Tangisan kegembiraan dan laungan sokongan oleh ahli keluarga serta ribuan penyokong bergema di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menyambut kepulangan 23 sukarelawan misi bantuan kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) pada malam 7 Oktober.
Kepulangan mereka diraikan dengan penuh kesyukuran dan emosi oleh ahli keluarga, sahabat dan rakan pertubuhan kemanusiaan.
Malah, ratusan ribu lagi rakyat Malaysia turut menyambut kepulangan wira dan wirawati Malaysia itu dengan mengikuti siaran langsung di pelbagai platform terutama media sosial pelbagai agensi berita dan orang awam.
Pelakon, Encik Nadzmi Adhwa, 32 tahun, antara yang mencuri tumpuan dan dilihat hadir dengan raut wajah sayu bercampur gembira bersama dua anak kecilnya serta dilihat sempat merangkul seorang sukarelawan yang juga isterinya, Cik Ardell Aryana, sebaik wanita itu melepasi pintu keluar ketibaan di KLIA.
Cik Ardell Aryana atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35 tahun, kelihatan agak pucat dan keletihan, namun masih berterima kasih kepada semua ahli keluarga dan penyokong yang mendoakan keselamatan delegasi GSF sejak awal misi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza, Palestin itu.
“Terima kasih kerana sukarela hadir sambut kami semua… Saya tak dapat berkongsi banyak. Saya harap anda semua dapat hadir ke perhimpunan di Axiata Arena (pada malam 8 Ogos) untuk bersama solidariti demi Palestin,” katanya.
Beliau yang juga dikatakan bekas pesakit barah antara peserta misi GSF paling mencuri tumpuan selepas terpaksa mendapatkan rawatan di hospital ketika ditempatkan sementara di Turkey, sejurus dibebaskan daripada tahanan Israel pada 2 Oktober.
Beliau mengalami kecederaan koyak tisu pada bahagian bahu dan tekanan darah rendah selepas dikasari tentera Israel sepanjang dalam tahanan.
Namun, insiden cemas berlaku dalam keadaan sesak dan dikerumuni lautan penyokong apabila Cik Ardell Aryana yang mendukung anak perempuannya rebah dan hampir pengsan sewaktu sedang diiringi masuk ke dalam bas yang disediakan untuk membawa mereka pulang dari KLIA.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkey, Mesir dan Jordan, yang telah membantu dalam memastikan keselamatan dan menyelaras kepulangan aktivis Malaysia itu hasil penyelarasan bersama.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga sahabat-sahabat kita kembali dengan selamat malam ini,” katanya.
Wisma Putra Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada 8 Oktober berkata kumpulan delegasi aktivis Malaysia itu mendarat di KLIA pada 9.50 malam waktu Malaysia.
Antara aktivis lain yang menyertai misi pelayaran berkenaan ialah penyanyi dan selebriti adik beradik, Datin Nur Heliza Helmi serta Nur Hazwani; pempengaruh dan aktivis, Cik Nurfarahin Romli atau Farah Lee; penyanyi Cik Zizi Kirana dan mantan wartawan, Encik Zainal Rashid Ahmad.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Encik Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, berkata walaupun misi GSF yang disertai 23 sukarelawan Malaysia gagal menembusi sekatan Israel ke Gaza, namun ia dianggap berjaya apabila berupaya menghidupkan kembali suara dan solidariti terhadap Palestin di seluruh dunia.
“Jangan lupa perjuangan kita baru bermula. Mereka yang ada di Gaza saat ini masih dibedil, dizalimi dan dibunuh.
“Dan dukacita hari ini 8 Oktober, menandakan genap dua tahun mereka berada dalam suasana genosid, masih kelaparan, kehilangan dan masih perlukan sokongan kita,” katanya dalam ucapan di KLIA.
Cik Farah Lee turut mencuri tumpuan apabila mengenakan baju-T sebagai pengganti tudung, sebagai simbolik sumud yang dinafikan hak untuk menutup aurat sepanjang dalam tahanan oleh tentera Israel.
“Apa yang saya pakai di kepala ini adalah simbol sumud bagi wanita terutama delegasi GSF, apabila hak kami untuk mengamalkan agama dan kepercayaan dinafikan.
“Tudung kami dirampas, kami dihina di hadapan lelaki yang tidak dikenali dan terpaksa menggunakan baju-T putih untuk menutup rambut serta kepala bagi menjaga maruah kami sebagai wanita,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual menghadiri Himpunan Solidariti Sumud Nusantara, di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada malam 8 Oktober, bagi menghargai keberanian 23 sukarelawan GSF itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg