Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konsert Awie dirakam, dimuat naik secara haram di YouTube

Mar 28, 2025 | 3:28 PM
Konsert TRIAD yang menyaksikan Datuk Awie mengetuai persembahan tiga kumpulan rok ikonik negara, iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari dimuat naik di YouTube tanpa kebenaran.
Konsert TRIAD yang menyaksikan Datuk Awie mengetuai persembahan tiga kumpulan rok ikonik negara, iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari dimuat naik di YouTube tanpa kebenaran. - Foto NEW STRAITS TIMES

PETALING JAYA: Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah (RPM) Datuk Eddy Amir Salim memberi amaran kepada pihak yang memuat naik video kandungan konsert milik syarikatnya dan mengenakan caj langganan, untuk menurunkannya serta-merta.

Memperincikan perkara itu, Eddy menegaskan sekiranya masih berdegil, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka, lapor akhbar Berita Harian Malaysia.

“Apa yang mereka buat adalah, membeli tiket konsert anjuran RPM di tempat paling hadapan dan membuat rakaman penuh, malah ada juga yang mengadakan sesi siaran langsung.

“Kemudian, mereka muat naik di platform media sosial dan YouTube. Pihak tidak bertanggungjawab ini difahamkan mengenakan caj langganan antara RM16 ($4.83) hingga RM60 sebulan.

“Ini cetak rompak alaf baru. Jika tidak dibendung, ia boleh menjejas penganjur konsert seperti kami. Berapa banyak mereka boleh buat duit hasil kerja haram ini.

“Kami bukan bercerita mengenai kerugian, tetapi impak kepada industri muzik,” katanya ketika ditemui di Majlis Iftar dan Sidang Media RPM, di sini, Khamis malam tadi.

Isu itu dibangkitkan Eddy berdasarkan kes yang berlaku ketika konsert TRIAD yang menyaksikan Datuk Awie mengetuai persembahan tiga kumpulan rok ikonik negara, iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu.

Tidak mahu isu sama berulang, RPM berhasrat bertemu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh terdekat bagi menyuarakan isu cetak rompak digital yang membelenggu industri.

“Ini bukan isu baru. Sudah banyak konsert lain yang pernah menjadi mangsa. Pertemuan ini diadakan untuk mencari kata sepakat dan meminta bantuan kerajaan mengekang permasalahan ini daripada terus berleluasa.

“Jika diikutkan, kami boleh mengambil tindakan berdasarkan amaran yang tertera di tiket, iaitu larangan untuk membawa peranti dan merakam sepanjang konsert berlangsung.

“Tapi, kami belum sampai ke tahap itu. Jadi, kami beri amaran untuk menurunkan kandungan tersebut di platform media sosial masing-masing,” jelasnya.

Lebih membuatkannya kesal apabila pihak berkenaan bukan sahaja mengaut keuntungan berlipat kali ganda secara atas angin, malah turut mengganggu proses RPM menjual kandungan kepada pihak berlesen.

Sementara itu, Awie meluahkan kekecewaan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menjual barangan eksklusif Wings seperti baju ciplak.

“RPM adalah pengeluar sah kepada barangan eksklusif Wings, namun masih ada pihak yang menciplak dan menjual secara haram.

“Ini juga antara masalah yang sedang kami hadapi ketika ini,” ujarnya.

Terdahulu, pada majlis itu, RPM turut berkongsi pelbagai perancangan yang sudah disusun untuk kumpulan Wings sempena sambutan ulang tahun ke-40 kumpulan rok legenda itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg