Lagu yang bermula sebagai balada pop penuh jiwa dan kemudian bertukar menjadi rok ala 2000-an di kemuncaknya, itulah yang ditawarkan Insomniacks dan Nabila Taqiyyah dalam lagu terbaru mereka, Belum Mulai.
Lagu yang menggabungkan bakat dua negara, Insomniacks dari Malaysia dan Nabila, bakat baru dari Indonesia, boleh dikatakan satu karya yang unik kerana jalan ceritanya berbeza berbanding lagu-lagu cinta yang lain.
Kalau biasanya lagu cinta mengisahkan kasih yang putus setengah jalan atau kehilangan orang yang dicintai, Belum Mulai, pula menampilkan jalan cerita apabila sesebuah hubungan cinta itu terpaksa ditinggalkan sebelum ia bermula.
Bagi penulis, ini sesuatu kelainan kerana apabila orang bercinta, jarang sekali sang kekasih memikirkan faktor di luar mereka berdua.
Kali ini, si pasangan kekasih seakan menimbangkan segala apa yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan perhubungan mereka, seolah-olah mendekati hubungan itu dengan penuh berhati-hati agar tidak terluka akhirnya.
Oleh itu, lagu karya Clara Riva dan S/EEK, menawarkan sesuatu yang berlainan dan membuat pendengar berfikir sejenak jika mereka mempunyai kuasa untuk mengawal keadaan dan perjalanan cinta sendiri.
Selain rentak yang bermula perlahan dan tiba ke kemuncaknya dengan rentak yang rancak, penerbitan lagu itu juga menampilkan susunan muzik yang bersih, menyerlahkan vokal ketiga-tiga anggota Insomniacks dan Nabila sendiri.
Walaupun Nabila hanya muncul di penghujung lagu, jelas bakat beliau adalah sesuatu yang akan menaikkan namanya di persada muzik Indonesia setelah penyanyi asal Aceh itu menjadi naib juara, Indonesian Idol, musim ke-12.
Walaupun ini merupakan kerjasama pertama antara artis dua negara itu, jika inilah mutu yang mampu menarik peminat muda sambil memancing perhatian pendengar lebih mapan seperti penulis sendiri, girang hati penulis mengatakan ini adalah sesuatu yang harus diraikan dan dinantikan dalam karya-karya muzik gandingan akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg