Julai lalu, saya sekeluarga bercuti di Melbourne, Australia, selama 11 hari.
Di sana, kami menghabiskan waktu dengan bersiar-siar di kawasan bandar, melakukan kegiatan seperti membeli-belah, menjamu selera di gerai makan dan bersiar-siar menikmati keindahan bandar yang bercahaya pada waktu malam.
Sebenarnya ada banyak tempat menarik yang boleh dilakukan di Melbourne, tetapi kami memilih untuk berkunjung ke tiga tarikan sahaja - Queen Victoria Market, Flinders Street Station dan Mount Buller.
Pasar terbuka yang terbesar di Hemisfera Selatan ini turut dikenali sebagai Queen Victoria Market dengan keluasannya lebih 7 hektar.
Pasar dalam bandar yang telah beroperasi lebih 140 tahun ini menjadi kebanggaan Melbourne dan menjadikannya salah satu tarikan pelancongan popular.
Pelbagai hasil tangan unik, cenderahati, pakaian, makanan dan minuman ditawarkan oleh peniaganya!
Terdapat juga hiburan muzik dan pertunjukan artis tempatan.
Stesen kereta api ini ikonik di Melbourne, Australia.
Ia merupakan mercu tanda bersejarah dan budaya yang menawarkan gambaran tentang masa lalu dan masa kini.
Ia juga merupakan tempat pertemuan popular dan tarikan pelancong yang menarik berjuta-juta pelawat setiap tahun.
Kami bersiar-siar di kawasan tersebut di waktu malam kerana daya tarikannya lebih menyerlah berbanding pada waktu siang.
Di sini, kami dapat menikmati pemandangan bangunan bersejarah yang dihiasi lampu berwarna-warni.
Dari jauh, bangunan ini sudah kelihatan disebabkan warna merah-kuning bangunan tersebut yang dihiasi sinaran lampu-lampu neon.
Kami tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan bangunan tersebut.
Pada hari keempat, kami mula bergerak dengan menaiki kereta sewa menuju ke destinasi seterusnya iaitu Mount Buller.
Perjalanan kami ke Mount Buller dari Melbourne sungguh luar biasa.
Kami sekeluarga seramai lapan orang, bertolak dari bandar Melbourne seawal 9 pagi.
Perjalanan kami mengambil masa sekitar tiga setengah jam.
Sepanjang perjalanan, kami dapat nikmati suasana pemandangan yang amat indah.
Perjalanan kami berjalan lancar.
Bagi seseorang yang belum pernah merasakan salji, inilah masa yang saya nanti-nantikan.
Saat perjalanan pergi, cuaca amat menyenangkan dan dingin.
Ada perhentian singkat sebelum kami tiba di Mount Buller.
Kami juga harus buat beberapa persediaan seperti membeli sarung tangan, topi serta aksesori salju lainnya.
Harga makanan di Mount Buller agak mahal.
Mujur, kami telah membuat persiapan dengan berbelanja lebih awal terutamanya untuk barang masakan dan air minuman sebagai peruntukan kami sepanjang menginap di calet (apartmen tiga tingkat) selama lima hari.
Semasa di Mount Buller, calet kami mampu menempatkan sehingga lapan orang dalam empat bilik tidur yang tersedia.
Apartmen ini sangat sesuai untuk keluarga besar.
Dari jendela kamar, kami dapat melihat salji putih jatuh berderai ke tanah.
Keadaan di perkampungan Buller amat mengasyikkan.
Cuaca begitu sejuk di luar.
Mentari pagi tidak kelihatan kerana diselimuti salji-salji seperti permata yang menghiasi muka bumi.
Bagi saya dan isteri, kami santai menikmati waktu di resort ski meskipun kami tidak bermain ski.
Walaupun cuacanya amat sejuk, kira-kira 3 darjah Celsius, kami tetap rasa keseronokan semasa berada di perkampungan Mount Buller.
Kelihatan anak-anak dan cucu-cucu kami begitu senang dan seronok bermain ski.
Di perkampungan Mount Buller, tidak perlu khuatir kerana terdapat kedai penyewaan peralatan salji dan ini memudahkan pengunjung wisata untuk mempersiapkan diri bersenang-senang di hamparan salji sepanjang hari.
Sama ada anda pemain ski profesional atau masih berjinak-jinak di tahap awal, Mount Buller menawarkan sesuatu untuk semua orang!
Bermain papan lungsur salji atau ski sepuasnya.
Bagi mereka yang tidak bermain ski terutama keluarga yang ada anak kecil, anda boleh membuat patung manusia salji, atau sekadar menikmati pemandangan pergunungan Alp yang mengagumkan.
Tentunya, terdapat kegiatan sesuai untuk semua lapisan usia.
Namun, perlu maklum bahawa kegiatan di sini bersifat musiman dan hanya beroperasi sewaktu bulan sejuk iaitu antara Jun dengan September.
Pastinya percutian ini antara pengalaman menarik yang akan terus dijadikan kenangan indah buat saya sekeluarga.
Encik Sahari Sariman berusia 67 tahun dan seorang pesara yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai polis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg