Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bapa yakin bimbing anak tanpa hantar ke kelas tuisyen

May 22, 2025 | 5:30 AM
Husaini Jaafar, DNA, keluarga, tuisyen
Encik Husaini Jaafar memilih untuk tidak menghantar anak-anaknya, (dari kiri) Qawiem, tujuh tahun; Qa’id, sembilan tahun; dan Qairina, 11 tahun, ke kelas tuisyen, sebaliknya membimbing mereka, bersama isterinya, di rumah. - Foto ihsan HUSAINI JAAFAR

Ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak ke kelas tuisyen dan mengajar mereka sendiri di rumah mempunyai beberapa cara memastikan anak-anak mendapat sokongan dan bimbingan yang mencukupi.

Ini termasuk memanfaatkan sumber pembelajaran dalam talian, mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan guru bagi topik sukar atau menggunakan buku penilaian yang menawarkan jawapan dengan penerangan.

Namun apa yang ibu bapa ini utamakan adalah untuk mengadakan rutin mengulang kaji dan menyelesaikan kerja sekolah setiap hari.

Berkongsi cara beliau membimbing dua anaknya yang berumur tujuh tahun dan 11 tahun, Cik Nor afedah Rafiei, 40 tahun, berkata setiap hari anak-anaknya akan meluangkan satu jam setengah membuat latihan dalam buku penilaian.

Selesai menjawab soalan, mereka akan memeriksa kerja menggunakan buku jawapan yang dilampirkan.

“Sekiranya mereka memerlukan bantuan, Cik Nor afedah sentiasa ada di sisi untuk membimbing.

“Saya akan menilai prestasi mereka berdasarkan keputusan kertas latihan yang dilakukan di sekolah sebelum menduduki penilaian penggal.

“Mereka harus mendapat gred AL1 hingga AL3 bagi setiap mata pelajaran,” kata pegawai perkhidmatan awam itu, sambil menambah sejauh ini, keputusan yang dicapai anak-anaknya adalah seperti yang dijangkakan.

AL1 hingga AL3 merujuk kepada julat markah 80 dan ke atas.

Cik Nor afedah berkata beliau memang merancang untuk tidak menghantar anak-anaknya ke kelas tuisyen kerana mahu mereka berdikari dan belajar sendiri.

Di rumah, anak-anaknya juga dapat belajar mengikut keupayaan masing-masing.

Di samping itu, dengan tidak menghantar anak-anak ke kelas tuisyen juga menjimatkan kos, katanya.

Namun Cik Nor afedah tidak menafikan akan memasukkan anak-anaknya ke kelas tuisyen pada masa akan datang sekiranya keputusan mereka merosot.

Beliau akur mengajar anak-anak sendiri di rumah ada cabarannya kerana perhatian mereka singkat dan mudah terganggu.

“Apabila perhatian mereka terjejas dan tidak dapat memberi perhatian penuh, saya akan membenarkan mereka berehat seketika,” kata Cik Nor afedah.

Bagi bapa tiga anak, Encik Husaini Jaafar pula, beliau berkata perhatian anak-anaknya mudah terjejas oleh satu sama lain ketika mereka mengulang kaji atau membuat kerja sekolah bersama.

Beliau juga mengalami cabaran mengimbangi masa antara anak-anaknya kerana setiap mereka mempunyai keperluan yang berbeza.

Namun, pegawai penyelamat kebakaran dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) itu tetap mendapati mengajar anak-anak sendiri di rumah bersama isterinya adalah lebih baik berbanding menghantar mereka ke kelas tuisyen.

“Pembelajaran di rumah memudahkan kami memantau kemajuan anak-anak.

“Kami juga dapat belajar tentang proses berfikir dan pemikiran kritis anak-anak kami.

“Pada masa sama, kami juga dapat menerapkan nilai moral yang baik ketika kami mengajar mereka,” kata Encik Husaini, 42 tahun.

Beliau dan isteri juga tidak menghantar anak-anak mereka ke tuisyen kerana percaya bahawa sistem pendidikan di Singapura distruktur dengan baik dan para pendidik dilatih dengan baik untuk memberi bimbingan yang betul kepada anak-anak mereka.

“Saya percayakan sistem di sini dan saya boleh membimbing mereka sekiranya mereka perlukan,” kata Encik Husaini, yang mengutamakan zaman kanak-kanak yang seimbang dari segi peluang bermain dan belajar.

Dalam membimbing anak-anak mereka, Encik Husaini dan isterinya, yang bertugas sebagai sekutu penyelidikan, mempunyai rutin harian menyelesaikan kerja sekolah dan melakukan ulang kaji selepas makan malam.

“Inilah masanya semua orang duduk bersama untuk menyelesaikan apa yang perlu mereka lakukan untuk sekolah.

“Mereka yang telah menyelesaikan tugasan mereka boleh membaca atau membuat latihan tambahan dalam buku penilaian,” kongsi Encik Husaini.

Beliau yakin dapat membimbing anak-anaknya, namun bersedia mendapatkan bantuan daripada kawan-kawan yang merupakan guru Kementerian Pendidikan (MOE) sekiranya menghadapi topik sukar.

Beliau turut menggunakan buku dan sumber pembelajaran dalam talian, termasuk melanggani wadah pendidikan, KooBits, untuk anak-anaknya melakukan latihan Matematik.

“Kami hanya meminta anak-anak melakukan lebih baik daripada yang mereka lakukan sebelum ini dan meraikan setiap kejayaan kecil bersama.

“Selepas setiap ujian, kami biasanya melakukan refleksi diri dengan mereka dan bertanya sama ada mereka berpuas hati dengan keputusan mereka dan apa yang boleh dilakukan untuk mendapat keputusan lebih baik.

“Kami kemudian akan memberikan sokongan yang diperlukan,” kata Encik Husaini, sambil menambah anak-anaknya biasanya mendapat gred AL1 hingga AL3.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg