Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iceland tawar landskap alam luar biasa

Mahal tapi tak ternilai, saji kejutan demi kejutan
Sep 28, 2025 | 5:30 AM
Cik Rehana M Sallehd,  Jaafar Junali,
Cik Rehana M Salleh dan suaminya, Encik Jaafar Junali, di Vestrahorn, gunung yang tersergam indah di Höfn. - Foto ihsan REHANA M SALLEH

Sempena musim panas Julai lalu, saya menjejakkan kaki di ‘bumi api dan ais’ atau lebih dikenali sebagai Iceland, bersama suami dan anak bongsu saya.

Ternyata, setiap hari membawa kejutan baru – daripada mengejar air terjun megah, bersiar-siar di pantai pasir hitam, kepada melihat glasier luas yang tiada penghujung.

Demikian jadual perjalanan saya selama seminggu.

Hari Pertama:

Sejurus mengambil kereta sewa, kami memulakan perjalanan ke Semenanjung Reykjanes berdekatan dengan lapangan terbang Keflavík.

Persinggahan pertama ialah tarikan ‘Bridge Between Continents’, sebuah jambatan kecil yang menghubungkan dua plat tektonik antara benua Amerika dengah Eropah.

Seterusnya kami ke padang lahar Gunnuhver, di mana wap panas menyembur keluar dari tanah.

Untuk berhenti berehat seketika, kami pun minum di kafe mata air panas popular Blue Lagoon, di mana kami sempat merendamkan kaki dalam air sulfur di situ.

Sebelum menuju ke peningapan Airbnb di bandar, kami membeli barangan di Asian Market bagi mengumpulkan bekalan makanan sepanjang percutian di sana.

HARI KEDUA

Air terjun Brúarfoss terletak dalam laluan Golden Circle di Iceland.
Air terjun Brúarfoss terletak dalam laluan Golden Circle di Iceland. - Foto ihsan REHANA M SALLEH

Keesokan hari, kami menjelajah laluan Golden Circle.

Kami memilih laluan menentang putaran masa, bermula di Kerið Crater, kawah besar berisi tasik biru.

Kemudian, kami ke Gullfoss Falls, air terjun deras besar yang mengaum hingga terasa percikan kabus di muka.

Di Geysir pula, kami menyaksikan kejadian alam semula jadi di mana kawasan air panas akan menyembur tinggi ke udara setiap 15 minit.

Kami akhiri hari di Taman Nasional Þingvellir (Thingvellir), sebuah tapak bersejarah dan juga lokasi unik di mana dua plat tektonik terpisah.

Perjalanan dari 10 pagi berakhir pada 9 malam.

Walaupun waktu perjalanan panjang, ia terasa santai dengan cuaca dingin yang tidak membuatkan diri terasa keletihan.

Kami mengisi perut dengan bekalan yang dimasak sendiri dalam penginapan kami.

Waktu solat juga tidak menjadi masalah kerana maghrib masuk pada 11.45 malam sementara Isyak pada 12.45 pagi, jadi kami sempat melakukan solat jamak setibanya di penginapan.

Yang meletihkan sedikit apabila terpaksa tahan mata kerana takut terlajak tidur memandangkan waktu subuh pada 2.15 pagi!

Hari Ketiga:

Kami menyusuri South Coast ke arah selatan menuju Vík.

Dalam perjalanan, kami berhenti di Seljalandsfoss, air terjun yang membolehkan pengunjung berjalan di belakangnya.

Walaupun basah kuyup kami dibuatnya, ia tetap menyeronokkan!

Cik Rehana M Salleh, suaminya, Encik Jaafar Junali (kiri) dan anak bongsunya, Encik Muhd Haatim Jaafar berjalan di belakang air terjun Seljalandsfoss.
Cik Rehana M Salleh, suaminya, Encik Jaafar Junali (kiri) dan anak bongsunya, Encik Muhd Haatim Jaafar berjalan di belakang air terjun Seljalandsfoss. - Foto ihsan REHANA M SALLEH

Tidak jauh dari situ, air terjun Skógafoss pula memukau dengan jatuhan airnya yang megah.

Penulis dan, suaminya berkunjung ke  air terjun Gljúfrafoss, yang terletak 10 minit jauh jika berjalan kaki dari Seljalandsfoss.
Penulis dan, suaminya berkunjung ke  air terjun Gljúfrafoss, yang terletak 10 minit jauh jika berjalan kaki dari Seljalandsfoss. - Foto ihsan REHANA M SALLEH

Kami singgah juga di tarikan kapal terbang terhempas di pantai (lokasi penggambaran filem Hindustan, Gerua).

Tarikan unik...Cik Rehana, suaminya, Encik Jaafar (kiri) dan anak bongsunya, Encik Muhd Haatim singgah di tarikan kapal terbang terhempas di Iceland.
Tarikan unik...Cik Rehana, suaminya, Encik Jaafar (kiri) dan anak bongsunya, Encik Muhd Haatim singgah di tarikan kapal terbang terhempas di Iceland. - Foto ihsan REHANA M SALLEH

Namun apa yang paling meninggalkan kesan ialah pantai pasir hitam Reynisfjara – gabungan pemandangan pasir hitam, pukulan ombak kuat, dan tebing basalt (batu berwarna gelap yang berasal dari gunung berapi) menjadikan suasananya seumpama kami berada dalam dunia lain.

Kami ke sana pada waktu tengah malam namun apa yang unik adalah suasana tidak gelap malah kami disajikan barisan unik jalur cahaya cantik yang menghiasi horizon langit.

Anak bongsu penulis, Encik Muhd Haatim Jaafar, bergambar di batu basalt di pantai pasir hitam.
Anak bongsu penulis, Encik Muhd Haatim Jaafar, bergambar di batu basalt di pantai pasir hitam. - Foto REHANA M SALLEH

Sekali gus, kami ditemani banyak burung ‘puffin’ yang membuat sarang di sekitar sana.

Penginapan Airbnb kedua ialah vila yang terletak di Vík.

Satu sisi terbuka terus ke arah tebing pantai, manakala apabila berpaling ke darat pula, mata diisajikan dengan pemandangan gunung megah yang diselaputi salji putih.

Sungguh sempurna dan cantik potret alam.

Hari Keempat:

Nikmati ketenangan...penulis dan suaminya menikmati pemandangan dari vila mereka di Vík.
Nikmati ketenangan...penulis dan suaminya menikmati pemandangan dari vila mereka di Vík. - Foto ihsan REHANA M SALLEH

Kami meneruskan perjalanan lebih jauh ke arah timur hingga sampai ke Höfn.

Di sini, pemandangan berubah dengan ketara: glasier gergasi dari Vatnajökull mengisi horizon.

Lagun glasier Jökulsárlón sangat menakjubkan, melihat bongkah ais terapung perlahan menuju ke laut dengan beberapa anjing laut bermain dan bersantai di sekeliling.

Di Pantai Diamond, bongkah ais berkilauan di atas pasir hitam, benar-benar seperti permata yang menghiasi lantai gelap.

Penulis bergambar di bongkah ais yang ditemui di Pantai Diamond.
Penulis bergambar di bongkah ais yang ditemui di Pantai Diamond. - Foto ihsan REHANA M SALLEH

Sebelum bermalam di Höfn, kami singgah di Vestrahorn, gunung yang tersergam indah dan menyajikan pemandangan dramatik, di mana pantulan bayang gunung itu dapat dilihat di perairan di bawah.

Hari Kelima:

Kami memandu pulang ke ibu negara Iceland, Reykjavík, yang memakan masa sekitar enam jam.

Masa ini kami gunakan untuk berhenti di tapak lawatan yang kami terlepas pada hari ketiga, memberi peluang menikmati sekali lagi panorama pantai selatan.

Hari Keenam:

Di bandar Reykjavík, kami melawat gereja Hallgrímskirkja, singgah di pelabuhan dan menikmati suasana kafe.

Sebelah petang, kami ke mata air panas Hvammsvík.

Kolam mata air panas ini betul-betul menghadap Lautan Atlantik.

Peluang berendam sambil menikmati tiupan angin laut bak terapi, menjadi penutup sempurna yang menggulung percutian kami.

Hari Ketujuh:

Kami pulangkan kereta sewa dan bermalam di hotel berhampiran lapangan terbang kerana penerbangan awal pagi ke London menanti.

Walaupun singkat, seminggu ini terasa cukup padat dengan pelbagai pengalaman luar biasa yang tak akan dilupakan.

Antaranya ialah fenomena ‘Midnight Sun’ di mana matahari tetap kelihatan di langit pada waktu tengah malam, walaupun seharusnya sudah terbenam.

Ada malam di mana kami keluar seketika dari penginapan, sekadar untuk duduk diam menikmati cahaya jingga yang berlarutan hingga ke subuh.

Pengalaman solat juga luar biasa kerana maghrib dan subuh sangat rapat masanya.

Ia membuatkan kami lebih menghargai keagungan ciptaan Allah, betapa luas dan berbezanya alam ini.

Jika boleh disimpulkan, Iceland mahal tetapi pengalamannya tidak ternilai.

Tidak dinafikan, kos makanan, penginapan dan aktiviti memang agak tinggi.

Tetapi hakikatnya, negara ini menawarkan segalanya: landskap yang sentiasa berubah, elemen semula jadi yang sungguh luar biasa keindahannya.

Musim panas Iceland bukan sekadar destinasi pelancongan, ia menjadi perjalanan yang mengisi kerohanian – dari mengagumi fenomena alam, hingga tercetus rasa syukur kerana diberi peluang mengalaminya bersama orang tersayang.

Penulis suri rumah dan ibu lima orang anak. Beliau gemar melakukan kembara DIY (atur sendiri).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg