Yuna kenang cabaran getir bina kerjaya di Amerika
Penyanyi lagu ‘Crush’ tidak biasa hidup berjauhan daripada keluarga tercinta
Berbekalkan nasi putih, telur dan sardin, itulah antara kenangan pahit manis ketika penyanyi kelahiran Malaysia, Yuna, memulakan kerjaya seni di Amerika Syarikat pada 2011.
Ketika itu, Yuna, atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, ketika itu berusia 25 tahun, berasa misinya di Malaysia sudah lengkap selepas meraih kemenangan dalam Anugerah Juara Lagu (AJL), dan Anugerah Industri Muzik (AIM), lalu membuat keputusan mencuba nasib di Amerika.
Lagu seperti Dan Sebenarnya, Terukir Di Bintang, Lelaki, Penakut dan Gadis Semasa, bukan sahaja mengukuhkan nama Yuna di persada muzik Malaysia, malah membuka jalan baginya untuk dilamar syarikat rakaman dan pengurusan, Indie-Pop, sebelum akhirnya menandatangani kontrak dengan Fader Label yang berpangkalan di New York.
Namun, tanpa sebarang harta benda ketika itu, Yuna, kini 39 tahun, menganggap pengalaman tersebut mematangkan dirinya sebagai anak seni yang merintis kerjaya di negeri orang.
“Makan pun makan mi segera, makan roti, sardin. Dekat sana adalah jual sardin. Masak pun masak nasi putih, masak sardin, goreng telur... macam itulah, ringkas.
“Saya bermula dengan seadanya dan selepas itu, baru perlahan-lahan dapat tawaran kerja.
“Setelah album diterbitkan, dan saya tandatangan kontrak dengan Universal Music... adalah pendapatan, alhamdulillah.
“Sejujurnya, bab duit itu bukankah satu masalah besar,” kata Yuna dalam laporan, Harian Metro.
Keputusan untuk memulakan kerjaya di Barat difikirkan secara serius oleh Yuna.
Beliau akur penerimaan lagu Inggeris di Malaysia, mungkin tidak sehebat di Amerika dan faktor itu menjadi salah satu sebab utama Yuna membina kerjaya seninya di sana.
Menurut Yuna, yang juga biras kepada penyanyi Indonesia terkenal, Bunga Citra Lestari, duit simpanan yang dimilikinya sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kos untuk memulakan kehidupan di Los Angeles.
“Kalau saya tak ambil peluang itu, sampai bila-bila saya akan menyesal.
“Jadi, okeylah, tak mengapa, saya cubalah lihat bagaimana keadaannya dan terus ‘redah’ sahaja. Alhamdulillah, saya juga ada sedikit wang simpanan.
“Tambahan lagi, saya nekad untuk ke Los Angeles bagi menghasilkan lagu, kerana ketika itu, saya banyak menulis lagu berbahasa Inggeris.
“Pada masa sama, lagu Inggeris sukar menembusi pasaran Malaysia dan hanya peminat di Kuala Lumpur sahaja yang bersikap lebih ‘moden’, dan menghargai karya saya ketika itu.
“Bagaimanapun, melalui MySpace, karya saya turut sampai kepada peminat luar negara. Saya menerima sokongan daripada peminat di Chicago dan Seattle.
“Ini meningkatkan lagi keyakinan saya untuk mencuba nasib di sana,” ujar penyanyi lagu Crush itu.
Di samping itu, salah satu cabaran lain yang turut Yanu hadapi adalah perasaan ‘homesick’ (rindu terhadap keluarga) akibat perlu berjauhan dengan orang tersayang.
“Nak balik selalu pula tak boleh sebab kosnya mahal.
“Saya masih ingat pada awal permulaan itu, saya tidak mempunyai perabot atau kelengkapan lain di apartmen saya kecuali piano, tilam dan bantal.
“Piano itu pun diberikan oleh seorang rakan yang tinggal di tingkat atas. Kebetulan, dia ingin berpindah kerana bekerja sebagai DJ dan namanya semakin dikenali apabila salah satu lagunya tiba-tiba menjadi popular.
“Di sana (Amerika), jika lagu seseorang menjadi hit, memang terus jadi jutawanlah!,” seloroh Yuna, yang kini sudah kembali menetap di Malaysia.
Yuna turut berasa pengalaman menjadi penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekitar awal 2000-an, sudah cukup mengajarnya nilai berdikari, apatah lagi apabila terpaksa menaiki kereta api atau teksi pada awal pagi untuk ke studio rakaman dan kembali pulang pada petang hari.
“Kadang-kadang, perjalanan ke studio agak jauh.
“Namun, jika terlalu jauh, pengurus saya yang akan hantar, contohnya ke Malibu, ia kira-kira mengambil masa sejam dari rumah.
“Penerbit pula semuanya menetap di Malibu... di rumah-rumah besar dan mereka semua orang-orang berada.
“Selepas sesi rakaman, saya akan pulang seperti biasa, berehat dan makan, sebelum kembali semula ke studio pada hari berikutnya.
“Saya seorang yang sangat serius apabila melibatkan hal kerja. Saya rasa ini datang daripada disiplin yang saya pelajari semasa menjadi pelajar di UiTM.
“Peralihan daripada seorang pelajar kepada artis tidak mengambil masa yang lama. Sebaik lulus pengajian, saya terus menjadi artis di Malaysia.
“Jadi apabila bekerja di Amerika Syarikat, saya tidak mahu membazirkan masa. Saya berpegang pada prinsip itu,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian tinggi dari UiTM, Kampus Shah Alam.

