Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indahnya ‘Santorini’ Indonesia

Tarikan Labuan Bajo di Nusa Tenggara: Persekitaran indah ala Pulau Santorini di Greece, tengok komodo dari dekat, singgah di pantai merah jambu
Jun 29, 2025 | 5:30 AM
Penulis, Encik Mustaffa Yaakub, menikmati pemandangan dari aras tertinggi di Pulau Padar yang terbentang indah, menakjubkan dan memukau dengan keindahan alamnya yang begitu eksotik dan masih sangat terjaga.
Penulis, Encik Mustaffa Yaakub, menikmati pemandangan dari aras tertinggi di Pulau Padar yang terbentang indah, menakjubkan dan memukau dengan keindahan alamnya yang begitu eksotik dan masih sangat terjaga. - Foto-foto ihsan MUSTAFFA YAAKUB

‘Akhirnya sampai juga, syukur hajat termakbul’.

Begitulah hati berkata-kata tatkala menjejakkan kaki di lapangan terbang Bandar Udara Komodo, Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Di situ kami disambut penuh mesra lalu dibawa ke tempat penginapan yang tidak jauh.

Aura hotel berkonsep Santorini

Menikmati keindahan persekitaran yang sangat indah di Hotel Loccal Collection ala Santorini di Greece, (dari kanan) penulis, Encik Mustaffa Yaakub, Cik Masita Asmawi, Cik Faridah Asmawi dan Cik Robiah Asmawi
Menikmati keindahan persekitaran yang sangat indah di Hotel Loccal Collection ala Santorini di Greece, (dari kanan) penulis, Encik Mustaffa Yaakub, Cik Masita Asmawi, Cik Faridah Asmawi dan Cik Robiah Asmawi - Foto ihsan MUSTAFFA YAAKUB
Panorama menakjubkan berlatarbelakangkan laut Flores yang luas terbentang
dan banyaknya kapal pelayaran Phinisi di perairan.
Panorama menakjubkan berlatarbelakangkan laut Flores yang luas terbentang dan banyaknya kapal pelayaran Phinisi di perairan. - Foto MUSTAFFA YAAKUB

Siapa yang tak tertarik melihat bangunan bertingkat bercat putih yang berkilauan di bawah sinar matahari, berpadu dengan sempurnanya dihiasi warna firus cerah pada pintu dan tingkap.

Tempat penginapan kami, Hotel Loccal Collection, sangat unik dan memiliki ciri-ciri mirip seperti Santorini di Greece yang terkenal di dunia.

Dibina di atas lereng bukit dikelilingi kehijauan subur, konsep bilik penginapan menggabungkan tradisi pulau dengan keselesaan moden dan mewah.

Di sudut balkoni pula, mata dimanjakan dengan pemandangan panorama menakjubkan berlatarbelakangkan laut Flores yang luas terbentang.

Terdapat banyak kapal pelayaran Phinisi di perairan laut Flores yang menanti pengunjung untuk dibawa meneroka dari satu pulau ke satu pulau.

Lebih menarik adalah menyaksikan keindahan matahari terbenam apabila matahari menghilang di bawah garis horizon.

Sekitarannya yang sangat romantik dan memukau membuatkan kami seolah-olah dibawa jauh ke Greece walaupun sebenarnya di Indonesia.

Penulis, Encik Mustaffa Yaakub dan isterinya, Cik Masita Asmawi, menikmati keindahan matahari terbenam.
Penulis, Encik Mustaffa Yaakub dan isterinya, Cik Masita Asmawi, menikmati keindahan matahari terbenam. - Foto MUSTAFFA YAAKUB

Taman Nasional Komodo

Princess Nabila 01.

Itulah nama kapal Phinisi yang membawa kami belayar menyelusuri kepulauan Pulau Padar, Pulau Komodo dan Pink Beach.

Taman Nasional Komodo menjadi tarikan utama kerana rasanya tidak lengkap jika belum melihat Dragon Komodo atau Naga Komodo secara berdepan mata.

Terdahulu kami diberikan taklimat ringkas tentang peraturan dan keselamatan oleh ketua renjer keselamatan sebelum berjalan kaki memasuki kawasan hutan.

Kami bertemu dengan komodo di kawasan berhampiran, ternyata kami sangat beruntung kerana tidak perlu berjalan terlalu jauh.

Ini baru ‘rare’!

Walau bergelojak, hati ini teruja dapat melihat haiwan purba itu yang masih wujud.

Melihatnya dalam keadaan diam di depan mata seolah-olah saya berada di Jurassic Park.

Sudah tentu saya dan isteri tidak melepaskan peluang bergambar dengan reptilia itu!

Komoda dari dekat... Encik Mustaffa Yaakub dan isterinya, Cik Masita Asmawi, tidak melepaskan peluang bergambar dengan naga komodo.
Komoda dari dekat... Encik Mustaffa Yaakub dan isterinya, Cik Masita Asmawi, tidak melepaskan peluang bergambar dengan naga komodo. - Foto MUSTAFFA YAAKUB

Menurut renjer yang bertugas, terdapat sekitar 1,400 ekor komodo yang masih hidup bebas di pulau tersebut.

Ukuran saiznya boleh mencapai panjang maksimum tiga meter (10 kaki) dan beratnya sehingga 150 kilogram.

Nama saintifiknya ialah Varanus komodoensis.

‘Trekking’ ke puncak Pulau Padar

Sebelum memulakan ‘trekking’ di Pulau Padar, pengunjung diingatkan tentang larangan merokok, membuang sampah, merosakkan tumbuh-tumbuhan dan membawa pulang objek dalam kawasan demi menjaga keaslian semula jadinya.

Dari permukaan bukit, terdapat kira-kira 815 anak tangga yang harus ditempuh.

Memang sangat mencabar dan lasak, namun lelah hilang apabila berjaya sampai ke pos lima. 

Di puncak tertinggi, kami dihidangkan dengan panorama 360 darjah yang sangat memukau.

Kira-kira 815 anak tangga yang harus dilalui untuk sampai ke
pos lima yang merupakan puncak tertinggi.
Kira-kira 815 anak tangga yang harus dilalui untuk sampai ke pos lima yang merupakan puncak tertinggi. - Foto MUSTAFFA YAAKUB

Gabungan tiga teluk ikoniknya mempunyai hamparan pasir pantai yang berbeza berwarna abu-abu dan merah jambu membentuk landskap yang mengagumkan.

Pink Beach (Pantai Merah Jambu)

Jika birunya langit dan air laut nan jernih dibingkai hamparan pasir yang putih mungkin sudah menjadi pemandangan biasa, tidak begitu di Pink Beach.

Pantai sekitar 700 kaki panjang yang diliputi dengan pasir berwarna merah jambu nampak kian jelas apabila pasirnya disapu ombak di bawah sinar matahari.

Panorama Pink Beach 700 kaki panjang menjelang senja.
Panorama Pink Beach 700 kaki panjang menjelang senja. - Foto MUSTAFFA YAAKUB

Apabila ditanya, beberapa pihak berpendapat bahawa daripada hasil pecahan atau hakisan terumbu karang berwarna merah yang sudah mati bercampur dengan pasir putih, terbentuknya pasir yang berwarna merah jambu lembut.

Terumbu karang merah yang sudah mati dipamerkan untuk tontonan pengunjung.
Terumbu karang merah yang sudah mati dipamerkan untuk tontonan pengunjung. - Foto MUSTAFFA YAAKUB

Keajaiban pantai yang jarang dan indah ini menjadikannya antara tujuh pantai merah jambu yang cantik di dunia.

Cipta kenangan terindah

Pengalaman ini bukan sekadar percutian, malah satu pengembaraan meneroka keunikan setiap destinasi.

Melihat pada keindahan semula jadinya, budayanya menciptakan kenangan dan pengalaman yang memperkayakan jiwa.

Ia satu perjalanan yang sangat berbaloi.

Meskipun Labuan Bajo kekal sebagai bandar nelayan kecil, komodo tetap menjadi daya tarikan wisata dari dalam dan luar negera.

Labuan Bajo adalah syurga tersembunyi yang tersimpan pelbagai rahsia, cerita dan sejarah yang menanti diselongkar.

Penulis ialah pesara yang berusia 64 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg