Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu tiga anak lari maraton ultra, papar semangat untuk dicontoh anak

May 15, 2025 | 5:30 AM
Martini Abdul Talib, maraton
Ibu tiga anak remaja, Cik Martini Abdul Talib, biasa menyertai perlumbaan lebih 50 kilometer, termasuk tiga yang sejauh lebih 100 kilometer. - Foto BH oleh KHALID BABA

Tiga kali seminggu, selepas menyediakan sarapan dan setelah anak-anaknya ke sekolah, pelari maraton ultra, Cik Martini Abdul Talib, akan berlari sejauh sekitar 15 kilometer selama sekitar dua jam setengah hingga 10 pagi.

Kemudian beliau meluangkan sekitar satu jam untuk membeli keperluan dapur sebelum pulang ke rumah untuk memasak juadah tengah hari.

Jika Cik Martini sedang berlatih untuk perlumbaan, beliau akan keluar berlari anak sekali lagi pada sebelah petang sejauh sekitar 10 kilometer.

Pelari yang juga dikenali dengan nama samaran ‘Mommy Queen’ itu cuma tidak berlari pada Isnin dan Jumaat.

Pada Sabtu dan Ahad, beliau melakukan larian lebih jauh – sehingga 30 kilometer – secara berkumpulan atau bersendirian.

Buat masa ini, beliau sedang berlatih bagi larian jejak (trail) yang akan diadakan di Selangor, Malaysia, pada Mei dan perlumbaan Eco-Ultra Marathon sejauh 55 kilometer di Income Eco Run 2025 pada 8 Jun.

Cik Martini, 43 tahun, biasa menyertai perlumbaan lebih 50 kilometer, termasuk tiga yang sejauh lebih 100 kilometer.

Maraton ultra adalah perlumbaan yang lebih jauh daripada jarak maraton iaitu 42.195 kilometer.

Antara pencapaian terbaik Cik Martini ialah mendapat tempat pertama dalam kategori masters wanita (42 kilometer) dalam perlumbaan Salomon Forest Force 2023 di Singapura.

Pasti ramai yang menyangka Cik Martini aktif berlari atau bersukan sejak muda tetapi ibu tiga anak berumur 14, 15 dan 17 tahun itu hanya mula berlari pada 2012 setelah melahirkan anak bongsunya.

Pada waktu itu, beliau mahu mengurangkan berat badannya sebanyak 10 kilogram dan telah ke stadium dekat rumahnya untuk berlari kerana ia pilihan paling dekat dan paling murah.

“Suami bawa saya lari di stadium tapi saya lari satu pusingan sahaja sudah tercungap-cungap. Saya tidak mahu berlari lagi tapi suami ingatkan saya tentang tujuan saya,” singkap Cik Martini.

“Jadi saya mula membaca tentang cara terbaik untuk mula berlari dan saya mendapat tahu tentang kaedah lari-jalan iaitu berlari untuk satu pusingan dan berjalan untuk pusingan berikutnya sebelum kembali berlari. Lama kelamaan, saya boleh berlari lebih lama sebelum perlu berjalan,” tambah bekas guru yang kini suri rumah sepenuh masa itu.

Sedang Cik Martini membangunkan staminanya, beliau mendaftarkan diri bagi perlumbaan enam kilometer bagi mendorong dirinya untuk meningkatkan lagi prestasinya.

Dalam tahun sama, beliau menyertai perlumbaan lebih panjang – 10 kilometer, 16 kilometer dan 21 kilometer.

Cik Martini tidak menafikan adakala berasa bersalah meninggalkan keluarga selama beberapa jam atau hari untuk berlatih atau berlumba, namun beliau selalu mengingatkan dirinya tentang tujuannya melakukan demikian.

“Saya juga mahu menjadi contoh teladan untuk anak-anak saya dan mempamerkan semangat daya tahan. Apabila saya tiada di rumah, anak-anak juga menjadi lebih berdikari,” katanya.

Sokongan keluarga juga amat penting bagi pelumba sepertinya, kata Cik Martini.

Jika beliau berlatih pada sebelah petang, suaminya akan memastikan anak-anaknya melakukan kerja sekolah dan makan petang.

Suaminya juga mengambil alih tugas memasak jika Cik Martini berlatih pada hujung minggu atau menyertai perlumbaan di luar negara.

Selain itu, keluarganya dan keluarga suaminya juga membantu menjaga anak-anak apabila beliau menyertai lumba lari di Bali, Indonesia pada 2014 – kali pertama beliau berlumba di luar negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg