Acara WonderLab di Daerah Digital Punggol membawa pengunjung meneroka dunia interaktif yang menggabungkan teknologi, seni dan alam semula jadi, sesuai untuk seisi keluarga.
Bertempat di Punggol Coast Mall, ia mengetengahkan perjalanan Punggol daripada sebuah kampung nelayan kepada bandar bijak masa depan, dilengkapi audio dan aroma yang membangkitkan suasana kampung.
Selain menikmati persembahan muzik oleh pelajar Institut Teknologi Singapura (SIT) dan artis tempatan seperti, Jeff Ng dan Shye, pengunjung juga boleh menyertai bengkel kreatif seperti membina tanglung solar dan mereka bentuk bunga LED.
Tarikh: 22 Mac hingga 20 April
Masa: 10 pagi hingga 10 malam
Tempat: Daerah Digital Punggol, Punggol Coast Mall
Bayaran: Percuma
Nikmati tayangan filem bawah langit malam di acara ‘Movies by the Beach’ di Sentosa.
Setiap hujung minggu, pengunjung boleh bersantai di Roof Garden, Palawan Kidz City, sambil menonton filem secara percuma dalam suasana pantai yang menenangkan.
Saksikan filem, The Hunger Games: Mockingjay – Part 1, pada 19 April; diikuti oleh Maze Runner: The Death Cure pada 20 April.
Tarikh: Setiap Sabtu dan Ahad
Masa: 7 malam
Tempat: Roof Garden, Palawan Kidz City, Sentosa
Bayaran: Percuma
Terletak di ruang bawah tanah bersejarah Battlebox, pameran seni visual Portals, memberi nafas baru kepada sejarah perang Singapura melalui gabungan teknologi dan seni kontemporari.
Menampilkan karya tujuh artis termasuk Victoria Hertel, Zul Mahmod dan Anthony Chin, pameran ini menghidupkan kembali memori silam menerusi gabungan bunyi, cahaya dan imej arkib.
Tidak seperti paparan tetap Battlebox, Portals menawarkan pengalaman lebih mendalam, dan mengajak pengunjung berfikir tentang makna sejarah dan perubahan.
Tarikh: 28 Mac hingga 29 Jun
Masa: Rabu hingga Ahad, 10 pagi hingga 5 petang (kemasukan terakhir 4 petang)
Tempat: Battlebox, Taman Fort Canning, 2 Cox Terrace
Bayaran: Pengalaman asas percuma
Bayaran tambahan $15 (warga Singapura/Penduduk Tetap); $20 (pelancong) untuk pengalaman dipertingkat dengan audio tour (lawatan dengan rakaman audio sebagai panduan) dan akses bilik penayangan.
‘Tulipmania’ kembali mekar di Gardens by the Bay untuk edisi ke-11, menampilkan lebih 65,000 tulip daripada lebih 30 jenis.
Bertema warisan dan sejarah Turkey, pameran ini menyerlahkan simbol ikonik seperti Kuda Trojan setinggi hampir enam meter; rumah batu bertingkat seperti yang dilihat di kota Mardin; serta tapak arkeologi Göbekli Tepe yang dipercayai antara kuil tertua di dunia.
Turut dipamerkan ialah bunga-bungaan asli Turkey seperti, hollyhock, fritillaria dan allium, serta seni mozek yang dihasilkan oleh pelajar sekolah menengah tempatan.
Pameran ini diadakan dengan kerjasama Kedutaan Turkey di Singapura dan mengajak pengunjung mengembara merentas masa melalui bunga-bungaan dan seni bina unik dari rantau tersebut.
Tarikh: 17 April hingga 12 Mei
Masa: 9 pagi hingga 9 malam
Tempat: Flower Dome, Gardens by the Bay
Bayaran: Tiket masuk ke Flower Dome
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg