Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bapa boleh tunjuk contoh positif jika anak bersikap tidak jujur

Pakar: Keupayaan berbohong satu tanda perkembangan psikologi
Aug 14, 2025 | 5:30 AM
perkembangan, kanak-kanak, remaja, menipu
Penipuan yang dilakukan oleh pelajar sekolah termasuk berkongsi kerja rumah mereka dengan rakan, mendapatkan jawapan bagi ujian sebelum mendudukinya, menciplak karya atau penulisan daripada Internet di samping bersekongkol terhadap perkara yang salah. - Foto ISTOCKPHOTO

Oleh Penny Van Bergen

Jika anda pernah menangkap anak anda menipu atau berbohong, anda sebagai ibu bapa mungkin mempunyai perasaan bimbang si anak akan menjadi seorang penjenayah pula apabila sudah dewasa.

Namun melalui perspektif perkembangan kanak-kanak, kelakuan menipu biasanya tidak perlu menjadi satu kebimbangan ibu bapa.

Apakah itu menipu?

Kelakuan menipu berlaku apabila kanak-kanak bersikap tidak jujur untuk mendapatkan kelebihan.

Mereka mungkin mengintip kad orang lain ketika bermain permainan papan atau mengubah suai permainan video untuk mendapatkan kelebihan supaya dapat menjadi pemenang.

Walaupun usaha terbaik telah dilakukan ibu bapa atau guru dalam mencegah perbuatan menipu daripada terjadi, kelakuan itu adalah perkara yang biasa berlaku terutama sekali dalam kalangan si kecil.

Dalam satu kajian yang dijalankan dan dilaporkan menerusi artikel, ‘Penipuan oleh kanak-kanak kecil berikutan ketidakpatuhan’ (1999), sekumpulan kanak-kanak berusia lima tahun diminta untuk tidak melihat kandungan di dalam kotak oleh penyelidik.

Namun apabila penyelidik meninggalkan mereka, hampir kesemua kanak-kanak itu menghampiri kotak itu untuk mengintai kandungan di dalamnya.

Mereka kemudian menafikan telah berbuat demikian apabila disoal.

Tanda perkembangan

Keupayaan untuk menipu menandakan satu kemahiran baru, termasuk pemahaman tentang apakah yang difikirkan orang lain.

Untuk menipu dengan berkesan, kita perlu memikirkan apakah yang ada di dalam pemikiran orang lain.

Kemudian barulah kita menipu, supaya mereka boleh mempercayai penceritaan yang disampaikan.

Kemahiran kognitif sebegitu hanya muncul semasa kanak-kanak berada di peringkat prasekolah dan di peringkat itu, mereka tidak mampu menipu dengan naratif yang sama untuk tempoh yang lama.

Hanya apabila mereka sudah melangkah ke sekolah rendah, barulah kanak-kanak mampu mengekalkan penceritaan palsu yang dimulakannya untuk jangka masa lebih panjang.

Menipu di sekolah

Apabila kanak-kanak semakin besar, mereka akan menjadi lebih berhati-hati tentang kelakuan menipu, tetapi pada masa yang sama, mula berani untuk menipu di sekolah.

Dalam kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat pada 2012 oleh syarikat konsultasi kanak-kanak, Challenge Success, lebih tiga daripada empat pelajar sekolah menengah dilaporkan menipu di sekolah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

Penipuan yang dilakukan termasuk berkongsi kerja rumah mereka dengan rakan, mendapatkan jawapan bagi ujian sebelum mendudukinya, menciplak karya atau penulisan daripada Internet di samping bersekongkol terhadap perkara yang salah.

Pelajar lebih cenderung melihat penipuan sebagai sesuatu yang boleh diterima jika ia melibatkan perkara yang dapat membantu rakan sebaya atau apabila mereka boleh merasionalkan tingkah laku itu dengan cara yang prososial.

Misalnya, mereka menipu kerana menjaga anggota keluarga.

Ganjaran hebat

Seperti orang dewasa, kanak-kanak lebih cenderung untuk menipu apabila ganjaran yang akan diterimanya adalah hebat.

Dalam satu kajian, kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun lebih cenderung untuk menipu dalam permainan yang disertainya jika ganjaran untuk pemenang ialah satu hadiah yang tinggi nilainya.

Kanak-kanak dan remaja juga melaporkan lebih cenderung menipu untuk mengelak daripada menanggung akibat.

Dalam kertas kajian, Kes kejanggalan: Meneroka jurang antara kepercayaan dengan tingkah laku remaja yang berkaitan dengan ketidakjujuran akademik (2008), pelajar sendiri melaporkan bahawa mereka sendiri melakukan penipuan di sekolah.

Ini disebabkan mereka tidak berminat dengan bahan yang dipelajari atau sedang tertekan untuk mendapat keputusan yang baik.

Walaupun begitu, pengetahuan mengenai risiko ditangkap kerana menipu boleh menggalakkan kejujuran.

Apabila mereka semakin besar, si anak juga mungkin semakin matang untuk mempertimbangkan persepsi orang lain terhadap dirinya jika dia menipu.

Sebagai contoh, si anak akan sedar bahawa “menjadi orang yang baik penting bagi dirinya, justeru, dia memilih untuk tidak menipu”.

Bagaimanakah orang dewasa boleh halang anak menipu?

Berikut perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan guru untuk membantu kanak-kanak bersikap jujur:

– Berbincang secara terbuka dengan penuh rasa ihsan tentang keburukan menipu bersama anak.

– Jangan terlalu menekankan keputusan apabila berkaitan dengan sekolah dan pendidikan kerana persekitaran akademik yang sangat berdaya saing menjadikan seseorang itu lebih cenderung untuk menipu.

– Bersikap positif terhadap perwatakan anak anda kerana berdasarkan satu kajian, kanak-kanak prasekolah yang diberitahu bahawa mereka mempunyai sikap positif, 60 peratus kemungkinan mereka tidak akan menipu.

– Tunjukkan contoh yang baik kepada anak anda dengan bersikap bersikap jujur dan terbuka, nescaya juga anak anda akan melakukan perkara yang sama.

Penulis ialah Ketua Pusat Pengajian Pendidikan dan Profesor Psikologi Pendidikan, Universiti Wollongong, Australia. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

Walaupun begitu, pengetahuan mengenai risiko ditangkap kerana menipu boleh menggalakkan kejujuran. Apabila mereka semakin besar, si anak juga mungkin semakin matang untuk mempertimbangkan persepsi orang lain terhadap dirinya jika dia menipu. Sebagai contoh, si anak akan sedar bahawa “menjadi orang yang baik penting bagi dirinya, justeru, dia memilih untuk tidak menipu”.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg