Bakatnya mula digilap dalam bidang seni selepas bergelar naib juara dalam pertandingan realiti, Raja Lawak, musim pertama di saluran Astro pada 2007.

Nama Zizan Razak, bukan sahaja dikenali sebagai pelawak, malah beliau terkenal juga sebagai pelakon dan pengacara serba boleh selepas 19 tahun berkecimpung dalam bidang seni.

Namun, Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 42 tahun, berkongsi beliau pernah melalui fasa takut untuk naik ke pentas sehingga terpaksa menolak banyak tawaran dalam bidang pengacaraan sebelum ini.

Menurut Zizan yang pernah mengacara pertandingan nyanyian, Akademi Fantasia, selama empat musim dari 2013 hingga 2016, beliau tidak dapat memastikan sama ada keadaan yang dialaminya itu merupakan ‘anxiety’ atau rasa kebimbangan melampau ketika itu.

“Pernah ada satu ketika, saya sendiri tidak tahu sama ada saya mengalami ‘anxiety’ atau apa tetapi saya berasa takut untuk naik ke pentas tapi orang tidak tahu mengenai perkara itu.

“Mungkin kerana saya terlalu banyak berlakon sehingga emosi itu terbawa-bawa. Apabila saya pergi ke tempat yang ramai orang atau menghadiri acara, saya mula berasa tidak selesa.

“Saya sendiri tidak tahu apa perasaan itu dan rasa lebih baik saya tidak pergi,” katanya kepada Harian Metro.

Kini, Zizan kembali dalam dunia pengacaran menerusi program realiti, Borneo Rising, bersama pengacara Sherry Al-Hadad, yang bermula 6 September lalu.

Ia merupakan kali pertama beliau bergandingan dengan Sherry dalam bidang pengacaraan.

“Sebenarnya, saya berasa gementar terbabit dalam program ini kerana sudah lama tidak mengacara.

“Tapi saya percaya, gandingan kami mungkin boleh memberikan kelainan dan warna kepada program ini.

“Sherry juga pengacara yang sangat bijak dan sentiasa peka dengan keadaan serta sangat menghiburkan,” katanya.

Tatkala ditanya bilakah kali terakhir beliau mengacara, pelakon filem, Polis Evo, itu berkata beliau tidak ingat tetapi memang sudah agak lama meninggalkan bidang pengacaraan.

Justeru, Zizan berkongsi beliau lebih memberikan tumpuan kepada bidang perfileman sewaktu menolak tawaran pengacaraan.

“Saya pun tidak tahu sama ada itu krisis di pertengahan usia atau disebabkan kerja. Apabila saya bekerja di lokasi penggambaran, saya memang akan berikan tumpuan 100 hingga 120 peratus.

“Kadang-kadang, selepas balik rumah pun saya masih teringat mengenai kerja. Saya jadi tertekan dan sedikit sensitif. Mungkin saya terlalu risau mengenai lakonan dan kerja.

“Apabila terlalu mendalami sesuatu watak, kadang-kadang ia berubah daripada sekadar ‘berlakon’ kepada seperti benar-benar ‘berlaku’ dan itu agak menakutkan,” katanya.

Sebagai selebriti yang sering dilihat ceria dan lucu gelagatnya, Zizan berkata, beliau juga tidak mahu keadaannya itu menjadi perhatian orang.

“Takkanlah kita mahu tunjuk sisi gelap atau perkara yang tidak baik kepada masyarakat kerana sebagai selebriti, kita juga menjadi ikon kepada segelintir golongan.

“Bukan bermaksud kita mahu berpura-pura atau hanya mahu tunjuk perkara yang baik. Tetapi ada perkara yang lebih sesuai tidak dikongsikan dengan orang ramai,” katanya.

Dalam dunia pengacaraan, Zizan pernah diiktiraf sebagai Pengacara TV Lelaki Popular di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPHBH) yang ke-25 pada 2012.

Apabila ditanya tentang gandingan pengacara pula, Zizan berkata beliau bukanlah seorang yang cerewet dalam memilih pasangan pengacara dalam program yang dijayakan.

Namun, beliau juga lebih selesa jika pasangan pengacara saling membantu dan mengamalkan sifat saling memberi ketika mengendalikan sesebuah program.

“Cerewet atau tidak adalah subjektif tetapi apa yang penting ialah keselesaan.

“Tidak dinafikan ada pengacara yang mengacara tetapi tidak menyokong antara satu sama lain.

“Saya boleh hadap tetapi lama-kelamaan saya akan ‘fed up’ (bosan) jika asyik saya sahaja yang ‘memberi’ tetapi dia pula buat main-main dan tak hormat gandingan,” katanya.

Pada masa sama, Zizan turut mengingatkan mana-mana pengacara supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial.

Beliau menasihatkan, pengacara perlu menerima teguran orang ramai sebagai ruang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan mutu pengacaraan.

“Pengacara perlu lebih berhati-hati menggunakan wadah media sosial.

“Semasa sesi latihan program, mereka juga harus nampak profesional. Apa yang orang cakap (tegur) di Threads itu, ambil perhatian dan perbaiki diri,” tambahnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti