Penyanyi Malaysia, Aisha Retno, menegaskan pembabitannya dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) bukan disebabkan populariti mahupun bantuan ‘kabel’.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25 tahun, berkata sepanjang mengikuti bengkel penerbitan berkenaan, semua pelakon termasuk dirinya menerima layanan sama rata tanpa sebarang keistimewaan meskipun bergelar selebriti.

“Kalian perlu tahu bahawa kami sedang bekerja keras demi memastikan naskhah PGLM yang akan dipentaskan Oktober ini mencapai kejayaan.

“Kami tidak pernah berada dalam zon selesa. Tiada istilah menggunakan kabel atau sebab seseorang itu popular untuk dipilih.

“Semua orang dilayan dengan cara yang sama sepanjang bengkel ini berlangsung,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Mengulas lanjut mengenai persiapannya, penyanyi lagu Sutera dan Jodoh Lebaran itu menyifatkan latihan teater muzikal berkenaan sebagai cabaran fizikal dan mental yang cukup mencabar, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Saya boleh katakan teater muzikal ini umpama kem ketahanan seumur hidup.

“Oleh itu, saya mohon berikan kepercayaan kepada kami, kededua pemegang watak Gusti Puteri serta barisan pelakon lain termasuk ensemble.

“Kami akan memberikan komitmen sepenuhnya demi memartabatkan persada teater muzikal di Malaysia,” katanya.

Pementasan PGLM yang dijadual berlangsung Oktober depan di Malaysia menjadi antara naskhah paling dinantikan peminat seni tanah air susulan reputasinya yang besar dalam sejarah teater tempatan.

Selain Aisha, PGLM turut menampilkan pelakon baharu, Mila Mohsin, sebagai Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah dan penyanyi dan pelakon, Aqasha, sebagai Hang Tuah.