Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iata jangka jumlah penumpang udara lepasi 5b pada 2025, tambang purata jatuh

Dec 11, 2024 | 1:33 PM
Kira-kira 5.22 bilion penumpang dijangka melakukan penerbangan pada tahun akan datang, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata).
Kira-kira 5.22 bilion penumpang dijangka melakukan penerbangan pada tahun akan datang, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata). - Foto ST

GENEVA: Bilangan pengunjung udara serata dunia dijangka melebihi 5 bilion buat kali pertama pada 2025 sedang perjalanan menjadi semakin dimampui, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata).

Kira-kira 5.22 bilion penumpang dijangka melakukan penerbangan pada tahun akan datang – satu kenaikan sebanyak 6.7 peratus daripada ramalan 4.89 bilion pada 2024, kata badan industri syarikat penerbangan itu sewaktu hari media globalnya di Geneva, Switzerland, pada 10 Disember.

Tambang penerbangan dan sumber pendapatan syarikat penerbangan selain tiket –yang secara kolektif dikenali sebagai hasil penumpang – dijangka jatuh 3.4 peratus pada 2025.

Pada AS$380 ($510), tambang purata penerbangan ulang-alik pada 2025 diramalkan 1.8 peratus lebih rendah berbanding 2024 (AS$387).

Permintaan penumpang – dikira melalui jumlah hasil penumpang bagi setiap kilometer – dijangka naik sebanyak 8 peratus pada 2025, mengatasi jangkaan pengembangan dalam kapasiti sebanyak 7.1 peratus.

Permintaan di Asia-Pasifik, pasaran terbesar di peringkat sejagat, dijangka akan terus meningkat.

Ia diramal naik 18.6 peratus pada 2024, didorong sebahagiannya oleh kelonggaran visa di beberapa negara seperti China dan Vietnam, dan dijangka meningkat lagi 11.7 peratus pada 2025.

Memandangkan kapasiti meningkat secara berterusan, bilangan penerbangan di seluruh dunia dijangka mencecah paras 40 juta buat kali pertama pada 2025 – meningkat 4.6 peratus dari 2024, kata Iata sewaktu taklimat tahunannya itu yang dihadiri lebih 100 wartawan dari serata dunia.

Persatuan itu mewakili kira-kira 340 syarikat penerbangan termasuk syarikat penerbangan tempatan Singapore Airlines dan Scoot yang membentuk lebih 80 peratus trafik udara sejagat.

Iata menjangkakan keuntungan syarikat penerbangan akan meningkat pada 2025, walaupun tekanan kos dan rantaian bekalan terus membebankan.

Secara keseluruhan, industri tersebut diunjurkan mengaup keuntungan bersih AS$36.6 bilion pada 2025 – satu peningkatan daripada AS$31.5 bilion yang dijangkakan pada 2024 – dibantu sebahagiannya oleh harga minyak yang lebih rendah.

Pendapatan keseluruhan dijangka melebihi AS$1 trilion buat kali pertama dalam tahun akan datang kepada AS$1.007 trilion.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg