Topik diikuti
Pergi ke BHkuZizan: Saya ‘sporting’ dan ‘fun’ tapi berpada-pada, usah salah guna foto saya
Zizan: Saya ‘sporting’ dan ‘fun’ tapi berpada-pada, usah salah guna foto saya
Pelakon ‘Polis Evo’ bingit bila gambar disunting dengan AI, diguna secara komersial, tidak peka agama
Zizan: Saya ‘sporting’ dan ‘fun’ tapi berpada-pada, usah salah guna foto saya
Pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak, memberi peringatan kepada warga maya susulan penggunaan fotonya yang sejak kebelakangan ini dijadikan kandungan tular di media sosial.
Zizan, 42 tahun, berkata beliau tidak menghalang orang ramai menjadikan dirinya sebagai bahan jenaka, namun berharap kandungan yang dihasilkan tidak melampaui batas, terutama membabitkan sensitiviti agama atau digunakan bagi tujuan komersial tanpa kebenaran.
Pelakon filem Polis Evo itu menambah dirinya sentiasa bersikap terbuka dan ‘sporting’, namun setiap perkara perlu mempunyai batas tertentu.
“Assalamualaikum kepada seluruh warga Internet dan mereka yang mengenali diri ini. Tujuan hantaran ini adalah untuk meluahkan dan memberitahu bahawa saya memang seorang yang ‘sporting’ dan juga ‘fun’, tetapi semuanya ada batas.
“Berkenaan gambar saya yang tular sejak beberapa hari lalu, disunting dan diubah menjadi kelakar itu boleh, tetapi biarlah berpada-pada dan tidak melanggar hukum agama Islam,” katanya menerusi hantaran di Threads, pada 29 Julai.
Zizan, atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, turut menegur pihak yang didakwa mengambil kesempatan menggunakan fotonya bagi mempromosikan produk masing-masing tanpa mendapatkan kebenaran.
Katanya dalam laporan Berita Harian Malaysia (BHM), sebarang penggunaan imej untuk tujuan komersial perlu mendapat persetujuannya terlebih dahulu.
“Selain itu, ada juga pihak yang mengambil kesempatan mempromosikan produk masing-masing tanpa meminta izin atau membuat bayaran.
“Pada pendapat saya, perkara itu adalah haram. Jadi renung-renungkanlah jika ingin berniaga secara halal,” katanya.
Sebelum ini, Zizan mencetuskan fenomena di platform Threads apabila fotonya dijadikan ‘meme’ oleh pengguna media sosial.
Imej pelawak itu disunting secara kreatif menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai gaya sebelum dimuat naik bersama kapsyen ringkas yang mencuit hati sehingga menjadi tular.