Walaupun usianya masih muda ketika memulakan kerjaya seni, pelakon Malaysia, Zarif Ghazzi, 21 tahun, membuktikan kejayaan melonjakkan diri ke carta popular adalah hasil bakat lakonan yang menyerlah dan usaha gigih.
Sebagai wajah baru dalam dunia seni, Zarif atau nama sebenarnya, Zarif Farahi Effie Ghazzi, telah menjayakan beberapa rantaian drama seperti, Antara Dua Syurga (2025), Khunsa (2024), Berbahagi Suami (2024), Persis Boneka (2024), Isteri Halal (2023) dan Budak Hostel Otaknya Sewel (2023).
Namun begitu, detik bersejarah yang mengangkat nama Zarif dalam persada seni lakonan adalah ketika beliau menyahut cabaran melakonkan watak lelaki songsang iaitu, Doktor Fakhrul, seorang pakar psikologi dalam drama, Seribu Tahun, arahan Shahrulezad Mohameddin.
Mengakui ia satu isu berat dalam masyarakat, bagaimanapun, keberhasilan beliau membawakan watak yang sarat emosi dan pesanan itu telah mencuri perhatian banyak pihak penerbitan yang kemudian menawarkannya peluang berlakon.
Bak kata pepatah, lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang, pelakon asal Johor itu mengakui kematangannya sebagai pelakon kini jauh berbeza sejak mula berkecimpung dalam dunia lakonan pada 2023.
Sebagaimana jelasnya ketika dihubungi melaluI Zoom baru-baru ini, beliau berkata:
“Sebenarnya, banyak perkara yang telah saya pelajari. Antaranya seperti, perbezaan cara membawakan watak dalam lakonan.
“Saya pernah bawa watak serius, antagonis dan komedi.
“Kesemuanya memerlukan kelainan demi menjayakan watak-watak tersebut.
“Seiring berjalannya waktu, saya hanya perlu beberapa hari untuk membuat persiapan bagi watak yang diberikan, berbanding mengambil masa berminggu-minggu sebelum ini.”
Pencapaian Zarif dalam arena hiburan bertambah manis apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang kategori, Selebriti Newcomer Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat (AMT2025) pada 3 Ogos, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai wajah baru paling menonjol dan berpengaruh pada 2025.
Kemenangan tersebut turut diraih hasil undian 100 peratus daripada peminat setia.
Dalam drama terkini berjudul, Abang Imam Minah Skuter, hasil kerjasama sulung antara Viu Malaysia dengan Zeel Production, Zarif memaparkan sisi dirinya yang lebih manja, sambil menyisipkan unsur komedi dalam lakonan.
Kali ini, Zarif digandingkan bersama pelakon, Bella Dowanna, 22 tahun, yang memainkan watak gadis tomboi, Mardiah.
Di samping itu, ini turut merupakan kali pertama mereka bekerjasama dalam sebuah drama berunsur komedi romantik, arahan Helmi Yusof.
Drama itu mengisahkan watak seorang jejaka bandar bernama Zarul (lakonan Zarif), yang cuba melarikan diri daripada perkahwinan yang diatur kedua orang tuanya.
Malangnya, tanpa diduga, Zarul terjebak menjadi imam ‘tak rasmi’ di sebuah kampung terpencil iaitu, Kampung Ulu Banat, yang penuh dengan kerenah dan peraturan pelik.
“Watak Zarul boleh dikatakan seorang yang manja kerana beliau adalah anak tunggal dan sangat taat pada ibu bapa.
“Hanya satu hal yang beliau tidak boleh ikuti iaitu, berkahwin dengan pilihan orang tua dek takut dengan tanggungjawab yang perlu dipikulnya.
“Dan apabila beliau terjebak menjadi imam di sebuah kampung, ia merupakan suatu hal yang mengerunkan.
“Beliau seolah-olah dibayangi kembali trauma akibat satu peristiwa silam yang membekas di ingatan,” kata anak bongsu dalam keluarga empat beradik itu.
Cabaran yang dihadapinya ketika menjayakan drama 12 episod itu juga bukan biasa-biasa.
Bagi Zarif, meski seronok digandingkan bersama pelakon komedi berpengalaman seperti, Zulin Aziz, Usop Wilcha, Kazar Saisi, Acong Sweetchild dan Man Rajalawak, beliau terpaksa ‘tahan gelak’ di set penggambaran yang bertempat di Perlis, Malaysia.
“Apabila di set penggambaran, saya perlu mengingatkan diri bahawa saya sedang melakonkan watak seorang imam.
“Ada hukum-hakam yang perlu diberi perhatian dan dijaga.
“Jadi, ketika ada pelakon yang lebih berpengalaman melakukan ‘ad-lib’ (dialog yang ditokok tambah secara spontan) atau membuat jenaka, kita boleh berikan tindak balas, namun harus juga ikut skrip.
“Sedikit sebanyak, ia memberi pengajaran untuk saya – sebagaimana skrip yang diberikan, kita harus berikan reaksi yang semula jadi sewaktu penggambaran,” ujar Zarif.
Dalam pada itu, Zarif turut mengakui proses menjiwai watak seorang imam itu memberi kesan positif pada dirinya, membuka ruang untuk mendalami ilmu agama.
“Saya hanyalah manusia biasa, yang mana pengetahuan agama masih boleh dipelajari dengan lebih dalam lagi.
“Secara tidak langsung, melalui watak Zarul, ia memberikan saya peluang untuk mempelajari perkara yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini, khususnya bersangkutan hukum-hakam agama serta hadis.
“Jika saya terbawa-bawa dengan watak ini ke dalam kehidupan peribadi pun, saya tidak ada masalah,” selorohnya.
Menyentuh cita-citanya berkaitan pendidikan, baru-baru ini, Zarif telah mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan.
Bagi dirinya yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menceburi bidang lakonan, langkah berani itu ibarat mimpi menjadi nyata kerana kini, beliau lebih yakin mengatur masa dengan bijak, mengimbangi antara lakonan dengan pendidikan.
Beliau turut berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, jika diberi kesempatan dan ruang waktu.
Sementara itu, bagi mereka yang ingin menyaksikan drama, Abang Imam Minah Skuter, ia kini boleh ditonton di aplikasi penstriman digital Viu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg