SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Impian Ray Sahetapy bikin filem golongan pekak tidak kesampaian

Impian Ray Sahetapy bikin filem golongan pekak tidak kesampaian

Apr 21, 2025 | 5:30 AM

Impian Ray Sahetapy bikin filem golongan pekak tidak kesampaian

Allahyarham Ray Sahetapy mencipta nama sebagai antara bintang Indonesia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi filem ‘Captain America: Civil War’.
Allahyarham Ray Sahetapy mencipta nama sebagai antara bintang Indonesia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi filem ‘Captain America: Civil War’. - Foto INSTAGRAM RAY SAHETAPY

Masih terpahat di ingatan gandingan serasi pelakon kacak Indonesia, Ray Sahetapy dan pelakon jelita senegara, Marissa Haque, dalam filem tentang kecurangan, Sebening Kaca, yang diterbitkan pada 1985.

Genap 40 tahun selepas filem ini ditayangkan di pawagam dan turut disiarkan di kaca televisyen Singapura, terasa kehilangan yang menyentuh jiwa sesiapa sahaja yang gemar menyaksikan filem Indonesia.

Sebabnya, kededua pelakon utamanya, Ray, 68 tahun, dan Marissa, 61 tahun, telah pun menyahut panggilan Ilahi, selang enam bulan, secara mengejut.

Marissa yang juga seorang pensyarah dan ahli politik, menghembuskan nafas terakhirnya di hospital swasta, Rumah Sakit Premier Bintaro, di Tangerang Selatan, Banten, pada 1.43 pagi (waktu Singapura) pada 2 Oktober.

Beliau yang dikatakan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik meninggal dunia dalam tidur dan dipercayai mengalami serangan jantung mendadak.

Ray, yang dikenali penonton antarabangsa kerana sempat menjayakan filem Hollywood, Captain America: Civil War, pula meninggal dunia pada 1 April lalu (2025), di kala umat Islam di Indonesia menyambut Hari Raya kedua.

Pemergiannya berpunca daripada pelbagai komplikasi penyakit kencing manis dan strok.

Mantan suami penyanyi bersuara emas, Dewi Yull ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanah Kusir di Jakarta Selatan pada 4 April, dengan ramai rakan seni seangkatan hadir untuk memberi penghormatan terakhir mereka.

Ray, atau nama sebenarnya, Ferenc Raymond, yang membawakan watak berkesan dalam filem Ponirah Terpidana (1983), Tatkala Mimpi Berakhir (1987) dan Jangan Bilang Siapa-Siapa (1990), pernah dicalonkan sebanyak tujuh kali bagi Piala Citra di Festival Filem Indonesia.

Sebilangannya adalah bagi kategori Aktor Terbaik.

Beliau bahkan memegang rekod pencalonan terbanyak dalam kategori tersebut tetapi tiada rezeki untuk menang.

Di sebalik kesibukannya membina kerjaya seni, Ray dianggap sebagai ayah yang penyayang buat empat anaknya, Gizca Puteri Agustina Sahetapy (meninggal pada 2010); Rama, Surya dan Muhammad Raya Sahetapy.

Beliau bernikah dengan Dewi pada 1981 tetapi mereka berpisah pada 2004 setelah bernikah selama 23 tahun.

Dikatakan Dewi enggan berpoligami dan memohon mereka berpisah.

Awalnya, keluarga Dewi berat menerima Ray kerana perbezaan agama sehingga Ray mengambil keputusan memeluk agama Islam dan meninggalkan agama asalnya, Kristian.

Ray kemudian bernikah dengan pengusaha kafe, Sri Respatini Kusumastuti, yang juga pensyarah di Fakulti Seni Pertunjukan Institut Kesenian Jakarta, dari 2004 hingga ke akhir riwayatnya.

Semangat juang Ray untuk membuktikan cintanya pada seni bukan main-main dan dapat dikesan sejak beliau dibesarkan di Panti Asuhan Yatim Warga Indonesia, Surabaya.

Sejak remaja, beliau bercita-cita menjadi pelakon dan berkuliah di Institut Kesenian Jakarta pada 1977, seangkatan dengan Deddy Mizwar dan Didik Nini Thowok.

Filem perdananya diterbitkan pada 1980 dengan judul Gadis, diarahkan Nya’ Abbas Akup.

Melalui filem inilah, Ray bertemu dengan Dewi dan jatuh hati.

Ray pernah terjun ke dunia seni suara pada 1985.

Beliau mengeluarkan album solo berjudul Say, dengan dua single hit yang dinyanyikan bersama Dewi, Satu Kenyataan Lagi dan Say...

Ketika industri filem Indonesia mengalami kesuraman, Ray tetap wujud dalam dunia seni dan membangunkan kumpulan teater di pinggiran kota.

Pada pertengahan 2006, Ray kembali membintangi filem layar lebar, Dunia Mereka.

Pada tahun yang sama, kongres Persatuan Artis Filem Indonesia memilih Ray menjadi salah seorang ketuanya.

Laman web, The Pinnacle Gazette menukil kata-kata anak bongsunya Raya Sahetapy, 23 tahun, mengenai ayah tercinta.

“Papa tidak pernah melihat sebarang halangan sosial; semua orang dilayan sama rata dari pandangan matanya.

“Beliau mampu berhubung dengan sesiapa sahaja, apa jua latar belakang mereka,” jelasnya.

Bagaimanapun, selain legasi peribadi yang ditinggalkan, masih ada aspirasi Ray yang belum dicapai.

Walaupun sudah menubuhkan kumpulan teater yang dipanggil Teater Tuli untuk golongan pekak berseni, salah satu impiannya adalah menghasilkan filem tentang bagaimana masyarakat cacat pendengaran berinteraksi.

Ini memandangkan dua anaknya, Allahyarhamha Gisca Putri Agustina (meninggal dunia pada usia 28 tahun pada 2010) dan Surya, 31 tahun, dilahirkan pekak dan bisu.

Gisca meninggal dunia kerana radang otak manakala Surya pula membina kerjaya sebagai pensyarah bagi golongan cacat pendengaran di Institut Teknologi Rochester di New York, Amerika.

Ray begitu bangga anaknya itu mengetepikan segala hambatan pendengarannya untuk bangun masa depan yang cerah.

Pelakon, Olivia Zalianty, 43 tahun, mengingati nyala rasa Ray tentang penceritaan menerusi bahasa visual daripada menggunakan dialog yang panjang berjela.

“Om (Encik) Ray sangat teruja menghasilkan filem tentang golongan pekak, projek yang ingin dikendalikan dari Manado hingga Amerika.

“Beliau begitu komited memberi perhatian pada isu sosial penting menerusi kerja seninya.

“Beliau berminat meneroka bagaimana penceritaan visual boleh berkomunikasi secara berkesan tentang pengalaman golongan pekak ini, menjadikannya medium paling sesuai mengupas isu insan kurang upaya ini.

“Aspirasi ini menggambarkan keinginannya menggunakan layar lebar sebagai platform memperjuangkan dan mewujudkan kesedaran buat masyarakat,” tambah Olivia. HARYANI ISMAIL

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg