Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zizi Kirana enggan kongsi hal peribadi pada umum

Oct 31, 2025 | 3:14 PM
Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, menyifatkan kehidupan peribadi adalah hak mutlaknya.
Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, menyifatkan kehidupan peribadi adalah hak mutlaknya. - Foto NSTP

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, 40 tahun, tegas dengan pendiriannya untuk tidak berkongsi sebarang perkara membabitkan hal peribadi.

Ia termasuk rumah tangga bersama suaminya yang juga pelakon, Yusuf Bahrin, 33 tahun.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah Mad Tahil, berkata beliau memilih untuk tidak memberi sebarang penjelasan lanjut kerana menyifatkan kehidupan peribadi adalah hak mutlaknya dan tidak perlu dikongsi kepada umum.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021, selepas berkenalan ketika menjayakan program hiburan, All Together Now Malaysia.

“Saya memang tidak mahu berikan penjelasan apa-apa mengenai rumah tangga saya kerana bagi saya, perkara itu tidak penting untuk diketahui ramai.

“Saya tidak kata saya bahagia atau tidak, sebab dalam rumah tangga pasti ada pasang surutnya. 

“Apa yang penting, kita jaga saja privasi masing-masing.

“Saya memang jenis yang menjaga hal peribadi. 

“Saya tidak mahu orang ambil tahu terlalu banyak tentang rumah tangga saya,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Zizi berkongsi perkara itu ketika ditemui BHM pada majlis tayangan filem, Hayya 3: Gaza, yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.

Ditanya mengenai kejutan yang disediakan oleh suaminya ketika Zizi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) pada 7 Oktober, beliau hanya memberikan tindak balas ringkas.

“Tiada apa pun kejutannya. Saya balik dan itu saja,” ulasnya.

Sebelum ini, Yusuf atau nama sebenarnya, Muhammad Yusuf Bahrin, mengakui dalam kenyataan kepada media telah menyiapkan kejutan istimewa buat isterinya yang baru pulang daripada misi berkenaan.

“Alhamdulillah, saya sudah jumpa dengan Zizi. 

“Saya ada beritahu dia tunggu di rumah. Insya-Allah, ada kejutan untuk dia. Tapi, biarlah saya simpan rahsianya,” kata Yusuf sebelum ini.

Bagaimanapun, hubungan pasangan itu menjadi perhatian netizen selepas mereka dikatakan tidak lagi mengikuti akaun media sosial masing-masing.

Ini sekali gus mencetuskan pelbagai andaian mengenai status perkahwinan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg