Bukan rahsia lagi dalam kalangan rakan artis dan peminat bahawa penyanyi Singapura, Hyrul Anuar, merupakan peminat setia biduanita bersuara emas, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan telah lama menjadi penyokongnya yang dipanggil Sitizoners.
Justeru, berita Siti dinobatkan dengan gelaran Biduanita Negara pada acara Anugerah Seni Negara di Hotel Majestic Kuala Lumpur pada 13 November lalu merupakan sesuatu yang membuatkan Hyrul, 38 tahun, tumpang bangga dan bersyukur.
Katanya, ketika dihubungi Berita Minggu (BM):
“Siti Nurhaliza muncul dengan nada dan infleksi suara (perubahan nada suara dalam satu kalimat) yang tersendiri di kala industri muzik Malaysia dikuasai nama-nama besar seperti Ziana Zain, Fauziah Latiff dan Datuk Aishah.
“Lantunan suaranya ketara pada ketika itu, hingga menjadi pengaruh dan rujukan selepas kehadirannya dalam industri.
“Sejak dari Bintang HMI, saya mula menjadi penggemar setia beliau yang dinobatkan sebagai juara pada 1995.”
Bagi Hyrul yang merupakan juara Anugerah 2005 di Singapura, pelantun lagu Biarlah Rahsia itu adalah sumber inspirasi ramai penyanyi Singapura termasuk dirinya.
“Saya lihat sepanjang hampir tiga dekad, beliau menebar azam dan cekal serta mengharungi banyak pengorbanan demi membangun namanya sebagai satu jenama.
“Di sebalik kelembutan Siti, saya tabik prinsipnya yang tegas dan hormat kepintarannya untuk melakar kerjayanya,” jelas Hyrul yang kali pertama bertemu idolanya dalam satu acara jerayawara majalah Manja di pusat beli-belah IMM sekitar Jurong East.
Hyrul yang masih lagi di sekolah menengah datang seorang diri untuk menyaksikan kemunculan Siti bahkan gembira memperolehi tanda tangan jelitawan itu ketika naik ke pentas.
Rezeki Hyrul setelah bergelar juara Anugerah 2005 ialah peluang berkongsi pentas dengan Siti pada Konsert Ikhlas untuk mengumpul dana bagi Tabung Amal Aidilfitri (TAA) pada 2005.
Selanjutnya, pada 1 Januari 2020, Hyrul juga terpilih sebagai artis Singapura yang memberi sanjungan buat komposer irama tradisional, Allahyarham Pak Ngah Suhaimi, dalam konsert Tahun Baru, dengan Siti muncul sebagai penyanyi utama di Dewan Konsert Esplanade.
Kali terakhir, Hyrul menemui Siti ialah ketika menghadiri Konsert Fenomena - Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore di The Star Theatre pada Jun 2024, di mana mereka berpeluang bergambar sekali lagi.
“Dalam setiap konsert yang saya anggap buah tangan istimewa Siti untuk peminatnya, saya kagum dengan inisiatif beliau menerapkan pembaharuan yang merentas zaman untuk kekal relevan.
“Sejujurnya, album Cindai dan usahanya memperjuangkan irama Melayu adalah pencetus untuk mendekatkan generasi saya dan selanjutnya untuk mengenali dan menghargai budaya kita.
“Beliau adalah inspirasi yang telah banyak mempengaruhi saya, baik dari segi keperibadian mahupun nyanyian. Bermula sebagai peminat yang dahulunya sering ke setiap acaranya, saya teruja kerana kami sudah saling mengenali.
“Namun, saya masih meletakkan sempadan agar saya dapat merasakan auranya sebagai sang inpirasi setiap kali bersua muka,” ujar Hyrul.
Apakah yang akan dikenang mengenai Biduanita Negara ketiga Malaysia itu?
“Siti Nurhaliza ialah epitome bintang dan permata seni yang layak diiktiraf, agar dijadikan rujukan bagi generasi seterusnya. Saya beruntung dapat terus melihat beliau membina legasi dan mencipta sejarah,” kata Hyrul. - HARYANI ISMAIL
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg