Elly (bukan nama sebenar) pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah rendah dan menengah.
Dalam kejadian ketika dia di Darjah 4, Elly dituduh membocorkan rahsia seorang murid.
Kejadian itu, yang melibatkan pengetua, guru dan ibu murid itu, membuat Elly tidak mahu ke sekolah kerana “takut ditenung”.
Murid itu juga mempengaruhi rakan-rakan Elly agar tidak berkawan dengannya.
“Di rumah, kelakuan Elly berubah. Daripada seorang kanak-kanak yang periang, dia menjadi tertekan, lebih suka bersendirian dan tidak mahu berbual dengan sesiapa,” cerita ibu Elly, Cik Lina (bukan nama sebenar).
Kejadian itu membuat Elly tidak sabar mahu ke sekolah menengah agar dapat membuka lembaran baru dalam hidupnya.
Namun ketika di Menengah 3, Elly sekali lagi dibuli, kali ini oleh seorang anggota kelab kegiatan kokurikulum (CCA) yang disertainya yang bersifat pendesak dan mahu orang lain mengikut katanya.
Kedua-duanya kerap bertengkar dan Elly selalu diperkecilkan.
Ini diburukkan lagi dengan tekanan akademik dan kerja sekolah yang dihadapi, serta isu perhubungan antara lelaki dengan perempuan yang dialaminya.
“Elly tidak dapat berkongsi masalahnya dengan sesiapa di rumah. Saya dan suami bekerja sepenuh masa. Saya sendiri mengalami tekanan dengan kerja, suami dan anak-anak.
“Apabila Elly pulang dari sekolah dan dia lihat saya dan suami selalu bertengkar, dia akan terus masuk ke dalam bilik,” kongsi Cik Lina yang mempunyai dua lagi anak.
Beliau dan suami mempunyai pekerjaan stabil dan keluarga mereka melalui kehidupan yang selesa.
Menurut Penolong Pengarah, Pusat Penyelidikan dalam Pedagogi dan Amalan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Wong Hwei Ming, pembulian ditakrif sebagai corak tingkah laku agresif yang disengajakan dan berulang yang bertujuan menyakiti.
Selalunya, pembulian adalah ketidakseimbangan kuasa atau kekuatan antara mangsa dengan pembuli, yang boleh wujud dalam bentuk fizikal, lisan, emosi, sosial dan siber.
Ia mungkin dilakukan secara langsung, tidak langsung atau pasif.
Pada Oktober 2024, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata purata bilangan kejadian buli di sekolah kekal stabil.
Bagi setiap 1,000 pelajar, terdapat purata tahunan dua kejadian buli di sekolah rendah dan enam di sekolah menengah, dengan kejadian itu meliputi kedua-dua pembulian dalam talian dan fizikal.
Dr Wong berkata pembulian boleh menjejas kesihatan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak serta kesejahteraannya secara keseluruhan.
Ia boleh merosakkan imej diri dan harga diri, membawa kepada rasa disingkir, pengasingan, tidak berdaya dan kesunyian.
Sesetengah mangsa mungkin mengalami masalah kesihatan dan kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan dan gejala psikosomatik – gangguan fizikal yang timbul akibat masalah psikologi – seperti sakit perut, sakit kepala dan mimpi ngeri.
Ia juga boleh menjejas pencapaian akademik mangsa, mengakibatkan prestasi lebih lemah, isu penyesuaian sekolah, ketidakhadiran meningkat dan masalah menjalin persahabatan dan perhubungan.
Pembulian juga boleh menyebabkan kemudaratan psikologi yang berpanjangan seperti mempunyai isu kepercayaan dan isu kemarahan terhadap diri sendiri atau orang lain.
Ia juga boleh meningkatkan risiko keganasan bersifat reaktif, mencederakan diri sendiri, pemikiran atau percubaan membunuh diri dan tingkah laku nakal atau agresif pada masa hadapan.
Ini dilihat berlaku kepada Elly yang mencederakan diri sendiri dengan mengelar lengannya menggunakan kuku atau sesuatu yang tajam tetapi bukan pisau.
Ini mengeluarkan darah yang sedikit tetapi meninggalkan parut.
Remaja itu tidak hanya melakukan perkara tersebut di rumah bahkan juga di sekolah.
Pada satu hari, seorang rakan kelas melihatnya melakukan demikian dan memberitahu guru.
Elly dirujuk kepada kaunselor sekolah yang beberapa kali memanggil Cik Lina ke sekolah untuk membawa kanak-kanak itu pulang.
Ini setelah Elly meluahkan hasrat membunuh diri dengan berkata dia mahu berjalan di jalan raya dan berharap akan mati dilanggar kenderaan.
Kanak-kanak itu kemudian dirujuk kepada khidmat Respon, Campur Tangan Awal dan Penilaian dalam Kesihatan Mental Masyarakat (Reach) yang ditawarkan Institut Kesihatan Mental (IMH) dan didapati mengalami kemurungan.
Dr Wong menekankan pentingnya untuk ibu bapa selalu berkomunikasi dengan anak-anak mereka.
“Komunikasi kerap membantu kanak-kanak berasa selamat berkongsi emosi dan pengalaman mereka dengan ibu bapa.
“Ini akan memudahkan ibu bapa menyedari jika ada sesuatu yang tidak kena.
