Antara kegiatan kegemaran saya sekeluarga pada hujung minggu atau hari-hari yang kami tiada apa-apa rancangan ialah bermain permainan papan atau kad bersama.
Disebabkan ketiga-tiga anak saya masih lagi di bawah usia tujuh tahun, permainan kami pilih yang mudah sahaja seperti Uno, Snakes and Ladders, Scrabble atau Old Maid.
Namun dalam keriuhan bermain pasti ada yang akan menangis apabila permainan tamat.
Adat permainan, pasti ada yang menang dan pasti ada yang kalah.
Yang kalah pastinya akan menangis, lagi-lagi anak lelaki saya.
Dia seorang yang mempunyai keinginan kuat untuk menang atau cemerlang dalam semua perkara yang dia lakukan, baik di sekolah atau di rumah.
Senang kata, dia seorang yang berdaya saing dalam semua hal.
Jika tidak menang, dia akan mula menangis macam dunia ini hendak kiamat.
Saya lihat perwatakannya itu sebagai sesuatu yang positif kerana ia menunjukkan semangat berdaya bingkas dan kecekalan yang tinggi, nilai penting yang perlu disemai dalam diri kalau ingin menjadi seorang yang berjaya.
Sebaliknya juga, perwatakannya itu boleh membinasakan diri jika tidak dibendung sejak kecil lagi.
Disebabkan sikapnya yang susah untuk menerima kekalahan, kadangkala apabila kita bermain permainan papan bersama, contohnya Snakes and Ladders, dia akan cuba mengambil kesempatan ‘menipu’ dengan menggerakkan caturnya lebih daripada sepatutnya.
Misalnya, anak saya itu sepatutnya menggerakkan caturnya dua kali, tetapi dia akan senyap-senyap gerakkan caturnya lebih daripada itu, dengan harapan saya tidak nampak perbuatannya.
Dia ingat ibunya ini baru hidup agaknya.
Pada mulanya saya diamkan sahaja walaupun saya nampak apa yang telah dia lakukan.
Alah, dia masih kecil baru lima tahun, ditambah dengan mukanya yang polos dan comel menggerakkan catur itu.
Namun setelah beberapa kali dia buat begitu, saya rasa saya perlu menegur perbuatannya.
“Adik, berdosa menipu. Allah nampak. Boleh masuk neraka kalau tidak bersikap jujur,” nasihat saya kepadanya.
Tambah saya lagi: “Tidak mengapa kalau kalah. Kalah bukan pengakhiran segalanya.
“Biar kalah bermaruah bukan menang sebab menipu. Kita belajar daripada kekalahan, yang penting jangan putus asa.”
Terkebil-kebil matanya melihat saya.
Saya turut perasan, kanak-kanak lebih cenderung untuk berbohong disebabkan takut berhadapan dengan hukuman jika mereka bersikap jujur.
Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Kalau bersikap jujur akan dimarahi, kalau bohong, ada ‘chance’ ibu atau ayah tidak akan marah.
Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita perlu selalu beringat untuk bersikap tenang jika si anak ada membuat kesalahan dan sentiasa bersedia untuk wujudkan perbincangan secara terbuka mengenai kesilapan mereka itu.
Cuba elak daripada memarahi secara keterlaluan atau menakut-nakutkan mereka dengan hukuman yang berat.
Apabila si anak berkata benar dan mengaku kesalahan mereka, berikan kata-kata pujian atas keberanian mereka kerana bersikap jujur.
Ini dapat memberikan galakan kepada si anak untuk terus bersikap jujur pada masa akan datang.
Selain itu, saya percaya bahawa pentingnya kita sebagai ibu bapa untuk terus menjadi suri teladan kepada anak-anak kita.
Jika kita tidak suka anak kita berbohong atau menipu, kita juga perlu elak daripada bersikap demikian.
Contoh paling kerap yang berlaku adalah apabila kita menjanjikan sesuatu kepada anak kita tetapi kemudian tidak menunaikannya.
Apabila anak-anak mula menanya mengenai janji itu, pelbagai alasan diberikan kepada mereka sehingga terpaksa ‘berbohong sunat’.
Bukankah ini menonjolkan sikap menipu kepada si anak dan secara tidak langsung memberi gambaran bahawa menipu itu sesuatu yang okey?
Jalan yang terbaik bagi saya, bersikap jujur sahajalah kepada anak-anak mengapa janji itu tidak dapat ditunaikan walaupun telinga kita ini terpaksa mendengar rungutan yang tiada kesudahannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg