Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura antara 10 destinasi bandar paling menarik di dunia

Kali pertama di tangga kesembilan dalam tinjauan oleh syarikat penyelidikan Euromonitor International
Dec 10, 2024 | 1:17 PM
Pengunjung bergambar di patung Merlion berdekatan Marina Bay Sands pada Disember.
Pengunjung bergambar di patung Merlion berdekatan Marina Bay Sands pada Disember. - Foto AFP

Meski ia sekadar titik merah di dalam peta, Singapura tetap berjaya menempa namanya di pentas dunia.

Baru-baru ini, Singapura telah disenaraikan di tangga kesembilan dalam Indeks 100 Destinasi Bandar Terbaik oleh syarikat penyelidikan, Euromonitor International.

Ini merupakan kali pertama ia menduduki 10 tangga teratas, naik daripada tangga ke-11 pada 2023.

Singapura merupakan antara dua negara Asia dalam 10 tangga teratas dengan Tokyo menduduki tempat ketiga.

Asia juga mempunyai perwakilan besar di 20 tangga teratas dengan Taipei di tangga ke-11, Seoul ke-12, Osaka ke-16 dan Bangkok di tangga ke-17.

Menurut laporan tahunan yang dikeluarkan dengan kerjasama syarikat data Lighthouse, kedudukan Singapura dan Tokyo didorong oleh prestasi perniagaan dan ekonominya yang kukuh, serta dasar pelancongan dipertingkat yang menarik pelancong.

Tinjauan tersebut juga mendapati Singapura “terkenal sebagai ekonomi paling bebas di dunia” dan telah menguasai tonggak prestasi perniagaan dan ekonomi sejak Indeks 100 Destinasi Bandar Terbaik diperkenalkan.

Bangkok menerajui dari segi tarikan dan dasar pelancongan – naik lapan tangga – diikuti Singapura di tempat kedua dan Paris di tempat ketiga.

Mengekalkan kedudukannya di tempat pertama dalam senarai tersebut pada 2024 ialah Paris.

Madrid di tangga kedua, diikuti Tokyo, Rome, Milan, New York, Amsterdam, Sydney, Singapura dan Barcelona.

Sydney mencapai peningkatan amat besar, naik 14 tangga berbanding sebelumnya.

Indeks tersebut bertujuan memberi gambaran tentang daya tarikan, potensi dan prestasi pasaran bandar.

Ia membandingkan 55 metrik berbeza merentas enam tonggak utama bagi 100 destinasi bandar, bagi merangkum skor daya tarikan bandar itu secara keseluruhan.

Enam tonggak utama itu terdiri daripada prestasi perniagaan dan ekonomi, prestasi pelancongan, prasarana pelancongan, daya tarikan dan dasar pelancongan, keselamatan dan kesihatan, serta kemampanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg