Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak mangsa buli boleh dapat sokongan, bantuan ‘Tinkle Friend’

Jul 3, 2025 | 5:30 AM
Kanak-kanak, mangsa buli, Tinkle Friend, Persatuan Kanak-Kanak Singapura
Seorang budak lelaki yang menghadiri acara jangkauan sempena ulang tahun ke-40, ‘Tinkle Friend’, pada Disember 2024 membaca transkrip sembang wadah itu yang diilhamkan daripada sesi sembang sebenar dengan kanak-kanak. - Foto PERSATUAN KANAK-KANAK SINGAPURA

Pembulian merupakan antara lima isu paling banyak dikongsi oleh kanak-kanak berumur 13 tahun dan ke bawah yang menghubungi talian panggilan atau sesi sembang, Tinkle Friend, pada 2023.

Daripada purata 5,000 panggilan dan sembang yang diterima pada tahun tersebut, 3 peratus berkaitan pembulian.

Jumlah itu naik sedikit kepada 4 peratus pada 2024.

Tinkle Friend menawarkan sokongan, nasihat dan maklumat kepada kanak-kanak sekolah rendah yang berasa kesunyian dan tertekan, terutama dalam keadaan apabila ibu bapa atau penjaga utama mereka tidak ada untuk mendengar.

Menurut Timbalan Pengarah dan Ketua Perkhidmatan Pelajar di Persatuan Kanak-Kanak Singapura, Cik Gloria Ng, apabila seorang kanak-kanak menghubungi Tinkle Friend untuk berkongsi tentang pembulian, pihaknya akan memilih untuk mempercayai kanak-kanak itu walaupun terdapat takrifan berbeza tentang apakah yang dimaksudkan dengan pembulian.

Seterusnya, Tinkle Friend akan cuba memahami apakah yang berlaku serta siapa lagi yang tahu tentang kejadian itu, serta kesan yang dialami kanak-kanak tersebut akibat kejadian tersebut.

“Keutamaan kami adalah untuk membangunkan semula keselamatan fizikal dan psikologi untuk kanak-kanak itu.

“Bergantung kepada matlamat kanak-kanak itu semasa perbualan mereka dengan kami, kami mungkin bekerjasama dengan kanak-kanak itu untuk menjaga keselamatan dan kesihatan mental mereka serta perubahan yang mereka harap dapat dilihat dalam persekitaran mereka,” kata Cik Ng.

Menurut beliau, sesetengah kanak-kanak telah meminta Tinkle Friend menghubungi guru sekolah bagi pihak mereka dengan cadangan tentang cara mereka ingin disokong.

Ada juga kanak-kanak yang bertanya mengenai cara mendekati orang dewasa yang dipercayai, seperti ibu bapa atau guru, untuk berkongsi tentang apakah yang berlaku dan meminta bantuan.

“Kanak-kanak yang dibuli mungkin berasa malu atau takut dihakimi atau dihukum, yang boleh menyebabkan mereka enggan bersuara, walaupun kepada orang dewasa yang dipercayai.

“Sebagai wadah yang tidak memerlukan kanak-kanak untuk memberi nama mereka, Tinkle Friend menyediakan ruang selamat untuk berkongsi perkara yang mengganggu mereka,” tambah Cik Ng.

Menurutnya, orang dewasa mempunyai tanggungjawab kolektif untuk melindungi kanak-kanak daripada dibuli.

Mereka boleh memberitahu kanak-kanak bahawa mereka tidak bersetuju dengan kelakuan membuli dan kanak-kanak berhak berasa selamat setiap masa.

“Orang dewasa juga boleh menawarkan sokongan kepada kanak-kanak itu dengan bertanya ‘bagaimana boleh saya bantu?’.

“Sesetengah kanak-kanak mungkin berasa sukar untuk berkongsi tentang pengalaman mereka, jadi orang dewasa boleh bermula dengan bertanya sama ada mereka pernah menyaksikan sebarang pembulian atau mengenali seseorang yang pernah mengalaminya.

“Pendekatan ini membolehkan kita memahami pemikiran dan perasaan mereka mengenainya,” ujar Cik Ng.

Dalam menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak, orang dewasa boleh bekerjasama dengan mereka untuk mengambil langkah seterusnya.

Ini kerana kanak-kanak itu mungkin lebih memahami keadaan tersebut, berbanding meminta orang dewasa bertindak sepenuhnya bagi pihak mereka.

Kanak-kanak boleh menghubungi Tinkle Friend untuk berkongsi tentang apa-apa sahaja.

Khidmat oleh Persatuan Kanak-Kanak Singapura itu mula ditawarkan sejak 1984 untuk mendampingi kanak-kanak ketika mereka berada di rumah sewaktu ibu bapa sedang bekerja.

Pada waktu itu, bilangan keluarga yang mana kededua ibu bapa bekerja dan kanak-kanak yang pulang ke rumah yang kosong selepas sekolah sedang meningkat di Singapura.

Dari 2015 hingga 2020, kanak-kanak yang menggunakan khidmat itu rata-rata mahu bersembang santai dan berkongsi tentang hari atau percutian mereka, hobi atau teka-teki.

Bermula 2021, isu berkaitan sekolah menjadi semakin ketara dan mulai 2023, kesihatan mental menjadi antara topik paling kerap diutarakan.

Pada 2024, kelakuan dan pemikiran tentang langkah mencedera dan membunuh diri menjadi antara lima isu paling kerap dikongsi.

Talian Tinkle Friend 1800-2744-788 dibuka dari 2.30 hingga 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

Kanak-kanak juga boleh bersembang dalam talian di laman web, www.tinklefriend.sg dari 2.30 petang hingga 7 malam pada Isnin hingga Khamis dan 2.30 hingga 5 petang pada Jumaat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg