Topik diikuti
Pergi ke BHkuZul Yahya masih tidak mahu kembali ke dunia lakonan
Zul Yahya masih tidak mahu kembali ke dunia lakonan
Zul Yahya masih tidak mahu kembali ke dunia lakonan
KUALA LUMPUR: Zul Yahya, 53 tahun, tetap dengan pendirian tidak kembali ke dunia lakonan selepas lebih sedekad meninggalkan bidang seni.
Zul berkata walaupun perniagaannya ketika ini berdepan pelbagai cabaran, beliau tidak pernah terfikir untuk kembali mencari rezeki menerusi bidang lakonan kerana memikirkan masa depan anak-anak, lapor BH Online.
“Dahulu memang ada yang tawarkan saya berlakon, tetapi mungkin ramai sudah tahu saya akan menolak.
“Sebab itu sekarang saya tidak lagi terima sebarang tawaran.
“Sebelum ini, ramai rakan lama yang sudah bergelar pengarah mengajak saya berlakon.
“Namun, buat masa sekarang, saya masih berpegang kepada pendirian untuk tidak kembali ke dunia itu,” katanya.
Zul sedar ada pihak mempersoal mengapa dahulu beliau mencari rezeki dalam bidang seni.
“Sekarang tidak lagi. Mungkin juga ada yang menganggap keputusan itu dibuat kerana saya sudah berhijrah.
“Sebenarnya bukan kerana itu, tetapi apabila sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak, saya tidak mahu perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka,” katanya di sini, pada 16 Jun.
Zul ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi dalam program Ziarah Seni Madani.
Zul yang pernah membintangi drama bersiri Pepaya berkata beliau tidak mahu anak-anaknya terpengaruh dengan dunia glamor yang semakin mencabar, apatah lagi populariti kini boleh diraih dengan mudah menerusi media sosial.
“Dunia hari ini sangat mudah terpengaruh dengan kemasyhuran. Tanpa muncul di televisyen pun, seseorang boleh menjadi popular hanya melalui media sosial.
“Lagipun, kemasyhuran sekarang tidak sama seperti dahulu.
“Jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan seseorang tergelincir dan membawa kepada perkara yang memudaratkan.
“Sebab itu saya sangat menitikberatkan soal keselamatan anak-anak dalam pelbagai aspek.
“Bukan kerana saya merasakan dunia lakonan tidak baik atau rezekinya tidak bagus.
“Cuma saya memilih jalan rezeki yang saya rasakan lebih baik untuk diri dan keluarga.
“Saya mahu anak-anak melihat sendiri susah payah saya dan isteri mencari rezeki melalui perniagaan.
“Dari situ mereka dapat belajar bagaimana untuk berniaga,” katanya.
Ditanya sama ada anak-anak mengetahui beliau pernah bergelar pelakon, Zul berkata mereka sedar mengenai perkara itu kerana beliau masih menyimpan majalah serta koleksi cakera padat video (VCD) lama, yang memaparkan hasil kerjanya ketika aktif dalam bidang seni.
“Mereka tahu kerana di rumah masih ada banyak majalah lama yang saya simpan.
“Cuma di rumah saya tidak ada TV. Memang saya tidak sediakan TV. Kalau ada pun, kami tidak menontonnya.
“Mereka tahu bapa mereka pernah menjadi pelakon melalui majalah lama yang masih saya simpan,” katanya.
