Pejam celik, 2025 menyaksikan kumpulan rok ikonik, Wings, meraikan sambutan ulang tahun ke-40 pembabitan mereka dalam arena seni suara.
Kumpulan yang mula meledak menerusi lagu, Intanku Kesepian, itu telah menempuh pelbagai pengalaman suka dan duka selama berdekad dalam industri muzik di rantau ini.
Sempena ulang tahun ke-40, vokalis Wings, Awie, atau nama sebenarnya, Datuk Ahmad Azhar Othman, 56 tahun, mengumumkan beberapa perancangan menarik pada 2025, termasuk menganjurkan konsert solo dan istimewa di penjara.
Menurut laporan dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM), Awie berkata sambutan ulang tahun akan dimulakan dengan mengadakan konsert penghormatan bagi kumpulan rok itu dan dijadualkan pada pertengahan tahun, sama ada Mei atau Jun.
“Perancangan mengadakan konsert ini sudah dibuat setahun lalu (2024).
“Konsert solo ini akan menyaksikan saya menyanyikan kembali lagu lama, antara 1960-an dengan 1990-an.
“Kalau ikut perancangan asal, saya nak rakamkan lagu terlebih dahulu, diikuti penganjuran konsert.
“Saya juga bercadang, sebahagian royalti penjualan album ini akan diserahkan kepada artis atau pewaris yang saya nyanyikan lagunya itu.
“Namun, disebabkan Wings dalam proses nak buat album, jadi kami tak boleh nak tunggu lama dan konsert ‘tribute’ (penghormatan) kena teruskan,” katanya kepada BHM ketika ditemui pada majlis iftar dan sidang media anjuran Rumah Produksi Merah (RPM) di Petaling Jaya, Malaysia, pada 27 Mac.
Turut memeriahkan acara itu ialah Pengarah Urusan dan Pengasas RPM, Datuk Eddy Amir Salim, dan anggota lain Wings, iaitu Eddie, Black, Edrie dan Syam.
Awie menambah, konsert itu juga merupakan satu penghormatan dan sanjungannya terhadap sumbangan artis terdahulu dalam memperkembangkan industri seni di Malaysia.
“Lagu yang saya pilih kebanyakannya adalah karya yang pernah membentuk landskap muzik tanah air dan antarabangsa.
“Mereka inilah yang membuka jalan untuk artis seperti kami meneruskan perjuangan.
“Kami masih mencari nama yang sesuai untuk konsert ini,” ujarnya.
Mengenai konsert di penjara, Awie menyifatkan projek itu sebagai sesuatu yang istimewa buat Wings.
Konsert berkenaan turut mendapat sokongan daripada Menteri Dalam Negeri (Malaysia), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Kami nak bersama mereka dengan memberi kata-kata semangat, nyanyian, selawat dan sebagainya. Kami ambil kesempatan untuk buat kelainan.
“Saya harap perkara baik seperti ini dapat diuar-uarkan untuk memudahkan kami mendapatkan penaja kerana kami tidak jual tiket dan tak ambil bayaran.
“Ini projek kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat Wings. Jadi, saya harap akan ada jenama besar dan pengasas produk dapat bersama kami melaksanakan misi ini,” kata Awie.
Selain penganjuran dua konsert, sambutan empat dekad Wings akan turut diserikan dengan acara besar, Wings Fest, yang bakal diadakan pada Oktober atau November.
Turut berada dalam senarai perancangan RPM adalah membawa Wings ke kota London untuk membuat persembahan dan pembikinan filem berkaitan sejarah penubuhan kumpulan itu serta jatuh bangunnya dalam bidang muzik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg