengajaknya bergambar.

Di samping itu, Akmal turut mendedahkan pernah bekerja sambilan sebagai pemandu penghantaran Lalamove selama beberapa bulan untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

“Saya pernah jadi pemandu Lalamove pada April lalu selama beberapa bulan kerana ada kelapangan masa, dan bagi mendapatkan pendapatan sampingan.

“Bagi saya, tidak kisah buat macam-macam kerja, asalkan rezeki itu halal.

“Tak perlu pun nak ada perasaan malu kalau kita bekerja sebagai pemandu Lalamove atau penghantar barang kerana kita bekerja untuk dapat rezeki. Alhamdulillah, saya okey sahaja dan seronok.

“Saya memang tak kisah dengan tanggapan orang terhadap kerja biasa yang dibuat walaupun saya kini dikenali sebagai pelakon. Bagi saya, buat sahaja kerja itu kalau kita sudah meminatinya,” ujarnya, yang turut menjayakan filem Tarung: Unforgiven.

Pelakon filem Malaikat Malam itu turut menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkan sebarang tawaran lakonan yang diterima dengan hati terbuka.

“Buat masa ini, saya tidak rasa menjadi mahu menjadi selektif untuk naskhah seterusnya. Watak yang akan saya lakonkan akan datang ini pun tidak besar, hanya sokongan sahaja.

“Sekarang pun saya tiada perancangan untuk masa hadapan, hanya ikut sahaja arus yang sudah ditetapkan,” kata Akmal.

Filem Kudrat 1968: High Council bakal ditayangkan mulai 12 November di enam pawagam Golden Village (GV), iaitu GV Downtown East, GV Bedok, GV Jurong Point, GV Paya Lebar, GV Tampines dan GV Yishun.