“Dengan mendengar (tanpa menghakimi) dan jaminan emosi, ibu bapa boleh membantu anak-anak berasa selamat dan dihargai. Ini menguatkan daya tahan dalam diri mereka,” tambahnya.
Ibu bapa juga boleh berlatih main peranan (role play) dengan anak-anak mereka supaya mereka tahu bagaimana bertindak balas terhadap pembuli secara tegas tetapi tidak agresif.
Ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka memproses keadaan dan emosi mereka tanpa menggalak tindakan balas dan keganasan yang boleh memburukkan keadaan.
Selain itu, ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka memahami pembulian dengan menerangkan kepada mereka bahawa pembuli sering mencari reaksi.
Ibu bapa boleh mengajar mereka agar tidak membiarkan perkataan dan tindakan pembuli menentukan diri mereka.
“Ini boleh membantu mengurangkan kesan emosi dan membina daya tahan serta kekuatan dalaman,” kata Dr Wong.
Kanak-kanak yang dibuli menunjukkan beberapa tanda seperti menyisihkan diri, perubahan tingkah laku, gejala fizikal, permintaan wang tambahan dan/atau barang yang rosak.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa buli mungkin hilang minat dalam kegiatan, keberatan untuk pergi ke sekolah, serta mengelak rakan-rakan dan acara atau bersosial.
Kanak-kanak itu juga mungkin menunjukkan perubahan mood atau tingkah laku secara tiba-tiba, misalnya, kanak-kanak yang biasanya ceria atau suka berbual menjadi pendiam atau mudah marah.
Dr Wong menasihatkan agar ibu bapa kekal tenang setelah mendapat tahu yang anak mereka dibuli agar mereka dapat menilai keadaan dan memberi sokongan emosi kepada anak mereka.
“Ibu bapa perlu kekal tenang, mendengar perkongsian anak mereka tanpa menghakimi dan meyakinkan anak mereka bahawa mereka tidak bersalah.
“Ibu bapa perlu mencatit butiran perkara yang berlaku, serta bila ia berlaku dan siapa yang terlibat.
“Ini penting kerana maklumat itu kemudian boleh dikongsi dengan guru dan/atau kaunselor sekolah supaya mereka mempunyai gambaran menyeluruh tentang keadaan tersebut.
“Ibu bapa dan guru kemudian boleh bekerjasama untuk membincangkan langkah-langkah seterusnya bagi menangani isu tersebut dengan lebih baik dan mencegah kejadian selanjutnya,” tambah Dr Wong.
Anak-anak tambah beliau, bergantung kepada ibu bapa untuk keselesaan, keselamatan dan sokongan, terutama apabila berhadapan dengan pembulian.
Sokongan ibu bapa boleh menjadi faktor penentu dalam proses penyembuhan dan daya tahan kanak-kanak.
“Memandangkan jadual sibuk ramai ibu bapa yang bekerja (sebagai ibu yang bekerja, saya boleh memahami cabaran mencari masa), kuncinya ialah tumpuan pada mutu dan bukannya kuantiti.
“Walaupun dengan masa yang terhad, komunikasi yang kerap dan bermakna boleh membawa perbezaan ketara. Contohnya, sembang sedikit semasa waktu makan, sembang sebelum tidur atau mesej teks yang bernas,” saran Dr Wong.
“Komunikasi ini tidak perlu selalu dilakukan secara bersemuka. Bertanya khabar secara tekal melalui mesej juga boleh membantu anak-anak berasa disokong dan dihargai.
“Ibu bapa juga perlu mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan guru dan kaunselor sekolah agar kekal termaklum dan terlibat dalam kesejahteraan anak-anak mereka serta memastikan terdapat rangkaian sokongan untuk anak-anak mereka di rumah dan di sekolah,” tambahnya.
Bagi Cik Lina, setelah menyedari anaknya menjadi murung setelah dibuli, beliau segera mengikut program Sijil Psikologi Islam dan Kaunseling (SPIK) yang ditawarkan Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri dan program latihan penjaga individu dengan isu kesihatan mental, kendalian Caregivers Alliance Limited agar dapat membantu dengan lebih baik.
Dengan ilmu yang diraih, Cik Lina dan suaminya mengubah cara mereka berinteraksi dengan Elly dan berusaha meluangkan masa dengan remaja itu.
Mereka juga kurang bertengkar di rumah.
“Suami saya akan mengajak Elly bermain basikal bersama-sama, hanya mereka berdua. Saya pula lebih kerap mengajak dia keluar berjalan-jalan.
“Saya menjadi lebih prihatin, dan selalu mengirim mesej kepadanya.
“Sebelum ini, saya sibuk dan saya fikir dia anak yang boleh berdikari. Tetapi sebenarnya dia memerlukan perhatian. Dia perlukan seseorang untuk mendengar dan berada di sisinya,” kata Cik Lina.
Kini Elly, 16 tahun, lebih stabil dan kembali ceria, serta mempunyai kawan baru yang banyak membantunya.
“
“Komunikasi kerap membantu kanak-kanak berasa selamat berkongsi emosi dan pengalaman mereka dengan ibu bapa. Ini akan memudahkan ibu bapa menyedari jika ada sesuatu yang tidak kena. Dengan mendengar (tanpa menghakimi) dan jaminan emosi, ibu bapa boleh membantu anak-anak berasa selamat dan dihargai. Ini menguatkan daya tahan dalam diri mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg