Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selamat jalan ‘Singa Panggung Asia’, Emilia Contessa

Pelakon, penyanyi OST ‘Akhir Sebuah Impian’ pernah dinobat ‘New York Times’ sebagai antara 5 artis terkenal dunia
Jan 28, 2025 | 3:40 PM
Allahyarhamha Emilia Contessa dikenali sebagai ‘Singa Panggung Asia’ kerana memiliki vokal yang bertenaga dan menawan hingga menusuk ke sanubari pendengar.
Allahyarhamha Emilia Contessa dikenali sebagai ‘Singa Panggung Asia’ kerana memiliki vokal yang bertenaga dan menawan hingga menusuk ke sanubari pendengar. - Foto INSTAGRAM EMILIA CONTESSA

Lirik lagu Indonesia, Mimpi Sedih, yang terkenal pada 1970-an dan dipetik daripada filem ‘pecah panggung’, Akhir Sebuah Impian, bermain di fikiran saya semalaman, setelah mendapat tahu pemergian mendadak biduanita kelahiran Banyuwangi, Jawa Timur, Emilia Contessa.

Antara bait lirik pembuka lagu dendangan bersama Emilia dan Broery Marantika itu, berbunyi begini: “Di malam sepi aku bermimpi... Mimpi yang sedih sekali... Kau akan pergi tinggalkan diriku... Daku menangis tersedu...”

Tentunya, pemergiannya yang tidak dijangka itu membawa kesan mendalam bagi peminat dan anak seni seangkatan mahupun yang lebih muda yang mencedok teladan daripadanya, yang juga ahli politik Parti Perindo.

Emilia, 67 tahun, atau nama sebenarnya, Nur Indah Citra Sukma Hati, meninggal dunia kerana serangan jantung yang berlaku dek komplikasi penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapi sejak sekian lama, pada 7 malam, 27 Januari.

Beliau digegaskan ke Hospital Serantau Blambangan di Banyuwangi sekitar 6 petang tetapi sejam selepas itu, disahkan meninggal dunia atas komplikasi penyakitnya itu.

Emilia yang memiliki suara merdu bak buluh perindu lagi bertenaga persis bintang Britain, Dame Shirley Bassey, pergi dengan disaksikan suami, Ussama Muhammad Al-Hadar dan anak-anak.

Pemergian penyanyi yang terkenal dengan jolokan ‘Sang Singa Panggung Asia’ itu disahkan pengurusnya, Risna Ories, jelas laporan laman Detik.com.

Menurutnya, Emilia sebenarnya mengalami kesulitan penyakit yang serius sejak akhir-akhir ini. Hanya pada petang 27 Januari, beliau dikejarkan ke hospital kerana mengadu sesak nafas.

Penyelaras Perkhidmatan Awam Hospital Blambangan, Encik Ayyub Erdianto, pula mengulas:

“Beberapa kali Emilia menjalani pemeriksaan di Hospital Blambangan. Beliau sudah lama menghidap penyakit kencing manis.

“Penyakit kencing manis itu juga menyebabkan risiko penyakit lain seperti buah pinggang atau serangan jantung.”

Menurut Encik Ayub, Emilia telah dirawat pakar jantung, Dr Nelly Mulyaningsih, yang segera memberikan rawatan kecemasan. Bagaimanapun, keadaannya yang awalnya stabil, menjadi lebih teruk dan kritikal selepas dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU).

Bintang yang dilahirkan pada 27 September 1957 ini mempunyai darah kacukan Pakistan-Madura.

Beliau dikatakan suka menyanyi sejak kecil sehinggakan ibunya mengusahakan agar beliau dapat tampil menyanyi di pelbagai acara.

Pada 1969, Emilia meraih gelaran juara dalam satu pertandingan di Surabaya. Kemenangan itu membuka jalan buatnya membina kerjaya sebagai penyanyi pada usia muda, 12 tahun.

Singapura, malahan, menjadi titik tolak penting kerjayanya apabila syarikat Philips Singapore mengundangnya bagi rakaman lagu di Singapura pada 1970.

Selepas setahun di Singapura, ditemani ibunya, beliau muncul di stesen televisyen Indonesia, TVRI, dan kian dikenali kerana suaranya yang lantang dan bertenaga serta daya persembahan yang menusuk kalbu penonton.

Gelaran ‘Singa Panggung Asia’ itu diberikan kepadanya oleh majalah Asia Week.

Akhbar New York Times pula menobatkannya sebagai salah seorang daripada lima artis paling popular di dunia.

Emilia turut ditawarkan biasiswa bagi mempelajari ilmu seni suara di Amerika Syarikat tetapi kerana beliau memiliki kontrak bersama Kelab Malam Tropicana, maka tawaran itu terpaksa ditolak.

Sungguhpun begitu, kerjaya jelitawan ini berkembang maju bahkan lagunya turut menembusi pasaran Eropah dan Amerika.

Lagu-lagunya seperti Angin November, Flamboyan, Biarlah Sendiri, Bunga Mawar, Melati, Rindu, Angin Malam, Penasaran, Bunga Anggerik, Setangkai Anggrerik Bulan, Kehancuran, Mungkinkah dan Layu Sebelum Berkembang, ligat diputarkan di radio.

Album terakhirnya adalah yang berbentuk kerohanian, Samudera Shalawat, pada 2000.

Sememangnya, Emilia tiada duanya dalam industri hiburan Nusantara.

Selain menyanyi, beliau juga berlakon filem, dengan watak Yanti, si gadis buta dan yatim piatu, dalam Akhir Sebuah Impian, merupakan yang ikonik dan sentiasa diingati ramai hingga hari ini.

Beliau bermula sebagai pelakon dalam filem 1971, Brandal-Brandal Metropolitan, yang turut dibintangi Broery.

Ratapan Anak TiriTetesan Air Mata Ibu, dan Senja di Pantai Losari adalah antara filem lain yang pernah dijayakannya.

Emilia yang pandai bergaya juga dijadikan ikon fesyen dan sempat dinobatkan sebagai Ratu Foto Model oleh Persatuan Wartawan Indonesia pada 1972.

Pada usia senjanya, di mana masanya lebih tertumpu pada amanah sebagai wakil rakyat dan ahli politik, beliau sempat singgah ke Singapura bagi satu acara Pesta Raya 2023, anjuran Esplanade, Konsert Simfoni Keroncong Nusantara, yang menampilkan Orkestra Melayu Singapura (OMS).

Suaranya gemersik merdu dan seperti ‘telan kaset’ apabila menyanyikan lagu malar segar dari runut bunyi (OST) filem Akhir Sebuah Impian.

Beliau berpadu suara dengan biduan, Eddy Ali, bahkan mendapat tepuk sorak penonton yang menggalakkan sehingga ada yang tertanya-tanya, “Bila Emilia ingin bikin konsert solo di Singapura?” Video nyanyiannya di laman Facebook Berita Harian sudah ditonton hampir 30,000 kali.

Ternyata, harapan itu tidak kesampaian kerana ketiadaan suara merdu Emilia Contessa lagi.

Baru beberapa hari lalu, saya bersembang sambil makan sajian Mexico dengan seorang teman seni, Rudy Djoe, yang terlibat dengan penerbitan malahan mengacara Konsert Simfoni Keroncong Nusantara, yang dijayakan Emilia.

“Di sebalik nama besarnya, Mbak Emilia ni merendah hati orangnya. Ramah, profesional dan mempunyai suara yang hebat persis zaman gemilangnya.

“Saya ingat pada masa itu, dia seperti wanita mapan sebayanya, berjalan di belakang. Saya tak tahu itu artis yang ditunggu-tunggu. Orangnya sederhana sahaja penampilannya dan senang bekerjasama dengannya,” jelas Rudy.

Kris Dayanti, dalam hantaran Instagram Story, mengucapkan ‘Salam takziah’ buat keluarga Emilia.

Akaun Instagram Anugerah Muzik Indonesia, pula menulis: “Selamat jalan ibu Emilia Contessa. Karya dan sumbanganmu buat muzik Indonesia akan selalu kami kenang dan hargai.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg